Connect with us

Komuniti

(VIDEO) MIC nafi tetap bina kuil walau terima notis henti kerja daripada DBKL

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto : Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah

KUALA LUMPUR — Malaysian Indian Congress (MIC) menafi dakwaan pihaknya masih meneruskan pembinaan kuil di sebelah Surau Jumaat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) walau sudah menerima notis henti kerja pembinaan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah berkata pihaknya sudah lama menghentikan kerja pembinaan kuil itu selepas menerima panggilan pihak DBKL iaitu sebelum notis henti kerja  diterima mereka lagi.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat menyatakan secara jelas tarikh panggilan itu diterima kerana tidak dapat mengingatinya.

“Kita dah hentikan semua pembinaan (kuil) tu sehingga kita dapat surat yang akan datang kelulusan (DBKL) akan datang setelah kelulusan diberi baru kita akan bina balik kuil tu.

“Jika sekiranya mereka (DBKL) memberi jawapan yang sebaliknya nanti kita akan putuskanlah apa tindakan kami selanjutnya,” katanya ketika ditemui The Merdeka Times selepas sesi sidang media Perhimpunan Aman Bantah Pembinaan Kuil Tanpa Kebenaran di Sebelah Surau Jumaat PERKIM di sini pada Jumaat petang.

 

Perhimpunan Aman itu diadakan oleh komuniti Surau Jumaat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) bersama masyarakat setempat dan disertai beberapa NGO lain bagi menyatakan bantahan terhadap pembinaan kuil kecil yang didirikan bersebelahan Ibu Pejabat MIC dan berhadapan Surau Jumaat PERKIM.

Menurut kenyataan media perhimpunan itu, pembinaan kuil tersebut dipercayai dilakukan tanpa kelulusan rasmi DBKL dan walaupun pihak berkuasa tempatan terbabit telah mengeluarkan notis berhenti kerja pembinaan, pihak terlibat masih meneruskan aktiviti pembinaan secara berterusan.

Mengulas dakwaan MIC membina kuil tanpa kelulusan DBKL, T Murugiah berkata pihaknya telah lama membuat permohonan kepada pihak berkuasa tempatan terbabit dan ia sedang diteliti oleh pihak DBKL.

Jelasnya, tapak kuil itu dibina di kawasan compound MIC (kawasan milik MIC) dan beliau yakin isu berkenaan akan selesai dalam masa terdekat ini serta jika diputuskan kuil tersebut perlu dipindah maka pihaknya akan patuh arahan DBKL.

Foto: Kuil terbabit (kiri) yang terletak bersebelahan Surau Jumaat PERKIM (kanan).

Naib Presiden MIC itu pada masa sama turut mendakwa semasa pembinaan kuil berkenaan dijalankan, pihaknya tidak tahu bahawa wujud sebuah surau di kawasan berdekatan kerana sebelum ini ia ditutupi langsir.

“Waktu pembinaan kuil tu kita tak tahu pun yang ada surau di situ, tidak… Pasal apa tadi, seperti mana  kawan saya cerita tadi dia ada penutup, curtain di situ, dah wujud temple di sini, baru kami nampak ada surau di situ.

“Bukan kami tahu dah wujud surau (di PERKIM), sengaja kita pergi bina temple di situ. Tidak (bukan begitu situasinya),” katanya. — The Merdeka Times

Author