Terkini
Hina agama : Tiada keperluan pinda undang-undang -Timbalan Menteri Agama
“Undang-undang sedia ada sudah boleh untuk mengenakan tindakan kepada mana-mana individu yang melakukan perkara yang boleh dikategorikan sebagai menghina agama.”

- Tiada keperluan meminda undang-undang bagi kesalahan hina Islam dan Nabi Muhammad kerana yang sedia ada sudah memadai dengan peruntukan hukuman yang berat.
- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary tegaskan tiada kompromi kepada sesiapa yang melakukan provokasi hina agama.
KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk meminda undang undang bagi kesalahan menghina agama Islam dan juga Nabi Muhammad SAW sebaliknya undang-undang sedia ada sudah memadai dengan peruntukan hukuman yang berat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata kerajaan sentiasa tegas dalam perkara tersebut dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja menimbulkan provokasi penghinaan terhadap agama.
“Undang-undang sedia ada sudah boleh untuk mengenakan tindakan kepada mana-mana individu yang melakukan perkara yang boleh dikategorikan sebagai menghina agama.
“Dan sudah ada pun yang didakwa dan dijatuhkan hukuman dalam masa terdekat.”
Menurut Ahmad Marzuk hukuman yang dijatuhkan ke atas salah seorang individu baru-baru ini kerana menghina agama Islam dan Nabi Muhammad dengan didenda RM50,000 serta dipenjara 6 bulan jika tidak dapat membayar denda dianggap memadai dan memberi pengajaran dan peringatan kepada semua.
“Apa yang saya boleh sebutkan ialah tidak kompromi kepada mana-mana individu, mana mana kumpulan, mana-mana pihak yang secara sengaja melakukan provokasi termasuklah provokasi dari sudut penghinaan terhadap agama,” katanya menerusi laporan Astro Awani..
Tegas Ahmad Marzuk, kerajaan tidak akan melepaskan mereka yang terlibat dalam penghinaan agama dalam apa sahaja ruang tindakan undang-undang sama ada melalui undang-undang syariah atau sivil.
“Kita akan cari mereka, kejar mereka kerana ini boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam negara kita.”
Sumber : Astro Awani

You must be logged in to post a comment Login