Connect with us

Antarabangsa

Guterres tekan ‘butang panik’, guna Artikel 99 Piagam PBB gesa gencatan senjata di Gaza

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres buat pertama kali dalam pentadbirannya mengguna pakai Artikel 99 Piagam PBB bagi mencari jalan menyelesaikan ‘bencana’ rakyat Palestin di Gaza.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Guterres tekan ‘butang panik’, guna Artikel 99 Piagam PBB gesa gencatan senjata di Gaza
Foto: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.
  • Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres buat pertama kali dalam pentadbirannya mengguna pakai Artikel 99 Piagam PBB bagi mencari jalan menyelesaikan ‘bencana’ rakyat Palestin di Gaza.
  • Guterres pada Rabu merujuk perkara itu kepada Majlis Keselamatan PBB supaya satu gencatan senjata antara rejim zionis Israel dan Hamas dicapai.
  • Guterres memberi amaran tentang keadaan lebih buruk sedang berlaku di wilayah terkepung itu, termasuk wabak penyakit dan menggesa supaya orang awam yang tercedera dihantar ke negara sekitar bagi mendapatkan rawatan.
  • “Menghadapi risiko keruntuhan sistem kemanusiaan di Gaza, saya menyeru Majlis Keselamatan PBB untuk membantu menggelakkan bencana ini dan juga menggesa supaya gencatan senjata diwujudkan,” katanya dipetik Al Jazeera.
  • Tanpa mengenepikan kuasa veto, Majlis keselamatan PBB yang terdiri daripada China, Russia, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis mempunyai pilihan untuk bertindak mengikut nasihat Guterres tersebut.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres buat pertama kali dalam pentadbirannya mengguna pakai Artikel 99 Piagam PBB bagi mencari jalan menyelesaikan ‘bencana’ rakyat Palestin di Gaza.

Guterres pada Rabu merujuk perkara itu kepada Majlis Keselamatan PBB supaya satu gencatan senjata antara rejim zionis Israel dan Hamas dicapai.

Guterres memberi amaran tentang keadaan lebih buruk sedang berlaku di wilayah terkepung itu, termasuk wabak penyakit dan menggesa  supaya orang awam yang tercedera dihantar ke negara sekitar bagi mendapatkan rawatan.

“Menghadapi risiko keruntuhan sistem kemanusiaan di Gaza, saya menyeru Majlis Keselamatan PBB untuk membantu mengelakkan bencana ini dan juga menggesa supaya gencatan senjata diwujudkan,” katanya dipetik Al Jazeera.

Majlis keselamatan PBB yang terdiri daripada lima negara kuasa veto iaitu China, Russia, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis mempunyai pilihan untuk bertindak mengikut nasihat Guterres tersebut.

Amerika Syarikat pada 18 Oktober lalu menggunakan kuasa vetonya menentang resolusi yang akan mengutuk serangan Hamas ke atas Israel dan menyeru gencatan senjata bagi membolehkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza.

Masih belum dapat dipastikan sama ada Amerika Syarikat akan menggunakan kuasa veto itu sekali lagi bagi gencatan senjata berkekalan di Gaza.

Mengulas mengenai perkara itu, Penganalisis Utama Advokasi dan Penyelidikan PBB di International Crisis Group PBB, Daniel Forti berkata gesaan disampaikan Guterres itu mempunyai mesej kuat meskipun beliau tidak mengutarakan perkara berbeza mengenai keperluan gencatan senjata di Gaza.

Beliau bagaimanapun menambah yang gesaan itu tidak sesekali mengubah kuasa veto Majlis Keselamatan PBB.

“Tetapi saya berpendapat ini adalah salah satu alat yang tinggal di bawah kekuasaan Setiausaha Agung PBB pada peringkat ini untuk menarik perhatian diplomatik dan menyatakan kecemasan situasi,” katanya.

Dalam pada itu, Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour memaklumkan pemimpin Arab dijadual melawat Washington bagi membincangkan resolusi majlis keselamatan itu dengan pegawai Amerika Syarikat.

Sumber: Al Jazeera

Author