Terkini
Cadangan pelajar baharu wajib jalani ujian HIV sedang dipertimbangkan – KPT
Semua aspek, termasuk hak asasi manusia akan diambil kira sebelum kerajaan mengambil keputusan untuk mewajibkan pemeriksaan HIV dalam kalangan pelajar baharu universiti.
- Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk TS Mustapha Sakmud berkata perbincangan mengenai cadangan itu masih berjalan dan keputusan muktamad akan diumumkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
- “Kami sudah bincang perkara itu dan sedang pertimbangkan.
- “Akan teliti semua aspek sebelum sebarang keputusan dibuat. Menteri (Zambry) akan umumkan apa tindakan selanjutnya,” katanya dipetik FMT selepas Persidangan Antarabangsa Inovasi dan Keusahawanan dalam Pendidikan Pengkomputeran, Kejuruteraan dan Sains (InvENT) hari ini.
- Pada bulan lalu, Zambry dilaporkan berkata terdapat peningkatan kes HIV membabitkan pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia berumur antara 18 hingga 25 tahun pada 2023 iaitu 244 kes, berbanding 2022 (221 kes).
- Susulan itu, terdapat gesaan supaya universiti mewajibkan ujian saringan HIV kepada pelajar baharu, sama seperti pemeriksaan kesihatan dilakukan sebelum memasuki kampus atau mendaftarkan diri pada tahun pertama, berikutan peningkatan kes berkenaan membabitkan kelompok tersebut.
KUALA LUMPUR — Semua aspek, termasuk hak asasi manusia akan diambil kira sebelum kerajaan mengambil keputusan untuk mewajibkan pemeriksaan HIV dalam kalangan pelajar baharu universiti.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk TS Mustapha Sakmud berkata perbincangan mengenai cadangan itu masih berjalan dan keputusan muktamad akan diumumkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
“Kami sudah bincang perkara itu dan sedang pertimbangkan.
“Akan teliti semua aspek sebelum sebarang keputusan dibuat. Menteri (Zambry) akan umumkan apa tindakan selanjutnya,” katanya dipetik FMT selepas Persidangan Antarabangsa Inovasi dan Keusahawanan dalam Pendidikan Pengkomputeran, Kejuruteraan dan Sains (InvENT) hari ini.
Pada bulan lalu, Zambry dilaporkan berkata terdapat peningkatan kes HIV membabitkan pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia berumur antara 18 hingga 25 tahun pada 2023 iaitu 244 kes, berbanding 2022 (221 kes).
Perkara itu turut mendapat perhatian Presiden WAFIQ, Prof Dr Rafidah Hanim Mokhtar yang mengharapkan pihak kesihatan kembali kepada asas perubatan yang utama iaitu ‘SAY NO TO HOMOSEXUALITY’ sebagaimana ‘SAY NO TO VAPE AND SMOKING’ susulan KPT mengatakan sebahagian strategi mereka dalam isu itu adalah pencegahan.
Rafidah berkata ini kerana “homosexuality” bukan sahaja berisiko tinggi mendapat HIV, malah haram di sisi agama Islam.
Susulan itu, terdapat gesaan supaya universiti mewajibkan ujian saringan HIV kepada pelajar baharu, sama seperti pemeriksaan kesihatan dilakukan sebelum memasuki kampus atau mendaftarkan diri pada tahun pertama, berikutan peningkatan kes berkenaan membabitkan kelompok tersebut.
Presiden Interim Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Nazirah Abdullah berkata ketika ini penularan kes HIV gagal ditangani di peringkat kampus kerana kekurangan usaha merangka dasar dan pelaksanaan program kesedaran kepada pelajar.
Media kemudiannya melaporkan keperluan pemeriksaan kesihatan, termasuk ujian HIV terhadap pelajar baharu untuk melanjutkan pengajian di universiti tempatan sudah dilaksanakan dan ia bukan sesuatu yang baharu.
Zambry berkata proses pemeriksaan kesihatan bagi mendapatkan laporan perubatan pelajar perlu dilakukan sebelum mereka mendaftar masuk ke mana-mana institusi pengajian tinggi di negara ini.
“Itu telah lama dilakukan cuma mungkin kali ini diuar-uarkan disebabkan perbahasan di peringkat Parlimen yang bertanya dari segi jumlah bilangan (kes HIV dalam kalangan pelajar) dan sebagainya.
“Proses pemeriksaan kesihatan itu dibuat dari segi perubatan, jadi ia bukanlah sesuatu yang baharu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kangar di sini pada 14 Julai lalu. — The Merdeka Times