Agama
‘No Pork No Lard’, haram atau halal?

- Orang Islam tidak boleh dan haram memakan makanan terutamanya yang berasaskan daging di restoran bukan Islam yang hanya mendakwa ‘No Pork No Lard’ di premis mereka sehingga ia diyakini makanan tersebut halal dan tidak mengandungi sebarang bahan-bahan bernajis, arak, ‘wain’ serta alat-alat perkakas memasak yang digunakan juga adalah bersih dan tidak bernajis.
- Perkara itu dijelaskan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri susulan terdapat pertanyaan daripda orang awam berhubung hukum orang Islam makan di restoran bukan Muslim yang tidak mempunyai sijil halal dan hanya memaparkan notis ‘No Pork No Lard’ di premis mereka.
KUALA LUMPUR — Orang Islam tidak boleh dan haram memakan makanan terutamanya yang berasaskan daging di restoran bukan Islam yang hanya mendakwa ‘No Pork No Lard’ di premis mereka sehingga ia diyakini makanan tersebut halal dan tidak mengandungi sebarang bahan-bahan bernajis, arak, ‘wain’ serta alat-alat perkakas memasak yang digunakan juga adalah bersih dan tidak bernajis.
Perkara itu dijelaskan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di laman web Maktabah Al-Bakri susulan terdapat pertanyaan daripada orang awam berhubung hukum orang Islam makan di restoran bukan Muslim yang tidak mempunyai sijil halal dan hanya memaparkan notis ‘No Pork No Lard’ di premis mereka.
Dr Zulkifli berkata ‘No Pork No Lard’ bermaksud restoran tersebut tidak menghidangkan daging atau lemak babi, di mana secara umumnya daging-daging yang dihidangkan di restoran yang halal adalah berasaskan daging lembu, ayam dan daging-daging yang diproses.
Katanya, meskipun restoran milik bukan Islam menyatakan mereka tidak menghidangkan daging atau lemak babi, ia tidak bermaksud makanan yang disediakan oleh restoran mereka dijamin halal 100 peratus.
“Apabila mereka mendakwa restoran mereka tidak menyediakan makanan berasaskan daging babi dan lemak babi, tidak semestinya bahan-bahan lain yang digunakan seperti ayam, daging, bahan-bahan masakan dan seumpamanya adalah halal,” katanya di laman web Maktabah Al-Bakri.
Beliau turut memetik Hadis Sahih Muslim daripada Imam Nawawi yang berdasarkan ‘al-Minhaj Syarh Sahih Muslim’, 13/78 menyatakan bahawa jika timbul suatu syak atau keraguan pada sembelihan yang menghalalkan haiwan itu, maka ia tidak halal untuk dimakan kerana hukum asalnya adalah haram dan tidak ada khilaf padanya.
Oleh itu katanya, pendapat yang dijelaskan tersebut dilihat lebih selamat serta cara yang boleh diambil sebagai langkah-langkah berhati agar dapat benar-benar memastikan bahawa tiada sebarang bahan-bahan bernajis atau bahan-bahan haram di sisi syarak yang digunakan dalam masakan tersebut.
“Sedangkan kebiasaannya atau kebanyakan restoran-restoran bukan Islam tidak terjamin bebas daripadanya.
“Perbuatan meninggalkan daripada memakan di restoran yang tidak dapat dipastikan kehalalannya juga bertepatan dengan saranan agama untuk meninggalkan dan menjauhi perkara-perkara ‘syubhah’.” ujarnya.
Kata Dr Zulkifli, Rasulullah S.A.W pernah bersabda meninggalkan perkara yang ‘syubhah’ dan meragukan adalah lebih dituntut dalam Islam dan lebih menenangkan jiwa.
“Tinggalkankalah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan,” katanya seperti yang di Riwayat al-Tarmizi (2518). — The Merdeka Times
