Antarabangsa
Pelancong Israel perlu akui tidak pernah terlibat jenayah perang untuk menginap hotel di Jepun

- Sebuah hotel di Kyoto, Jepun, meminta seorang pelancong Israel menandatangani satu akuan bahawa beliau tidak terlibat dalam jenayah perang sepanjang perkhidmatan tenteranya sebagai syarat untuk mendaftar masuk, lapor Ynetnews.
- Pada mulanya, pelancong tersebut enggan menandatangani borang itu, namun akhirnya bersetuju selepas dimaklumkan bahawa semua tetamu dari Israel dan Rusia diwajibkan berbuat demikian.
- Susulan insiden itu, Duta Israel ke Jepun, Gilad Cohen, telah menghantar surat rasmi kepada Gabenor Kyoto, Takatoshi Nishiwaki, menyatakan bahawa tindakan hotel tersebut adalah tidak boleh diterima.
JEPUN — Sebuah hotel di Kyoto, Jepun, meminta seorang pelancong Israel menandatangani satu akuan bahawa beliau tidak terlibat dalam jenayah perang sepanjang perkhidmatan tenteranya sebagai syarat untuk mendaftar masuk, lapor Ynetnews.
Pelancong itu berkata insiden berlaku selepas beliau menunjukkan pasport Israel di kaunter penerimaan tetamu, sebelum seorang petugas hotel menyerahkan borang tersebut dan memaklumkan bahawa tanpa tandatangan, beliau tidak dibenarkan menginap di premis tersebut.
Jelasnya, borang berkenaan menghendakinya mengisytiharkan bahawa beliau tidak pernah terlibat dalam jenayah perang, termasuk serangan ke atas orang awam, membunuh individu yang menyerah diri, atau melakukan kekejaman terhadap tahanan.
Pada mulanya, pelancong tersebut enggan menandatangani borang itu, namun akhirnya bersetuju selepas dimaklumkan bahawa semua tetamu dari Israel dan Rusia diwajibkan berbuat demikian.
Borang tersebut mengandungi pengakuan individu yang menyatakan bahawa tidak pernah merancang, mengarahkan, membantu, menghasut atau terlibat dalam sebarang jenayah perang, dan berikrar untuk terus mematuhi undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan.
Susulan insiden itu, Duta Israel ke Jepun, Gilad Cohen, telah menghantar surat rasmi kepada Gabenor Kyoto, Takatoshi Nishiwaki, menyatakan bahawa tindakan hotel tersebut adalah tidak boleh diterima.
Pengurus hotel berkenaan bagaimanapun mempertahankan langkah tersebut.
“Bagi kami, perang adalah sesuatu yang asing dan kami tidak biasa bertemu dengan mereka yang membunuh wanita dan kanak-kanak atau mengebom sekolah,” tegasnya.
Insiden serupa dilaporkan pernah berlaku di sebuah lagi hotel di Kyoto pada bulan Jun tahun lalu.-The Merdeka Times
