Terkini
Peguam Kanan pertahan cadangan Tengku Maimun berkait hapus peranan PM lantik hakim

- Tiada yang salah dengan cadangan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat baru-baru ini berkenaan menghapuskan peranan atau mengelakkan campur tangan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim.
- Menurut peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla cadangan Tengku Maimun itu bertujuan menjadikan pindaan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta SPK) lebih lengkap dan menyeluruh, memandangkan undang-undang itu asalnya dipinda bagi mengurangkan campur tangan Perdana Menteri dalam kehakiman.
- Meskipun pindaan telah dibuat pada 2009, Perdana Menteri masih dilihat mengawal selia komposisi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) memandangkan lima daripada sembilan ahli suruhanjaya itu dilantik oleh beliau, sekali gus menjadikan pelantikan Perdana Menteri sebagai majoriti dalam SPK.
- Situasi itu menurut Haniff telah menimbulkan persoalan tentang ketelusan tiada campur tangan Perdana Menteri dalam lantikan hakim.
KUALA LUMPUR — Tiada yang salah dengan cadangan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat baru-baru ini berkenaan menghapuskan peranan atau mengelakkan campur tangan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim.
Ini kerana menurut peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla cadangan Tengku Maimun itu bertujuan menjadikan pindaan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta SPK) lebih lengkap dan menyeluruh, memandangkan undang-undang itu asalnya dipinda bagi mengurangkan campur tangan Perdana Menteri dalam kehakiman.
Bagaimanapun, katanya walau pindaan telah dibuat pada 2009, Perdana Menteri masih dilihat mengawal selia komposisi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) memandangkan lima daripada sembilan ahli suruhanjaya itu dilantik oleh beliau, sekali gus menjadikan pelantikan Perdana Menteri sebagai majoriti dalam SPK.
Situasi itu menurut Haniff telah menimbulkan persoalan tentang ketelusan tiada campur tangan Perdana Menteri dalam lantikan hakim.
“Setakat fahaman dan kenyataan Tun Tengku Maimun tempoh hari, saya percaya beliau menekankan peri penting untuk mengelakkan campur tangan kuasa Perdana Menteri dalam pelantikan hakim.
“Di situ (dalam kenyataan beliau), Tun Tengku Maimun merujuk kepada keadaan undang-undang sekarang di mana di bawah Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Seksyen 5 menentukan komposisi jawatankuasa ataupun suruhanjaya tersebut di mana ia mengandungi empat hakim yang menduduki tangga tertinggi kehakiman pada masa itu, iaitu Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Borneo.
“Empat ini dalam suruhanjaya dan seorang hakim yang telah bersara serta empat orang bebas yang mempunyai kedudukan dihormati di kalangan masyarakat yakni, satu bekas hakim campur empat orang prominent person menjadikan lima, lima ini dilantik oleh Perdana Menteri dalam suruhanjaya tersebut.
“Jadi, Ketua Hakim Negara memberi komen jangan ataupun kurangkan campur tangan (Perdana Menteri) berpandukan kepada kedudukan sekarang iaitu undang-undang sekarang membenarkan Perdana Menteri masih campur tangan dalam pelantikan kehakiman sebab secara tak langsung Perdana Menteri yang melantik lima orang ahli Jawatankuasa Suruhanjaya menjadikan lantikan beliau majoriti (boleh mempengaruhi keputusan), bermaksud Perdana Menteri boleh menentukan orang yang beliau melantik adalah orang yang akan mengambil nama yang dicadangkan oleh beliau.
“Itu saya percaya adalah fahaman betul dan lengkap kenyataan Ketua Hakim Negara,” katanya kepada The Merdeka Times di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gesaan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz supaya tindakan tegas diambil ke atas Tengku Maimun susulan kenyataan beliau yang disifatkan sebagai tidak profesional baru-baru ini, termasuk berkenaan menghapuskan peranan perdana menteri dalam pelantikan hakim.
Tengku Maimun pada Persidangan Undang-Undang Komanwel ke-24 di Malta baru-baru ini dilapor telah berucap supaya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta SPK) dipinda untuk menghapuskan peranan Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan hakim.
Menurut Tengku Maimun, langkah itu boleh membantu mengikis persepsi wujudnya pengaruh politik terhadap badan kehakiman.
Mengulas lanjut, Haniff berkata pindaan 2009 itu dibuat sebelum ini kerana pada masa tersebut satu-satunya proses pelantikan kehakiman adalah menerusi Perdana Menteri menasihati Yang Di-Pertuan Agong untuk melantik hakim.
“Sekarang dengan JAC (Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman), kononnya JAC yang memberi cadangan nama kepada Perdana Menteri dan menurut Seksyen 25 kalau cadangan nama itu tidak dipersetujui oleh Perdana Menteri sebelum dia memajukan sebagai cadangan kepada Agong maka dia boleh minta dua lagi nama tambahan, jadi Perdana Menteri boleh minta nama tambahan daripada JAC untuk dimajukan kepada Agong.
“Itu proses sekarang selepas 2009 tapi kalau Perdana Menteri itu sendiri mengawal selia komposisi suruhanjaya sebab ada lima orang yang beliau sendiri melantik maka di manakah dia ketelusan dalam ketiadaan campur tangan? Itu point Tengku Maimun.
“Apa guna buat pindaan 2009 untuk kononnya kurangkan campur tangan Perdana Menteri dalam kehakiman kalau masih benda itu tidak perfect, maka cadangan Tengku Maimun adalah untuk jadikannya lebih lengkap. Apa salahnya cadangan ini?,” katanya. — The Merdeka Times
