Kolumnis
Menamatkan genosid bukan isu feminis?
MELIHAT beberapa pejuang feminis di Malaysia bersikap endah tak endah untuk bersuara terhadap tindakan rejim Israel melakukan genosid di Gaza dengan mengatakan ia adalah isu konflik antara dua agama semata-mata, menimbulkan persoalan adakah menamatkan pembunuhan beramai-ramai (genosid) di wilayah konflik itu bukan isu feminis?

MELIHAT beberapa pejuang feminis di Malaysia bersikap endah tak endah untuk bersuara terhadap tindakan rejim Israel melakukan genosid di Gaza dengan mengatakan ia adalah isu konflik antara dua agama semata-mata, menimbulkan persoalan adakah menamatkan pembunuhan beramai-ramai (genosid) di wilayah konflik itu bukan isu feminis?
Berbeza bagi feminis di luar negara, mereka lebih faham dan maklum pembantaian di Gaza adalah sebahagian isu feminis kerana mangsanya adalah wanita.
Wanita adalah wanita, tidak kira di mana mereka berada, termasuk di Gaza, adalah isu wanita yang wajar diperjuangkan.
Sebab itu mereka lebih agresif membuat beberapa siri kempen kesedaran dan protes sebagai usaha mengecam dan menuntut gencatan senjata, menarik balik kepungan dan membenarkan bantuan kemanusiaan ke Gaza tanpa halangan.
Namun, pejuang feminis di Malaysia – penulis, wartawan, peguam, profesor – pula terlalu fokus melaburkan masa dan tenaga mereka untuk bersuara pada semua hak wanita, termasuk hak ‘mak nyah’, tetapi tidak pada hak wanita Palestin.
Umum mengetahui Feminisme adalah, gerakan menentang penindasan, diskriminasi, penjajahan dan ketenteraan khusus terhadap wanita.
Menggunakan semangat perjuangan yang sama, pejuang feminis khususnya di Malaysia sepatutnya lebih lantang bersuara dan mengecam tindakan negara haram Israel yang membuat beberapa siri serangan tidak masuk akal ke atas rakyat Palestin di Gaza juga terdiri dalam kalangan wanita.
Patutkah wanita bercakap sebagai wanita menentang peperangan ini? Ini perkara yang tidak boleh dipertikaikan, feminis harus dan mesti bercakap sebagai feminis menentang perang ini, menentang pembunuhan dan pembersihan etnik serta kemusnahan Gaza sekarang.
Adalah menjadi perjuangan feminis untuk menuntut dihentikan aparteid Israel dan pendudukan tanah Palestin kerana Feminisme adalah gerakan menentang penjajahan.
Adalah menjadi perjuangan feminis untuk mengecam kebiadaban, tidak kira betapa besarnya jenayah mendorongnya kerana Feminisme adalah gerakan menentang keganasan.
Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan jumlah rakyat Palestin yang dibunuh sejak 7 Oktober lalu melebihi 19,000 warga Palestin di Gaza dengan majoritinya adalah kanak-kanak dan wanita.
Israel sedang melaksanakan apa yang pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 880 cendekiawan antarabangsa, termasuk pakar genosid, bekas pegawai kanan PBB, dan semakin banyak negara menggambarkan ia sebagai tindakan genosid terhadap 2.3 juta rakyat Palestin di Gaza.
Gaza yang dijadikan sebagai penjara terbuka selama lebih 16 tahun, dibom dengan sewenang-wenangnya rejim Israel di seluruh kawasan kejiranan awam, hospital, sekolah, gereja dan masjid selain memotong bekalan air, makanan, bahan api dan perubatan.
Mengubah Gaza menjadi “kem kematian terbuka terbesar di dunia.”
Menurut laporan Mesyuarat Majlis Keselamatan PBB yang berlangsung pada 22 November lalu, PBB melaporkan dua per tiga dari mangsa kematian hasil peperangan Palestin dan Israel di Gaza adalah wanita dan kanak-kanak.
