Terkini
KDN nafi 1.2 juta warga China tidak keluar dari Malaysia
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan terdapat 1.2 juta warga China tidak keluar dari Malaysia dalam tempoh ditetapkan.

- “Kenyataan bahawa 1.2 juta orang China masuk (Malaysia tapi) tak keluar, cukuplah.
- “Itu dakwaan yang tersasar sama sekali, tak boleh dipertahankan berdasarkan fakta dan angka yang saya bentangkan tadi,” kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat pada Isnin.
- Beliau memberi jawapan balas kepada soalan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad berkenaan 1.2 juta pelancong China dikatakan masuk ke Malaysia sejak 2018, namun tidak keluar dalam tempoh ditetapkan.
- Beliau berkata warga asing yang masih berada di negara ini adalah pemegang pas jangka panjang yang tempohnya boleh jadi tiga atau lima tahun.
- “Selama mereka memegang pas ini ada tempoh mereka dibenarkan tinggal, jadi ada rekod mereka tak keluar,” katanya.
KUALA LUMPUR — Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan terdapat 1.2 juta warga China tidak keluar dari Malaysia dalam tempoh ditetapkan.
Saifuddin berkata dakwaan sedemikian adalah jauh tersasar dan tidak boleh dipertahankan berdasarkan fakta dan angka yang dibentangkan beliau di Dewan Rakyat pada Isnin.
“Kenyataan bahawa 1.2 juta orang China masuk (Malaysia tapi) tak keluar, cukuplah.
“Itu dakwaan yang tersasar sama sekali, tak boleh dipertahankan berdasarkan fakta dan angka yang saya bentangkan tadi,” maklum balas beliau kepada soalan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad berkenaan 1.2 juta pelancong China dikatakan masuk ke Malaysia sejak 2018, namun tidak keluar dalam tempoh ditetapkan.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata bagi tempoh 1 Januari 2021 hingga tempoh 31 Disember 2023, ketibaan warga asing di negara ini hampir 46 juta, kemudian yang pulang ke negara asal lebih kurang 39 juta.
Beliau berkata warga asing yang masih berada di negara ini adalah pemegang pas jangka panjang yang tempohnya boleh jadi tiga atau lima tahun.
“Ada juga warga asing yang masuk kemudian terlebih tinggal tetapi kita buka Program Rekalibrasi, mereka daftar. Jumlahnya lebih kurang satu juta.
“Pas jangka panjang lebih kurang 2.6 juta. Warga asing yang berdaftar rekalibrasi, terlebih tinggal tetapi mereka daftar dengan kita, mereka munculkan diri. Daftar. Rekod imigresen pegang,” katanya.
Saifuddin menjelaskan warga asing yang ada di negara ini melibatkan pelbagai jenis pas termasuk Pas Lawatan Ikhtisas, Pas Lawatan Sosial Suami Isteri kepada Warganegara, Pas Diplomat, Pas Pelajar, Pas Residen, Pas Penggajian dan pelbagai lagi jenis pas.
“Selama mereka memegang pas ini ada tempoh mereka dibenarkan tinggal, jadi ada rekod mereka tak keluar,” katanya.
Media melaporkan pada 2022, lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh di antara 2018 hingga 2021.
KDN ketika itu memaklumkan, rekod keluar masuk Jabatan Imigresen menunjukkan ketibaan warga China ke Malaysia bagi tempoh berkenaan adalah seramai 7,177,043 orang.
Bagaimanapun, jumlah warga China keluar dari negara ini bagi tempoh sama hanya seramai 5,954,765 individu, iaitu kurang 1,222,278 berbanding jumlah yang masuk ke negara ini. — The Merdeka Times
