Kolumnis
Kuil Haram: Apabila adat, dakwaan warisan sejarah, jadi alasan ceroboh tanah

Isu kuil Hindu yang dibina di atas tanah tanpa kebenaran sah terus mencetuskan polemik dan ketegangan dalam masyarakat Malaysia.
Realiti di lapangan amat membimbangkan, sebagaimana didedahkan statistik semasa.
Daripada kira-kira 3,200 kuil Hindu di Malaysia, sebahagian besarnya beroperasi tanpa sebarang pendaftaran rasmi atau status pemilikan tanah yang sah.
Di Kedah, hanya 25 daripada 523 kuil dibina di atas tanah milik sendiri. Di Kuala Lumpur pula, sebanyak 115 kuil berdiri tanpa geran atau permit pembinaan yang diperlukan.
Apa yang lebih mengejutkan di Selangor, antara 2010 hingga 2022, hampir 100 lagi kuil haram dibina — satu pertambahan yang mencerminkan betapa undang-undang terus diinjak-injak.

Foto: Statistik kuil ‘haram’ yang dibina secara tidak sah mengikut undang-undang.
Apabila berlaku konflik antara pemilik tanah sah dan pihak pengurusan kuil, reaksi yang ditunjukkan seringkali emosional dan agresif – protes besar-besaran, perarakan jalanan, malah ada yang menuduh sebarang penguatkuasaan seperti satu serangan perkauman dan agama.
Alasan utama yang sering dikemukakan adalah nilai sejarah – dakwaan bahawa kuil tersebut telah wujud beratus tahun dan merupakan warisan penting bagi komuniti Hindu setempat.
Asal usul kewujudan kuil di Malaysia
Menurut Vineeta Sinha dalam Temple Tracks, kewujudan kuil Hindu di Malaysia berakar daripada era kolonial British pada penghujung abad ke-19, apabila buruh-buruh India yang dibawa masuk untuk mengisi keperluan tenaga kerja ladang dan projek infrastruktur.
Majoriti besar imigran India adalah penganut Hindu yang dianggarkan sekitar 80 peratus dan berasal dari kasta bawahan.
Disebabkan ketiadaan golongan pendeta Brahmin dalam kalangan imigran India yang dibawa masuk ke Tanah Melayu, maka terbentuklah satu struktur sosial dan keagamaan Hindu yang baru, berbeza daripada hierarki tradisional di tanah asal mereka.
Seperti yang dihuraikan dalam kajian ahli sosiologi India, M. N. Srinivas, fenomena ini telah menghasilkan sistem kasta tempatan – membentuk corak amalan agama Hindu tersendiri di Tanah Melayu.
Golongan pertama yang berkasta ‘tinggi’ (uyarntajdti) terdiri daripada Vellalar, Vanniyar, Kavuntar, Nadar, Kallar, Muthurajah, Cettiyar, dan Mudaliyar – yang kebanyakannya adalah pemilik tanah dan pedagang di India Selatan.
Manakala, golongan kedua yang berkasta rendah (talntajati) adalah dari kalangan Adi Dravida termasuk Ambattar, Vannar, Paraiyar, Pallar, dan Chakkiliyar, yang secara dahulunya bekerja sebagai tukang gunting, tukang cuci dan buruh tani.
Bahkan, menurut R. Rajoo, diskriminasi antara kasta ini begitu ekstrem – bukan sahaja mereka tidak dibenarkan bergaul sesama sendiri malah golongan kasta rendah dilarang beribadah di kuil-kuil yang dikawal golongan kasta tinggi.
“Golongan kasta tinggi masih lagi menghalang penyertaan langsung golongan kasta rendah dalam urusan kuil, seperti memegang jawatan pentadbiran atau memasak untuk perayaan kuil,” katanya dalam Sanskritization and Indian Ethnicity in Malaysia.
Sebagai respon, golongan kasta rendah beribadah hanya di kuil mereka sendiri yang didedikasikan untuk dewa-dewa kecil seperti Munisvaran, Muniyanti, dan Mariyamman.
Bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, mereka mulai membina kuil-kuil kecil di bawah pokok ara, tepi jalan, ladang-ladang atau lokasi yang dianggap keramat.
Pada peringkat awal, kebanyakan kuil ini bersifat non-agamik — tidak berpandukan ketetapan (kitab) Agamas Hindu, tidak didirikan secara formal, dan dibina tanpa kelulusan sah, apatah lagi di atas tanah milik sendiri.
Memandangkan pada waktu itu, kebanyakan buruh India berniat untuk kembali ke tanah air setelah kontrak mereka tamat. Justeru, kuil-kuil yang dibina bersifat ringkas dan sementara.
Namun, apabila generasi seterusnya memilih untuk menetap di Tanah Melayu selepas kemerdekaan, kuil-kuil yang asalnya sementara ini mula dijadikan struktur yang lebih kekal dan menjadi kuil komuniti atau ‘katedral’ Hindu yang besar.
Malangnya, proses pembangunan ini terus mengabaikan undang-undang tanah negara, meskipun sistem kasta telah dihapuskan dan Kanun Tanah Negara telah berkuat kuasa sepenuhnya sejak kemerdekaan.
Di Selangor, pada tahun 2010, sebanyak 685 daripada 981 kuil Hindu direkodkan tidak memiliki hak milik tanah yang sah. Lebih mengejutkan, jumlah itu meningkat kepada 773 kuil haram pada tahun 2022.
Bayangkan — hampir 100 kuil baru dibina dalam masa satu dekad tanpa sebarang kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri, sama ada di atas tanah kerajaan mahupun tanah persendirian.
Adat membina kuil tanpa izin ini bukan sahaja berterusan, malah semakin berleluasa seolah-olah kedaulatan undang-undang itu hanya wujud di atas kertas.
Soalnya, kenapa adat ini masih berlarutan dalam sebuah negara yang sudah lama merdeka dan mempunyai sistem perundangan yang jelas?
Jika undang-undang tanah telah berkuat kuasa, mengapa pencerobohan tanah terus dibiarkan, berselindung di sebalik alasan agama atau warisan budaya?
Adat Hindu VS Kuasa undang-undang
Menurut Persatuan Hindu Sangam Malaysia (MHS), kuil sebenar harus dibina berlandaskan prinsip: atas tanah milik sendiri dengan kelulusan kerajaan, bukan dibangunkan sesuka hati.
“Tempat-tempat ibadat yang didirikan dalam pondok, di bawah pokok, di tepi jalan atau di dalam kawasan rumah tidak boleh dianggap sebagai kuil sebenar.
“Kuil-kuil seperti ini tidak dibina mengikut Agamas. Oleh itu, kuil-kuil sebegini sepatutnya dielakkan dan tidak digalakkan,” katanya dalam buku garisan panduan kuil ‘Temple Guide’.
Kenyataan yang diberikan MHS juga senada dengan Mahkamah Tinggi dalam kes kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada tahun 2019 yang menolak permohonan pihak pengurusan kuil untuk menghalang pemaju One City Development Sdn Bhd daripada merobohkan kuil yang dibina di atas tanah milik pemaju.

