Connect with us

Terkini

Muslim sahajakah yang sensitif bab hina agama?

BAIK di luar mahupun dalam negara, Muslim sentiasa dilihat tegas dan lantang bersuara ketika agama mereka dihina dan dipersendakan.  

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

BAIK di luar mahupun dalam negara, Muslim sentiasa dilihat tegas dan lantang bersuara ketika agama mereka dihina dan dipersendakan.  

Sebagai contoh, kontroversi kartun Charlie Hebdo di Perancis pada 2014, isu bakar al-Qur’an di Sweden pada tahun lalu dan terkini di Malaysia, isu penjualan stokin tertera kalimah Allah di rangkaian kedai serbaneka KK Mart sehingga tercetusnya polemik. 

Namun ada segelintir netizen bukan Muslim berpandangan Muslim terlampau sensitif dan beremosi sehingga ingin mengambil tindakan dan boikot peniaga dan pengilang stoking tersebut padahal bagi mereka, ini sekadar isu biasa. 

Foto: Tangkap layar segelintir netizen bukan Muslim mengulas isu stoking bertulis kalimah Allah.

Melihat komentar-komentar sebegini, penulis tidak pasti sama ada mereka mengetahui ataupun tidak bahawa dalam kitab agama mereka sebenarnya mengutuk bahkan menghukum penghina-penghina agama.

Jika kesucian agama mereka turut dihina dan direndahkan, adakah mereka hanya berdiam diri dan merelakan agama mereka dihina dek konon isu biasa? 

Ironinya, ternyata penganut agama lain juga bereaksi sama seperti Muslim apabila agama mereka dihina.

Agama Kristian

Pada 2010, seorang wanita Kristian memusnahkan lukisan ‘The Misadventures of the Romantic Cannibals’ yang menghina agama Kristian. Dalam karya itu, Jesus dilukis sedang melakukan oral seks dengan seorang lelaki. 

Wanita itu didakwa menjerit, “Bagaimanakah kamu boleh mencemarkan Tuhanku?” sebelum mengoyak karya lukisan itu di Muzium Seni Colorado. 

Malah, tahun 1999 turut menyaksikan kemarahan pengunjung Kristian terhadap lukisan ikonik Chris Ofili, ‘The Holy Virgin Mary’ yang disifatkan terlalu erotik dan melampau. 

Lukisan yang jelas menghina kesucian Ibu Mary dan bagaimana mereka respon terhadap isu itu? 

Mereka melumurkan najis gajah di lukisan tersebut dan tulis dengan kecaman ‘kufur’.

Foto: The Holy Virgin Mary, 1996.

Dalam kitab Bible, menghina agama adalah perbuatan mempersendakan kehormatan Tuhan dan hukuman bagi penghina agama adalah hukuman rejam sehingga mati. 

“Selepas itu beritahulah umat Israel bahawa sesiapa yang mengutuk Tuhan mesti menanggung akibatnya. Orang itu mesti dihukum mati. Sesiapa sahaja yang mengutuk Tuhan, baik orang Israel mahupun orang asing yang tinggal di negeri Israel mesti direjam sampai mati oleh semua orang Israel”. (Leviticus 24: 15-16

Agama Hindu

Bahkan penganut Hindu juga memberi respon yang sama apabila agama mereka dihina, bukan Muslim sahaja.  

Pada tahun 2020, seorang artis antarabangsa, Cardi B telah ‘diserang’ teruk oleh warga netizen beragama Hindu kerana dia berpakaian seksi dan bergambar seperti Dewi Durga dalam sesi iklan mempromosi koleksi kasutnya.  

Rata-rata netizen menyelar tindakan artis tersebut yang seolah-olah tidak menghormati sensitiviti dan mempersendakan agama Hindu. 

“Orang kata Cardi B menghormati Dewi Hindu kami. Jadi sebagai Hindu saya ingin mengatakan bahawa; 

“Pertama, memakai kasut di dalam kuil adalah dilarang; Kedua, Dewi Durga tidak boleh digunakan sebagai estetik; Ketiga, Dewi Durga tidak pernah digambarkan seksi; Keempat, ini bukan penghormatan. Ini jelas biadap,” kata salah seorang netizen di laman Twitter.  

Foto: Sesi iklan promosi koleksi kasut yang menghina kesucian Dewi Durga dan akhirnya ditarik balik.

Malah dalam kitab Hindu, barangsiapa yang menghina dan memburukkan tuhan-tuhan mereka perlu dihukum dengan hukuman bunuh.  

“Jika seseorang mendengar orang yang tidak bertanggungjawab menghina Tuhan dan pengawal agama, hendaklah menutup telinganya dan pergi jika tidak dapat menghukumnya. Tetapi jika seseorang mampu membunuh, maka hendaklah memotong lidah orang yang menghina itu dan membunuhnya.” (Srimad Bhagavatam 4.4.17) 

Agama Buddha

Pada 2015, kes poster Bar V Gastro di Myanmar yang mengiklankan imej Buddha memakai fon kepala DJ sambil mempromosikan bar, minuman arak dan shisha. 

Poster itu mencetuskan kemarahan rakyat Myanmar yang majoriti beragama Buddha sehingga tiga individu terbabit dipenjarakan.

Foto: Kerajaan Myanmar penjarakan pengurus bar yang juga warga New Zealand sebab mengiklankan bar ‘menghina’ Buddha.

Mahkamah Yangon berkata tindakan bar tersebut sangat jelas menyinggung agama majoriti di negara itu dan melanggar akta agama di Myanmar di bawah Kanun Keseksaan Myanmar dalam artikel 295A, Bab XV, Kesalahan berkaitan Agama. 

“Sesiapa sahaja dengan niat yang sengaja dan berniat jahat untuk mengundang sentimen agama.. dengan kata-kata, sama ada lisan atau bertulis, atau representasi yang boleh dilihat.. atau cubaan menghina agama hendaklah dipenjarakan dalam tempoh dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali”.

Malah di China juga, produk minuman bertemakan ‘Buddha’ dilancarkan syarikat Heytea telah ditarik balik dan diturunkan dari rak jualan kerana melanggar Peraturan Pentadbiran Hal Ehwal Agama negara China.  

Jikalau benar ini sekadar isu biasa, mengapakah respon penganut agama lain serupa dengan tindakan Muslim ketika agama mereka dihina dan diinjak-injak?

Kesimpulan

Terbukti tiada satupun penganut agama yang rela dan membiarkan kebiadaban orang yang sengaja menghina agama mereka, melainkan mereka tidak memahami atau menyayangi agama mereka. 

Sama seperti Muslim, mereka juga akan berusaha mempertahankan kesucian agama masing-masing daripada dicemari. 

Maka apabila netizen bukan Muslim mengkritik Muslim terlampau sensitif dan beremosi, ini merupakan kenyataan dangkal sedangkan kitab agama mereka sendiri mencela segala bentuk penghinaan agama.

Adakah mereka menganggap kitab suci agama mereka sendiri terlampau sensitif dan beremosi dalam soal menghina agama? 

Melainkan mereka berpendapat agama tidak wajar dipertahankan dan sebaiknya dibiarkan menelan segala kebiadapan dan hinaan. – The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending