Terkini
Tarif air naik purata 22 sen semeter padu bermula 1 Februari
Tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan kenaikan purata 22 sen bagi setiap meter padu akan berkuat kuasa mulai 1 Februari ini.

- Tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan kenaikan purata 22 sen bagi setiap meter padu akan berkuat kuasa mulai 1 Februari ini.
- Kenaikan 22 sen itu adalah purata jumlah kenaikan bagi setiap 1,000 liter air yang digunakan.
- Pelarasan itu akan membabitkan kira-kira 6.9 juta pengguna kategori domestik atau mewakili 86.6 peratus, daripada 7.9 juta pengguna.
- Kenaikan tarif ini membabitkan caj bil naik dalam julat antara RM 1.60 hingga RM 8 bagi setiap kediaman atau lima hingga 27 sen sehari bagi penggunaan isi rumah sebanyak 20 meter padu sebulan.
- Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam kenyataan berkata pelarasan tarif air ini akan dilaksanakan mengikut Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik.
KUALA LUMPUR — Tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan kenaikan purata 22 sen bagi setiap meter padu akan berkuat kuasa mulai 1 Februari ini.
Kenaikan 22 sen itu adalah purata jumlah kenaikan bagi setiap 1,000 liter air yang digunakan.
Pelarasan itu akan membabitkan kira-kira 6.9 juta pengguna kategori domestik atau mewakili 86.6 peratus daripada 7.9 juta pengguna.
Kenaikan tarif ini membabitkan caj bil naik dalam julat antara RM 1.60 hingga RM 8 bagi setiap kediaman atau lima hingga 27 sen sehari bagi penggunaan isi rumah sebanyak 20 meter padu sebulan.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkata pelarasan tarif air ini akan dilaksanakan mengikut Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik.
Katanya, berdasarkan TSM, struktur dan komponen tarif akan diseragamkan untuk negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan, manakala tarif air akan dikaji semula setiap tiga tahun untuk memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.
“Pelarasan tarif air bagi kategori domestik tidak lagi boleh ditangguhkan supaya tidak menjejaskan kemapanan industri perkhidmatan air dalam jangka masa panjang, sekali gus memberi impak kepada kualiti perkhidmatan bekalan air yang dinikmati rakyat.
“Kenaikan ini masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod sebenar 2022,” kata SPAN dalam kenyataan dipetik Berita Harian, hari ini.
Menurut SPAN, pelarasan tarif air mencerminkan kos bekalan air sangat penting bagi membolehkan operator air meningkatkan tahap perkhidmatan dalam membekalkan air yang berkualiti secara berterusan.
Katanya, bagi mengurangkan kenaikan bil air bulanan rakyat, operator bekalan air di negeri masing-masing diminta meneruskan inisiatif sedia ada memberikan bantuan kepada pengguna domestik secara bersasar antaranya pemberian rebat kepada golongan B40.
“Melalui semakan tarif ini, operator air lebih bersedia untuk membuat pelaburan berterusan bagi membangunkan infrastruktur sistem bekalan air seperti membina atau menaik taraf loji rawatan air dan membuat penggantian paip usang.
“Selain itu, operator air juga melaksanakan penyelenggaraan secara berkala dan menangani aduan dengan lebih cekap demi menjamin kelangsungan perkhidmatan bekalan air dan sekali gus memenuhi jangkaan pengguna,” kata SPAN. – The Merdeka Times