Foto: Isu kuil Sri Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 2018 yang telah mengorbankan seorang ahli bomba Malaysia, Muhammad Adib.
Hakim Wong Kian Kheong, dalam penghakimannya, secara tegas menyatakan bahawa adat Hindu tidak mempunyai kuasa undang-undang di Malaysia, berdasarkan tafsiran Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Saya terikat untuk menolak sebarang kebergantungan terhadap adat Hindu dan Kanun Tanah Negara.
“Tafsiran undang-undang dalam Artikel 160(2) dalam perlembagaan menyatakan ‘undang-undang’ termasuk undang-undang bertulis, common law selagi ia terpakai dalam persekutuan atau bahagiannya, dan apa-apa adat atau kebiasaan mempunyai kuasa undang-undang dalam persekutuan atau bahagiannya.
“Menurut tafsiran ini, adat atau kebiasaan hanya boleh dikuatkuasakan jika boleh ditunjukkan ia ada ‘kuasa undang-undang’. Dalam kes ini, tiada bukti bahawa adat Hindu mempunyai kuasa undang-undang,” katanya
Oleh itu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pihak kuil Sri Maha Mariamman yang disifatkan tiada locus standi (kebolehan untuk membawa kes ke mahkamah) untuk menyaman One City Development Sdn Bhd daripada mendekati tanah itu untuk meruntuhkan kuil.
Keputusan mahkamah pada 2019 ini jelas menunjukkan bahawa adat Hindu tersebut tidak diiktiraf sebagai norma yang sah di sisi undang-undang negara.
Dalam erti kata lain, adat ini tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk melanggar hak pemilikan, apatah lagi untuk menuntut status sah ke atas bangunan yang dibina secara haram.
Jadi, berlindung di sebalik “sejarah” untuk menjustifikasikan pendudukan tanah secara haram sebenarnya adalah hujah yang rapuh dan berbahaya.
Ia mengabaikan prinsip asas kedaulatan undang-undang (rule of law) yang menjadi tulang belakang sesebuah negara.
Hak pemilikan harta adalah hak yang dijamin undang-undang, dan pemilik tanah yang sah mempunyai hak untuk menggunakan atau membangunkan tanah mereka mengikut undang-undang.
Maka, dengan membenarkan sentimen sejarah mengatasi peruntukan undang-undang yang jelas akan lebih menghuru-harakan keadaan dan akan mewujudkan duluan (precedent) yang boleh meruntuhkan kredibiliti sistem perundangan negara. — The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.
