Connect with us

Terkini

Teks Perlembagaan Bahasa Melayu: PM & Pejabat Peguam Negara perlu ambil serius titah Raja Perlis

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof
  • Perdana Menteri dan Pejabat Peguam Negara perlu mengambil serius berkenaan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dalam sepucuk surat yang menuntut teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu kekal berkuatkuasa.
  • Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof menegaskan dalam hal ini pihak terlibat perlu memandang serius tentang perkara berkenaan supaya usaha dilaksana sekian lama itu dapat disempurnakan melalui satu dokumen yang diwartakan dan ditandatangani Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong ketika ini.
  • “Jadi jika perkara ini tidak diberi perhatian serius maka ia merupakan satu perkara yang mengecewakan.
  • “Dan soal teknikal dari sudut tafsiran dan sebagainya sebenarnya apabila kita menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rujukan saya percaya dari sudut tafsiran Perlembagaan akan jadi lebih baik kerana bahasa itu menggambarkan budaya, identiti masyarakat dan tafsiran Perlembagaan akan lebih dekat dengan realiti setempat, realiti negara kita dan ini menjadikan Perlembagaan Persekutuan benar-benar sesuai dengan jati diri negara kita sendiri”. – Muhammad Fathi.

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri dan Pejabat Peguam Negara perlu mengambil serius berkenaan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dalam sepucuk surat yang menuntut teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu kekal berkuatkuasa.

Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata ini kerana surat diutuskan DYMM Raja Perlis kepada Peguam Negara itu merupakan satu ingatan penting tentang tanggungjawab perlu dilaksanakan kerajaan atau badan eksekutif yang mentadbir negara hari ini iaitu dalam konteks perundangan, ia dipimpin Perdana Menteri melalui jentera yang ada, termasuk Pejabat Peguam Negara.

Muhammad Fathi menegaskan dalam hal ini pihak terlibat perlu memandang serius tentang perkara berkenaan supaya usaha dilaksana sekian lama itu dapat disempurnakan melalui satu dokumen yang diwartakan dan ditandatangani Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong ketika ini.

Katanya, ia bagi memastikan peruntukan dalam Perkara 160 (b) itu dapat dilaksanakan sehingga teks Bahasa Melayu mengatasi teks Bahasa Inggeris yang ada hari ini.

“Kita telah merdeka sejak lama, sepatutnya isu ini telah pun dapat diselesaikan sejak daripada dulu sesuai dengan prinsip di bawah Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan dokumen yang paling penting dalam undang-undang kita yang paling tinggi yang paling mengatasi dokumen-dokumen undang-undang lain seperti Perlembagaan Persekutuan sepatutnya meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rujukan utama.

“Jadi jika perkara ini tidak diberi perhatian serius maka ia merupakan satu perkara yang mengecewakan.

“Dan soal teknikal dari sudut tafsiran dan sebagainya sebenarnya apabila kita menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rujukan saya percaya dari sudut tafsiran Perlembagaan akan jadi lebih baik kerana bahasa itu menggambarkan budaya, identiti masyarakat dan tafsiran Perlembagaan akan lebih dekat dengan realiti setempat, realiti negara kita dan ini menjadikan Perlembagaan Persekutuan benar-benar sesuai dengan jati diri negara kita sendiri,” katanya kepada The Merdeka Times di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pada 16 Januari lalu, DYMM Raja Perlis dilapor bertitah kepada Peguam Negara menerusi sepucuk surat yang menuntut teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu kekal berkuatkuasa.

Salinan surat titah DYMM Raja Perlis itu dikongsi Pertubuhan Pemerkasaan Identiti Malaysia (IDENTITI) di laman Facebook-nya.

Menurut pertubuhan itu, perkara berkenaan penting untuk dihebahkan kerana DYMM Raja Perlis sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke-12 telah memperkenan teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu sejak 29 September 2003 lagi iaitu 22 tahun lalu.

Berdasarkan Perkara 160 (b) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa sekiranya Perlembagaan ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan, maka Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan teks dalam bahasa kebangsaan itu sebagai teks sahih.

Setelah penetapan tersebut dibuat, sekiranya wujud sebarang percanggahan atau perselisihan antara kedua-dua teks itu, maka teks dalam bahasa kebangsaan hendaklah mengatasi teks dalam bahasa Inggeris.— The Merdeka Times

Author