Terkini
KPKT belum terima permohonan calonkan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan UNESCO

- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) jelaskan pencalonan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan dunia UNESCO satu inisiatif Majlis Antarabangsa untuk Monumen dan Tapak Warisan (ICOMOS) Malaysia.
- Ia merupakan pertubuhan profesional yang berfungsi untuk pemuliharaan dan perlindungan tempat warisan budaya di seluruh negara.
- Ketika ini, KPKT belum menerima sebarang permohonan bagi cadangan kolaborasi atau pencalonan berkaitan perkara itu.
- “Bagaimanapun, Kementerian menyokong penuh usaha murni mana-mana pertubuhan profesional untuk mencalonkan mana-mana kampung yang memenuhi kriteria pencalonan UNESCO sebagai tapak warisan dunia kerana status sebagai tapak warisan dunia tidak hanya memberikan manfaat budaya dan sejarah,” katanya menerusi jawapan bertulis pada Rabu yang disiarkan di laman web Parlimen.
KUALA LUMPUR — Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata pencalonan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) merupakan inisiatif Majlis Antarabangsa untuk Monumen dan Tapak Warisan (ICOMOS) Malaysia.
Ia merupakan pertubuhan profesional yang berfungsi untuk pemuliharaan dan perlindungan tempat warisan budaya seluruh negara.
KPKT berkata ketika ini pihaknya belum menerima sebarang permohonan bagi cadangan kolaborasi atau pencalonan berkaitan perkara itu.
“Bagaimanapun, Kementerian menyokong penuh usaha murni mana-mana pertubuhan profesional untuk mencalonkan mana-mana kampung yang memenuhi kriteria pencalonan UNESCO sebagai tapak warisan dunia kerana status sebagai tapak warisan dunia tidak hanya memberikan manfaat budaya dan sejarah.
“Malah akan meningkatkan daya tarikan sesuatu tempat yang boleh membawa kepada peningkatan aktiviti pelancongan serta merta meningkatkan imej dan martabat negara,” katanya menerusi jawapan bertulis pada Rabu yang disiarkan di laman web Parlimen.
Jawapan bertulis itu bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan yang meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan apakah kementerian sudah menghentikan cadangan menjadikan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan UNESCO, termasuk memutuskan kolaborasi dengan pihak lain yang mempunyai usaha menjayakan agenda ini.
Pada Februari 2024, media melaporkan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sedang merangka rancangan untuk mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah penempatan itu.
Cadangan itu bagaimanapun dilapor mendapat bantahan keras daripada pelbagai pihak, khususnya UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dengan ada yang menyifatkan ia bertentangan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya Bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu.
Beberapa hari selepas itu, Kor Ming menyifatkan isu kampung baharu Cina sudah tutup dan beliau enggan memanjangkan lagi perkara tersebut.
Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Concerned Lawyers for Justice (CLJ) pada Disember tahun lalu turut melancarkan petisyen membantah kampung Cina diangkat sebagai tapak warisan dunia UNESCO.— The Merdeka Times
