Connect with us

Terkini

Ceroboh tapak masjid: Arahan pengosongan daripada JAIS tidak diendah Pejabat Daerah Sepang

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Logo Jabatan Agama Islam Selangor (kiri) & Pejabat Daerah Tanah Sepang (kanan)
  • JAIS sahkan individu yang berada di tanah JAIS adalah individu yang dipindahkan dari Ladang Galloway berikutan pengambilan tanah oleh kerajaan bagi projek pembangunan Cyberjaya.
  • Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sepang telah memberi penempatan baru bagi aktiviti individu tersebut berpindah ke tanah rizab Sungai Langat dan telah mendapat status menduduki sementara (TOL).
  • “Pada tahun 2007 Kerajaan Negeri mengarahkan pengosongan tanah oleh individu tersebut bagi tujuan rizab masjid dan berlaku tuntutan pampasan oleh individu atas arahan pengosongan tapak,” Jabatan Agama Islam Selangor.
  • “Namun pada tahun 2024 JAIS telah mengesan wujud aktiviti dan pembinaan bangunan/premis di atas tanah bagi pembinaan sebuah masjid yang akan dimulakan pada tahun 2026. Sehubungan dengan itu, JAIS telah mengeluarkan surat bertarikh 10 September 2024 untuk PDT Sepang mengambil tindakan mengikut undang-undang bagi pengosongan tanah,” jelas JAIS.
  • Tiada tindakan susulan diambil oleh PDT terhadap surat dari JAIS.

SHAH ALAM – Susulan isu aktiviti dan pembinaan di atas tanah warta kerajaan bagi mendirikan masjid yang tular baru-baru ini, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini mengesahkan individu yang berada di tanah JAIS adalah individu yang dipindahkan dari Ladang Galloway berikutan pengambilan tanah oleh kerajaan bagi projek pembangunan Cyberjaya.

Menurut JAIS dalam kenyataan di Facebook rasminya, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sepang telah memberi penempatan baru bagi aktiviti individu tersebut berpindah ke tanah rizab Sungai Langat dan telah mendapat status menduduki sementara (TOL).

“Pada tahun 2007 Kerajaan Negeri mengarahkan pengosongan tanah oleh individu tersebut bagi tujuan rizab masjid dan berlaku tuntutan pampasan oleh individu atas arahan pengosongan tapak,” jelas kenyataan tersebut.

Foto: Kenyataan Media Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor berkenaan pencerobohan tanah JAIS.

Tambah JAIS, pada tahun 2011 Kerajaan Negeri dilapor telah mewartakan tanah dengan keluasan 10 ekar bagi tujuan pembinaan masjid dan sebahagian dari tanah tersebut adalah tanah rizab Sungai Langat yang diusahakan oleh individu terbabit tanpa mengeluarkan individu yang menduduki tanah.

Sejak awal pewartaan dibuat terhadap tanah bagi tujuan pembinaan masjid, JAIS menganggap tanah tersebut adalah kosong daripada sebarang aktiviti dan pembinaan bangunan serta premis.

“Namun pada tahun 2024 JAIS telah mengesan wujud aktiviti dan pembinaan bangunan/premis di atas tanah bagi pembinaan sebuah masjid yang akan dimulakan pada tahun 2026. Sehubungan dengan itu, JAIS telah mengeluarkan surat bertarikh 10 September 2024 untuk PDT Sepang mengambil tindakan mengikut undang-undang bagi pengosongan tanah,” jelas JAIS.

Justeru JAIS berpandangan bahawa laporan polis tidak perlu dibuat kerana PDT Sepang mempunyai kuasa di bawah Kanun Tanah Negara 1965 untuk menguatkuasakan pengosongan tanah kerana wujud aktiviti dan pembinaan bangunan/premis tanpa mendapat kebenaran daripada JAIS.

“Namun JAIS akui tiada tindakan susulan diambil oleh PDT terhadap surat dari JAIS.

“Memandangkan perkara melibatkan pencerobohan ini adalah amat serius dan selaras dengan titah DYMM Sultan Selangor bahawa tanah di bawah kawalan JAIS hendaklah bersih dari sebarang pencerobohan, JAIS akan bekerjasama dengan PDT Sepang untuk memastikan tindakan bagi pengosongan tanah di tapak pembangunan masjid Dengkil dibuat dalam tempoh 1 bulan,” jaminan JAIS.

JAIS akan terus memastikan bahawa tiada sebarang bentuk pencerobohan terhadap mana-mana tanah di bawah kawalannya dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya jika ianya berlaku. Semua tanah warta JAIS akan diperiksa semula dalam tempoh 1 bulan akan datang untuk memastikan tiada sebarang pencerobohan berlaku. JAIS akan bersama-sama PDT dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam perkara ini.

JAIS turut meminta orang awam atau pihak-pihak yang mengetahui sebarang bentuk pencerobohan terhadap tanah di bawah kawalan JAIS terus menyalurkan maklumat kepada JAIS atau Pihak Berkuasa Negeri, Pejabat Agama Islam Daerah atau menghubungi Talian Hotline Penguatkuasa JAIS 1-800-88-2424 untuk perhatian dan tindakan selanjutnya.-The Merdeka Times

Author