Antarabangsa
Hak pendidikan wanita dinafi: ICC keluar waran tangkap ke atas dua pemimpin tertinggi Taliban

- Dalam kenyataan pada Selasa, panel hakim ICC menyatakan bahawa terdapat “alasan munasabah” untuk mempercayai kedua-dua pemimpin itu telah menyasarkan wanita dan kanak-kanak perempuan dengan mengenakan sekatan yang mencabul hak asasi mereka atas sebab jantina, termasuk hak mendapat pendidikan, kebebasan bergerak dan bersuara, serta hak dalam kehidupan keluarga dan peribadi.
- Taliban dalam reaksi balas segera menolak waran tangkap tersebut sebagai “retorik tidak berasas”, dan menegaskan mereka tidak mengiktiraf bidang kuasa ICC.
THE HAGUE – Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap ke atas dua pemimpin tertinggi Taliban, Ketua Tertinggi Haibatullah Akhunzada dan Ketua Hakim Abdul Hakim Haqqani atas dakwaan melakukan penganiayaan berasaskan jantina terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan di Afghanistan.
Dalam kenyataan pada Selasa, panel hakim ICC menyatakan bahawa terdapat “alasan munasabah” untuk mempercayai kedua-dua pemimpin itu telah menyasarkan wanita dan kanak-kanak perempuan dengan mengenakan sekatan yang mencabul hak asasi mereka atas sebab jantina, termasuk hak mendapat pendidikan, kebebasan bergerak dan bersuara, serta hak dalam kehidupan keluarga dan peribadi.
Menurut ICC, penganiayaan tersebut bermula sejak Taliban mengambil alih kuasa pada 15 Ogos 2021 selepas pengunduran tentera Amerika Syarikat, dan berterusan sekurang-kurangnya sehingga 20 Januari tahun ini.
Taliban dalam reaksi balas segera menolak waran tangkap tersebut sebagai “retorik tidak berasas”, dan menegaskan mereka tidak mengiktiraf bidang kuasa ICC.
Jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid mendakwa bahawa pentadbiran mereka telah menegakkan keadilan berdasarkan undang-undang Syariah yang suci, serta mengkritik ICC kerana gagal bertindak terhadap kekejaman harian ke atas wanita dan kanak-kanak di Gaza.
Pengekangan ke atas hak wanita oleh Taliban telah mendapat kecaman antarabangsa, termasuk daripada negara majoriti Muslim seperti Turkiye, Arab Saudi dan Qatar, khususnya terhadap larangan pendidikan untuk wanita.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan bahawa 2.5 juta kanak-kanak perempuan di Afghanistan kini dinafikan hak untuk ke sekolah.
Sementara itu, perhatian turut tertumpu kepada bagaimana waran ini akan dikuatkuasakan, memandangkan ICC tidak mempunyai pasukan polis sendiri dan bergantung kepada negara anggota.
Sebelum ini, beberapa negara Barat enggan melaksanakan waran ICC terhadap pemimpin Israel, termasuk Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, menunjukkan cabaran besar kepada pelaksanaan undang-undang antarabangsa yang saksama dan konsisten. -The Merdeka Times
