Terkini
Mahkamah syariah kini bawah Undang-Undang Tubuh Kedah, apakah kesannya?
Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah (Pindaan) 2024 untuk meletakkan mahkamah syariah di bawah undang-undang tubuh Negeri Kedah akan mengekang pelbagai pihak yang membandingkan asas penubuhan mahkamah syariah negeri‐negeri dengan penubuhan mahkamah sivil.
- Tindakan DUN Kedah meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah (Pindaan) 2024 untuk meletakkan mahkamah syariah di bawah undang-undang tubuh Negeri Kedah akan mengekang pelbagai pihak yang membandingkan asas penubuhan mahkamah syariah negeri‐negeri dengan penubuhan mahkamah sivil.
- Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata dengan wujudnya pindaan pada undang‐undang tubuh negeri itu, ia dapat mengangkat taraf dan kedudukan mahkamah syariah.
- Ia sekali gus membuatkan mahkamah syariah akan dihargai dan dihormati selaku undang‐undang meliputi kaum majoriti rakyat negara ini, selain dapat mengekang cabaran‐cabaran berkenaan keabsahan undang‐undang syariah bagi semua negeri.
- “PPMM berharap usaha mengukuhkan kedudukan Mahkamah Syariah ini dapat dijadikan contoh oleh negeri‐negeri lain mengikut kerangka Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan undang‐undang Islam dapat diamalkan mengikut peruntukan perundangan yang diperuntukkan di bawah kuasa negeri,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
- Persidangan DUN Kedah semalam dilaporkan meluluskan RUU Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah (Pindaan) 2024 yang bertujuan memasukkan penubuhan mahkamah syariah.
KUALA LUMPUR — Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah (Pindaan) 2024 untuk meletakkan mahkamah syariah di bawah undang-undang tubuh Negeri Kedah akan mengekang pelbagai pihak yang membandingkan asas penubuhan mahkamah syariah negeri‐negeri dengan penubuhan mahkamah sivil.
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata dengan wujudnya pindaan pada undang‐undang tubuh negeri itu, ia dapat mengangkat taraf dan kedudukan mahkamah syariah.
Ia sekali gus membuatkan mahkamah syariah akan dihargai dan dihormati selaku undang‐undang meliputi kaum majoriti rakyat negara ini, selain dapat mengekang cabaran‐cabaran berkenaan keabsahan undang‐undang syariah bagi semua negeri.
“PPMM menyambut baik dan menyokong usaha yang konsisten tersebut dalam terus memperkasa kedudukan Mahkamah Syariah melalui pindaan kepada perundangan sedia ada.
“PPMM juga percaya usaha dan langkah ini adalah amat tepat dan sesuai pada masa ini dalam menjalankan usaha bagi negeri‐negeri di bawah naungan DYMM Sultan/Raja dalam terus memperkasakan taraf Mahkamah Syariah.
“PPMM berharap usaha mengukuhkan kedudukan Mahkamah Syariah ini dapat dijadikan contoh oleh negeri‐negeri lain mengikut kerangka Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan undang‐undang Islam dapat diamalkan mengikut peruntukan perundangan yang diperuntukkan di bawah kuasa negeri,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Persidangan DUN Kedah semalam dilaporkan meluluskan RUU Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah (Pindaan) 2024 yang bertujuan memasukkan penubuhan mahkamah syariah.
RUU itu yang turut merangkumi berkenaan pengwujudan Mahkamah Utama Syariah dibentangkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum dibahas dan diluluskan secara sebulat suara oleh Ahli Dewan.
Muhammad Sanusi ketika membentangkan RUU itu berkata pindaan tersebut selari dengan titah Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang sebelum ini mencadangkan langkah pemerkasaan mahkamah syariah dengan meletakkan mahkamah itu dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah.
“PPMM juga percaya terdapat ruang‐ruang lain yang dapat dikaji dan dilakukan pindaan‐pindaan enakmen/akta undang‐undang Islam negeri yang dapat meningkatkan haibah undang‐undang dan institusi Mahkamah Syariah negeri‐negeri, termasuk merealisasikan fungsi pindaan struktur lapisan Mahkamah Syariah sedia ada.
“PPMM juga merafak sembah dan menjunjung kasih kepada titah DYMM Sultan Kedah yang inginkan langkah pemerkasaan Mahkamah Syariah dilakukan dengan meletakkan penubuhan Mahkamah Syariah di dalam Undang‐Undang Tubuh Negeri Kedah.
“PPMM menggesa kerajaan pusat dan kerajaan‐kerajaan negeri untuk terus bekerjasama dalam merealisasikan hasrat mendaulatkan syariah di tanah air yang tercinta ini,” kata Hisham.
Ketika ditanya The Merdeka Times berapakah jumlah negeri yang telah meletakkan penubuhan mahkamah syariah di bawah undang-undang tubuh negeri, Hisham memaklumkan ketika ini hanya ada dua negeri berbuat demikian iaitu Kedah dan Terengganu. — The Merdeka Times
Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/