Terkini
Kanak-kanak, remaja hamil di usia muda berisiko maut
- Kanak-kanak atau remaja mengandung di usia muda, termasuk hamil luar nikah, terdedah kepada pelbagai risiko kesihatan, termasuk berisiko maut.
- Pakar Obstetrik & Ginekologi (O&G), Fakulti Perubatan UKM, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Prof Dr Nur Azurah Abdul Ghani berkata antara permasalahan mungkin dialami kelompok itu ketika mengandung ialah tekanan darah tinggi (pre-eclampsia) yang mana jika tidak diberikan rawatan boleh menyebabkan pelbagai komplikasi seperti lekang uri (abruption placenta), strok, sawan (eklampsia) dan kematian pada remaja tersebut.
- Fizikal kanak-kanak atau remaja itu masih belum matang dan masalah kesihatan tidak terkawal juga akan menyebabkan mereka berisiko melahirkan anak secara pembedahan caesarean.
- “Ini menyebabkan mereka terdedah kepada risiko pendarahan selepas kelahiran (post-partum haemorrhage) yang boleh menggugat kesihatan mereka.
- “Remaja ini juga berisiko untuk melahirkan anak yang pra-matang disebabkan infeksi atau tekanan darah yang tidak terkawal… Mereka juga berisiko mengalami gangguan kesihatan mental disebabkan kurangnya sokongan semasa kehamilan,” kata Nur Azurah kepada The Merdeka Times hari ini.
KUALA LUMPUR — Kanak-kanak atau remaja mengandung di usia muda, termasuk hamil luar nikah, terdedah kepada pelbagai risiko kesihatan, termasuk berisiko maut.
Pakar Obstetrik & Ginekologi (O&G), Fakulti Perubatan UKM, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Prof Dr Nur Azurah Abdul Ghani berkata antara permasalahan mungkin dialami kelompok itu ketika mengandung ialah tekanan darah tinggi (pre-eclampsia) yang mana jika tidak diberikan rawatan boleh menyebabkan pelbagai komplikasi seperti lekang uri (abruption placenta), strok, sawan (eklampsia) dan kematian pada remaja tersebut.
Nur Azurah berkata kelompok itu juga berkemungkinan berdepan kekurangan darah iaitu anemia disebabkan pemakanan mereka yang tidak seimbang.
Selain itu, berikutan fizikal kanak-kanak atau remaja itu masih belum matang dan masalah kesihatan tidak terkawal juga akan menyebabkan mereka berisiko melahirkan anak secara pembedahan caesarean.
“Ini menyebabkan mereka terdedah kepada risiko pendarahan selepas kelahiran (post-partum haemorrhage) yang boleh menggugat kesihatan mereka.
“Remaja ini juga berisiko untuk melahirkan anak yang pra-matang disebabkan infeksi atau tekanan darah yang tidak terkawal… Mereka juga berisiko mengalami gangguan kesihatan mental disebabkan kurangnya sokongan semasa kehamilan,” kata Nur Azurah kepada The Merdeka Times di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wartawan berkenaan dari sudut perubatan apakah risiko terburuk atau implikasi kepada kanak-kanak dan remaja yang hamil luar nikah serta bersediakah badan dan mental mereka untuk menghadapi fasa-fasa kehamilan.
Ini susulan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri pada November lalu dilaporkan berkata, berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak 44,263 kes kehamilan remaja direkodkan di negara ini dalam tempoh lima tahun lalu dan daripada jumlah itu 17,646 remaja tidak berkahwin ketika hamil.
Sementara itu, 555 kanak-kanak dan remaja dilaporkan hamil luar nikah dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini di Selangor, termasuk ada antaranya berusia seawal 10 tahun di mana statistik untuk tempoh antara Januari hingga September 2023 itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Anfaal Saari berdasarkan maklumat Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).
Mengulas lanjut, Nur Azurah berkata antara punca berlaku kehamilan remaja ialah kesempitan kewangan di mana remaja tidak dapat meneruskan persekolahan, malah dipaksa pula berkahwin pada umur muda.
Beliau berkata undang-undang negara yang membenarkan pendaftaran perkahwinan pada usia muda juga tidak membantu membendung perkara ini.
“Kekurangan pendedahan pada kesihatan seksual juga punca berlakunya kehamilan remaja di mana remaja tidak begitu faham bagaimana hendak melindungi diri dari kegiatan yang boleh menjerus kepada kehamilan remaja.
“Kekangan pada aksesibiliti kepada kaedah perancang keluarga juga merupakan punca berlakunya kehamilan remaja ini dan keretakan institusi rumah tangga serta penceraian ibu bapa ditambah dengan penderaan seksual antara factor yang menjadi punca kehamilan remaja,” kata Nur Azurah.
Beliau mencadangkan beberapa strategi yang boleh membantu mengurangkan kehamilan remaja, antaranya meningkatkan taraf pendidikan remaja dengan memberikan penekanan kepada pendidikan kesihatan seksual, menaikkan umur untuk daftar kahwin serta tidak benarkan kahwin paksa dan mempertingkatkan akses kepada kesihatan terutama perancang keluarga serta klinik harus mesra remaja. — The Merdeka Times