Antarabangsa
China dedah realiti Prada, Chanel, Hermès dan banyak lagi jenama mewah di sebalik perang tarif

- Menerusi media sosial, pengilang dan pempengaruh dari China membongkar bahawa banyak barangan mewah sebenarnya dihasilkan di kilang-kilang China pada kos yang sangat rendah.
- Produk-produk ini kemudian dihantar ke Eropah untuk diberi label seperti “Made in Italy” atau “France” sebelum dijual pada harga yang tinggi.
- Menurut seorang CEO perunding dari China, lebih 30 jenama termasuk Ralph Lauren, Nike, Dior, dan Apple menghasilkan barangan mereka di China, dengan kos pembuatan hanya 10 peratus daripada harga jualan. Contohnya, beg Birkin yang dijual pada harga AS$34,000 dikatakan hanya memerlukan AS$1,400 untuk dihasilkan.
CHINA — China mendedahkan realiti mengejutkan di sebalik jenama mewah Barat seperti Prada, Chanel dan Hermès, yang selama ini disanjung sebagai simbol kemewahan dan kualiti. Pendedahan ini berlaku ketika perang tarif antara China dan Amerika Syarikat semakin memuncak.
Menerusi media sosial, pengilang dan pempengaruh dari China membongkar bahawa banyak barangan mewah sebenarnya dihasilkan di kilang-kilang China pada kos yang sangat rendah. Produk-produk ini kemudian dihantar ke Eropah untuk diberi label seperti “Made in Italy” atau “France” sebelum dijual pada harga yang tinggi.
Menurut seorang CEO perunding dari China, lebih 30 jenama termasuk Ralph Lauren, Nike, Dior, dan Apple menghasilkan barangan mereka di China, dengan kos pembuatan hanya 10 peratus daripada harga jualan. Contohnya, beg Birkin yang dijual pada harga AS$34,000 dikatakan hanya memerlukan AS$1,400 untuk dihasilkan.
Pengguna TikTok luar China turut memuji usaha ini yang membuka mata ramai tentang bagaimana jenama mewah menjadi alat kuasa Barat.
Sementara itu, dalam konflik perdagangan, AS di bawah pentadbiran Donald Trump telah menaikkan tarif terhadap barangan import dari China sehingga 145 peratus. Sebagai tindak balas, China mengenakan tarif balas sebanyak 125 peratus terhadap barangan AS.
Presiden China, Xi Jinping, mengutuk perang perdagangan ini, menegaskan tiada pihak yang akan menang. China juga giat menjalin kerjasama dengan negara lain untuk mengukuhkan kedudukannya.
Pendedahan ini bukan sahaja menggugat imej jenama mewah Barat, tetapi turut mengundang persoalan terhadap kecekapan dasar ekonomi AS yang dilihat semakin goyah. -The Merdeka Times
