Terkini
(VIDEO) Bina kuil atas tanah sendiri tetap perlu kebenaran DBKL – Naib Yang Dipertua PERKIM

KUALA LUMPUR — Permasalahan dalam isu pembinaan kuil di sebelah Surau Jumaat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) tercetus apabila pihak pengurusan kuil tetap membina kuil terbabit tanpa mendapatkan kebenaran pihak DBKL terlebih dulu.
Naib Yang Dipertua PERKIM, Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata sekalipun kuil itu ingin dibina atas tanah milik mereka sendiri, dalam konteks perundangan ia tetap perlu mendapat kebenaran pihak DBKL.
Jelas Prof Dr Ridhuan, konflik bertambah meruncing apabila pihak kuil tidak mengendahkan arahan DBKL untuk memberhentikan kerja pembinaan.
“Bila nak buat bangunan (kuil) di tanah dia (pihak kuil) sendiri pun, dia kena minta kebenaran daripada DBKL sebelum dia dirikan bangunan sebegini.
“Tetapi, dia buat sahaja (tanpa kebenaran DBKL) dan bila kita bantah, DBKL datang… kemukakan saman dan sebagainya, tapi kemudian dia sambung lagi kerja-kerja (pembinaan) macam ni.
“Kalau yang buat tu, orang yang tak tahu apa-apa, ini sebuah parti (politik) yang begitu lama berada dalam kerajaan…. Bagikan cadangan-cadangan (selesaikan isu), kita (pihak surau PERKIM) pula kena tinted cermin kita supaya tidak memandang kepada dia (kuil terbabit).
“Saya rasa perkara ni tidak masuk akal langsung!,” kata Ridhuan Tee ketika ditemui pemberita di Perhimpunan Aman Bantah Pembinaan Kuil Tanpa Kebenaran di Sebelah Surau Jumaat PERKIM di sini hari ini.

Foto: Gambar Perhimpunan Aman Bantah Pembinaan Kuil Tanpa Kebenaran di Sebelah Surau Jumaat PERKIM di sini hari ini
Turut membantah adalah Setiausaha Surau Jumaat PERKIM, Mohd Farhan Tee Abdullah yang menyatakan bahawa setakat jam 3 petang tadi, hampir 400 orang, termasuk jemaah surau dan komuniti surau PERKIM telah menandatangani petisyen membantah pembinaan kuil terbabit.

Foto: Gambar hampir 400 tandatangan orang yang bantah pembinaan kuil terbabit.
Mohd Farhan berkata sepatutnya sebelum pembinaan apa-apa rumah ibadat atau pembangunan perlu meletakkan ‘notice board’ (papan notis awam) tentang cadangan pembinaan kuil dan sekiranya ada bantahan boleh kemukakan pada pihak tertentu.
Bagaimanapun menurut beliau dalam pembinaan kuil itu, pihaknya serta masyarakat setempat langsung tidak tahu berkenaan akan ada pembinaan kuil tersebut sebelum ini.
“Selaku Setiausaha Surau Jemaah PERKIM, daripada segi jemaah kami mendapat aduan yang sangat ramai dan ramai memberikan aduan kepada pihak DBKL sebelum ini, serta ada juga yang buat laporan polis yang mengatakan ketidakselesaan jemaah bila mana adanya kuil betul-betul di hadapan PERKIM.
“Jadi kami mohonlah sangat kepada pihak pengurusan kuil dan juga pihak MIC dapat memikirkan satu kaedah bagaimana untuk dapat dialihkan kuil ini ke tempat asal sebab sebelum ini tempat asal kami tidak pernah ada apa-apa complain sebenarnya.
“Kami sangat menghormati pihak MIC sebenarnya ini sebagai jiran kita tapi bila mana kuil yang asal itu dipindahkan ke depan (surau PERKIM) di tempat baru ini, ia menimbulkan suasana tidak begitu selesa di kalangan kami,” kata Farhan yang turut menyatakan bahawa tanah dibina kuil itu merupakan milik pihak MIC.
Bagi pendakwah dan pempengaruh, Firdaus Wong Wai Hung pula, tindakan pihak terlibat yang membina kuil di atas tanah mereka sendiri dan bukan dibina atas tanah orang lain, wajar dipuji.
Namun tegas beliau sebarang pembinaan bangunan, termasuk surau atau ingin mengubahsuai rumah sekalipun kita perlu mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu dalam kes kuil ini adalah DBKL.
“Jadi, isunya bukan isu perkauman ataupun agama, kita kena jelas (dalam hal ini) jangan sesiapa cuba mempolemikkan isu ini menjadi isu perkauman ataupun isu agama. Bukan.
“Isu ini adalah Rukun Negara kedaulatan undang-undang… Kalau siapa yang nak renovate rumah pun, dia kena dapatkan kelulusan dan kalau dah renovate pun, kalau tiada kelulusan, DBKL dan PBT juga, mereka ada hak untuk pergi merobohkan.
“Kalau di rumah-rumah orang lain yang telah di-renovate flat PPR yang B40 tapi renovate macam T20 pun boleh dirobohkan, maka ini adalah isu undang-undang… Jangan dipolemikan menjadi isu perkauman ataupun isu agama,” kata Firdaus Wong.

Foto: Kenyataan Media Perhimpunan Aman Bantah Pembinaan Kuil Tanpa Kebenaran di Sebelah Surau Jumaat PERKIM.
Dalam masa sama, menurut kenyataan media yang dilihat The Merdeka Times di sini hari ini, antara tuntutan dibuat dalam perhimpunan itu adalah mereka meminta pihak DBKL mengambil tindakan penguatkuasaan segera bagi menghentikan sepenuhnya pembinaan yang melanggar undang-undang itu, selain menuntut pematuhan ketat terhadap undang-undang perancangan dan pembangunan demi kesejahteraan bersama. — The Merdeka Times