Sima Sami Bahous, Pengarah Eksekutif Entiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Kesaksamaan Gender dan Pemerkasaan Wanita (PBB-Wanita), mengingatkan dalam mesyuarat itu bahawa wanita dan gadis terkena kesan yang tertinggi apabila konflik bersenjata meletus.
Katanya, setiap hari, 180 orang wanita bersalin tanpa air, ubat tahan sakit, bius untuk pembedahan Caesarean, elektrik untuk inkubator atau bekalan perubatan.
Malah, mereka terpaksa mencampurkan susu formula bayi dengan air tercemar (apabila mereka menemuinya) dan teruskan hidup tanpa makanan supaya anak-anak mereka boleh teruskan hidup.
“Women in Gaza have told us that they pray for peace, but that if peace does not come, they pray for a quick death, in their sleep, with their children in their arms. It should shame us all that any mother, anywhere, has such a prayer,” katanya.
Menurut kenyataan seorang penyelia gereja Katolik di Baitulmaqdis, seorang penembak tepat Angkatan Pertahanan Israel (IDF) menembak dan membunuh dua wanita beragama Kristian di sebuah gereja di Gaza pada Sabtu lalu.
Penyelia gereja juga berkata, kereta kebal IDF telah menyasarkan pekarangan gereja Sisters of Mother Teresa yang ketika itu menempatkan 54 orang kurang upaya.
Walaupun konflik sedang berlaku, Women Wage Peace (WWP) sebuah organisasi feminis Israel bersama dengan Women of the Sun gerakan feminis Palestin, melakukan beberapa siri kempen “We want Peace with the Palestinians” di Palestin, menuntut dihentikan konflik dan keganasan.
Perjuangan feminis di Palestin disambut baik beberapa gerakan feminis di negara barat seperti Black Women Radicals (BWR) sebuah organisasi advokasi didedikasikan untuk menaikkan kepimpinan feminis kulit hitam.
Baru-baru ini, BWR mengadakan webinar bertajuk “Black Feminist Writers & Palestine” bersama dengan sekumpulan feminis kulit hitam terkemuka seperti penulis Clarissa Brooks, sarjana Beverly Guy-Sheftall, aktivis/pengarang Angela Davis, wartawan Breya Johnson dan akademik Briona Simone Jones, membentangkan kepada orang awam tentang sejarah wanita Kulit Hitam yang progresif terhadap anti-Zionisme dan sokongan mereka terhadap Palestin.
Penyair Aja Monet, penyanyi Kehlani dan Amerie, dan aktivis Tamika Mallory antara sebahagian daripada wanita kulit hitam terkemuka yang telah meminjamkan bakat dan platform mereka bagi meratapi lebih 8,000 rakyat Palestin yang telah terbunuh dalam beberapa minggu lalu dan meminta supaya gencatan senjata segera dilakukan bagi mengelakkan lebih banyak kematian di Gaza, dan juga Israel.
CodePink, sebuah gerakan feminis di Amerika telah melakukan kempen “Justice For Palestine” serta beberapa siri protes pada perbicaraan Senat di mana Setiausaha Negara Antony Blinken cuba mewajarkan sokongan terhadap Israel.
Dengan tangan mereka dicat merah seperti darah penduduk Gaza, mereka menjerit “Hentikan senjata sekarang!” dan “Selamatkan anak-anak Gaza”
Banyak lagi gerakan feminis di barat Women for Transparency in Arms Trade, Mira: Feminisms and Democracies, dan lain-lain yang bergerak secara agresif sebagai respon pada konflik yang berlaku ini.
Melihat pada tindakan Israel yang membuat beberapa siri serangan tidak masuk akal ke atas wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah tanpa mengira agama, maka jelas setiap pejuang feminis, khususnya di Malaysia sepatutnya melakukan perkara yang sama seperti pejuang feminis di luar.
Keghairahan mereka menyokong serta segera bertindak melakukan sesuatu bagi membantu rakyat Palestin dalam perjuangan membebaskan negara mereka daripada cengkaman penjajah Israel.
Jika tidak, adakah layak gerakan-gerakan feminis di Malaysia ini menggelar diri mereka sebagai gerakan memperjuangkan hak wanita? – The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.
