Terkini
Pasca Taufan Al Aqsa: Hamas berjaya capai objektif, Israel gagal

- Operasi ketenteraan mengejut ke atas negara haram Israel dikenali sebagai ‘Taufan Al Aqsa’ yang dilancarkan kumpulan pejuang Palestin, Hamas pada 7 Oktober 2023 menyaksikan kumpulan itu berjaya meraih objektifnya, sementara Israel gagal.
- Penyelidik Dunia Palestin, Ahmad Nu’man Mazlan menyenaraikan objektif Hamas yang berjaya dicapai kumpulan pejuang itu susulan ‘Taufan Al Aqsa’ , antaranya membebaskan tahanan Palestin, menggagalkan normalisasi baharu dan berjaya meraih sokongan dunia untuk negara mereka yang selama ini menjadi mangsa genosid Israel.
- Negara haram Israel pula gagal mencapai sebarang objektifnya yang berhasrat ingin menghapuskan kumpulan pejuang berkenaan, menjajah Semenanjung Gaza bahkan ia tidak berupaya untuk menghalau penduduk Gaza dari tanah air mereka.
- Sebaliknya, genosid dihadapi Gaza kali ini menyaksikan kira-kira 82,700 pendatang haram Israel telah meninggalkan negara haram itu secara kekal mengikut Biro Statistik Pusat Israel.
KUALA LUMPUR — Operasi ketenteraan mengejut ke atas negara haram Israel dikenali sebagai ‘Taufan Al Aqsa’ yang dilancarkan kumpulan pejuang Palestin, Hamas pada 7 Oktober 2023 menyaksikan kumpulan itu berjaya meraih objektifnya, sementara Israel gagal.
Penyelidik Dunia Palestin, Ahmad Nu’man Mazlan menyenaraikan objektif Hamas yang berjaya dicapai kumpulan pejuang itu susulan ‘Taufan Al Aqsa’ , antaranya membebaskan tahanan Palestin, menggagalkan normalisasi baharu dan berjaya meraih sokongan dunia untuk negara mereka yang selama ini menjadi mangsa genosid Israel.
Dalam ketika Hamas berjaya meraih kejayaan itu, negara haram Israel pula gagal mencapai sebarang objektifnya yang berhasrat ingin menghapuskan kumpulan pejuang berkenaan, menjajah Semenanjung Gaza bahkan ia tidak berupaya untuk menghalau penduduk Gaza dari tanah air mereka.
Sebaliknya, genosid dihadapi Gaza kali ini menyaksikan kira-kira 82,700 pendatang haram Israel telah meninggalkan negara haram itu secara kekal mengikut Biro Statistik Pusat Israel.
“Walaupun angka kematian di Gaza sepanjang perang ini berlangsung direkodkan lebih 47,000 orang namun jumlah pendatang haram Israel yang telah meninggalkan Israel secara kekal berjumlah 82,700 mengikut Biro Statistik Pusat Israel, dengan jumlah sebenar kematian tentera Israel tidak pernah dimaklumkan yang mungkin mencecah belasan atau puluhan ribu.
“Kita juga melihat dimensi baharu di peringkat antarabangsa dengan hampir seluruh masyarakat dunia pelbagai bangsa dan agama menyokong hak rakyat Palestin dan menentang penjajahan serta genosid yang dilakukan oleh rejim Israel,” kata Ahmad Nu’man kepada The Merdeka Times.
Dalam perkembangan terbaharu, enam rakyat Palestin terbunuh dalam satu operasi besar-besaran oleh tentera Israel di kem pelarian Jenin, Tebing Barat, yang menjadi tempat perlindungan bagi ramai penduduk Palestin, menurut Kementerian Kesihatan Palestin pada Selasa.
Berita RTM melaporkan sejak gencatan senjata antara Hamas dan Israel pada Ahad lalu, beberapa insiden keganasan dan serangan tanpa henti oleh rejim Zionis Israel dilaporkan berlaku sekaligus menunjukkan genosid di negara itu masih belum reda sepenuhnya.
Berikutan serangan Hamas pada 7 Oktober lalu, BERNAMA melaporkan tentera Israel melancarkan serangan ke atas Gaza mengakibatkan puluhan ribu rakyat Palestin terbunuh dan lebih 110,750 tercedera, sementara sekitar 11,000 orang masih hilang di bawah runtuhan dan di jalanan.— The Merdeka Times
