Connect with us

Terkini

(VIDEO) Pekerja stesen minyak halang lelaki naik kenderaan Singapura isi minyak RON95 di Tebrau

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Tangkap layar paparan video dimuat naik Facebook ROADS.sg. dan komen netizen.
  • Seorang pekerja stesen minyak di Tebrau, Johor dilihat menghalang seorang lelaki yang menaiki kereta mewah berpendaftaran asing dari Singapura mengisi minyak petrol RON95 di stesen minyak berkenaan, sekitar jam 3.50 petang pada Isnin.
  • Tindakan pekerja stesen minyak terbabit tular menerusi video berdurasi 50 saat yang dimuat naik Facebook ROADS.sg pada Selasa.
  • Tinjauan The Merdeka Times di ruangan komen hari ini mendapati tindakan lelaki berkenderaan BMW itu bukan sahaja mengundang kritikan netizen di negara ini, malah rakyat Singapura sendiri turut meluahkan rasa benci dengan sikap lelaki terbabit yang disifatkan sebagai kedekut dan tamak.

KUALA LUMPUR — Seorang pekerja stesen minyak di Tebrau, Johor dilihat menghalang seorang lelaki yang menaiki kereta mewah berpendaftaran asing dari Singapura mengisi minyak petrol RON95 di stesen minyak berkenaan, sekitar jam 3.50 petang pada Isnin.

Tindakan pekerja stesen minyak terbabit tular menerusi video berdurasi 50 saat yang dimuat naik Facebook ROADS.sg pada Selasa, memaparkan pada awalnya sepanjang beberapa saat lelaki berkenderaan mewah itu mengisi RON95 ke dalam keretanya, tiada sesiapa tampil menghentikan atau memaklumkan tindakan dia itu melanggar undang-undang negara ini.

Bagaimanapun, pekerja stesen minyak itu yang kemudiannya menyedari lelaki berkenaan sedang mengisi RON95 ke dalam kereta berdaftar asing dengan segera berjalan ke arahnya, lalu mencabut pam warna kuning daripada kenderaan tersebut.

Foto: Tangkap layar paparan video dimuat naik Facebook ROADS.sg.

Menerusi video bertarikh 7 April 2025 itu, dapat dilihat ada perbualan tercetus di antara mereka berdua namun tidak dapat dikenal pasti kandungannya memandangkan video itu tidak disertakan audio.

Foto: Tangkap layar komen netizen di Facebook ROADS.sg.

Tinjauan The Merdeka Times di ruangan komen hari ini mendapati tindakan lelaki berkenderaan BMW itu bukan sahaja mengundang kritikan netizen di negara ini, malah rakyat Singapura sendiri turut meluahkan rasa benci dengan sikap lelaki terbabit yang disifatkan sebagai kedekut dan tamak.

Tan Jo yang meninggalkan komen diperkongsian Facebook ROADS.sg turut meminta pihak berkuasa negara ini supaya mengenakan denda ke atas lelaki tersebut.

Cheapo class, got $ for BMW no $ for petrol (ada duit untuk BMW, tapi tak ada duit untuk petrol),” komen Max Li.

Cheapskate! Drive BMW somemore! Shame! (Kedekut! Bawa BMW pulak tu! Memalukan!)” komen Fid Biden.

Foto: Tangkap layar komen netizen di Facebook ROADS.sg.

Dalam masa sama, netizen juga dilihat mendesak supaya lelaki itu dikenakan tindakan tegas seperti denda dan penjara supaya cubaan mana-mana individu yang menaiki kenderaan bernombor pendaftaran asing mengisi petrol RON95 yang disubsidikan khas buat rakyat Malaysia dapat dihentikan.

Foto: Tangkap layar komen netizen di Facebook ROADS.sg.

Call PDRM if that fella pump RON 95 don’t let him run. Charge according cannot say I don’t know. So if really don’t know then pay summon to know (Hubungi PDRM jika lelaki tu isi RON 95, jangan biarkan dia lari. Kenakan dakwaan, tak boleh cakap tak tahu. Kalau betul tak tahu, bayar saman untuk tahu),” komen Jim Chia.

Petrol RON95 diberi subsidi bernilai berbilion ringgit setiap tahun oleh Malaysia untuk kemudahan yang hanya dikhususkan buat rakyat negara ini.

Menurut media, di bawah Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, pengusaha stesen minyak di negara ini boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, sekiranya didapati menjual petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing. — The Merdeka Times

Author