Connect with us

Antarabangsa

Wanita Filipina bangkit perjuang hak untuk bercerai

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Tangkap layar dokumentari terbitan Aljazeera tersebut.
  • Filipina kini menjadi satu-satunya negara di dunia selain Vatican yang masih mengharamkan perceraian.
  • Berdasarkan dokumentari terbitan AlJazeera, keadaan itu didapati menyebabkan ramai wanita terperangkap dalam perkahwinan yang penuh penderaan dan keganasan.
  • “Kami bukan hanya berjuang untuk diri sendiri. Kami berjuang demi anak-anak perempuan kami, agar mereka tidak terperangkap seperti kami.” – AJ Alafara, Ketua Divorce Filipinas Coalition.

MANILA – Dalam sebuah negara yang amat mementingkan nilai agama Katolik, sekumpulan wanita Filipina kini bangkit memperjuangkan satu hak asas yang telah lama dinafikan kepada mereka – hak untuk bercerai.

Filipina kini menjadi satu-satunya negara di dunia selain Vatican yang masih mengharamkan perceraian.

Berdasarkan sebuah dokumentari berdurasi hampir 30 minit yang diterbitkan AlJazeera, keadaan itu didapati menyebabkan ramai wanita terperangkap dalam perkahwinan yang penuh penderaan dan keganasan.

“Sudah 15 tahun saya didera secara fizikal dan mental. Saya pernah cuba bunuh diri dua kali kerana putus harapan,” kata Stella Sabonga, yang kini menjadi aktivis hak wanita.

Menurut dokumentari itu, Sabonga bukan satu-satunya mangsa keadaan tetapi ribuan wanita lain turut mengalami nasib sama yang terpaksa terus hidup bersama pasangan yang memudaratkan mereka, hanya kerana tidak ada saluran undang-undang untuk membebaskan diri.

Bagi mereka, kehidupan tanpa kebebasan dan keselamatan bagaikan hidup dalam kematian.

Walaupun pihak gereja Katolik dan pemimpin konservatif tegar menentang perubahan, gerakan rakyat semakin kuat.

Sebuah kumpulan bernama Divorce Filipinas Coalition kini menjadi suara utama dalam memperjuangkan undang-undang perceraian.

Dipimpin wanita berani seperti AJ Alafara, kumpulan itu telah mengumpulkan lebih 100,000 ahli yang lantang menyuarakan perjuangan mereka di media, forum, dan Parlimen.

“Kami bukan penjenayah. Kami hanya mahu peluang kedua dalam hidup,” tegas Alafara yang telah berpisah dengan suaminya lebih satu dekad lalu, namun masih terikat secara sah kerana undang-undang tidak mengiktiraf perpisahan mereka.

Usaha gigih kumpulan ini kini menampakkan hasil.

Pada Mei 2024, Dewan Perwakilan Filipina telah meluluskan rang undang-undang perceraian – satu langkah bersejarah yang membuka harapan baharu buat wanita Filipina. Rang undang-undang ini kini sedang dipertimbangkan oleh Senat.

Walaupun laluan masih jauh dan halangan masih besar, suara-suara wanita Filipina kini tidak lagi boleh diabaikan. Perjuangan mereka bukan hanya soal undang-undang – ia adalah tentang hak asasi, maruah, dan keselamatan.

“Kami bukan hanya berjuang untuk diri sendiri. Kami berjuang demi anak-anak perempuan kami, agar mereka tidak terperangkap seperti kami.

“Perceraian bukan dosa. Ia adalah penyelamat hidup. Dan setiap wanita berhak mendapat kehidupan yang selamat, bebas dan bermaruah,” jelas Alafora dalam dokumentari itu. – The Merdeka Times

Author