Antarabangsa
Kerajaan India digesa campur tangan pengharaman produk halal di Uttar Pradesh
Kerajaan India digesa untuk campur tangan dalam tindakan pihak berkuasa Uttar Pradesh yang baru-baru ini mengharamkan produk halal.
- Kerajaan India digesa untuk campur tangan dalam tindakan pihak berkuasa Uttar Pradesh yang baru-baru ini mengharamkan produk halal.
- Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan mendadak itu satu keputusan bersifat diskriminasi dan menindas hak masyarakat Islam di negara itu.
- “Dakwaan bahawa ‘pensijilan halal produk makanan adalah sistem yang menimbulkan kekeliruan mengenai kualiti barangan’ adalah satu dakwaan yang sengaja dikeluarkan untuk mendiskriminasi hak umat Islam di negara itu,” katanya dalam kenyataan dipetik Malaysia Gazette.
- Kerajaan negeri Uttar Pradesh di India sebelum ini dilaporkan menyekat produk import mempunyai tanda halal meliputi pengeluaran, penjualan, penyimpanan dan penghasilan berkuatkuasa serta merta.
KUALA LUMPUR – Kerajaan India digesa untuk campur tangan dalam tindakan pihak berkuasa Uttar Pradesh yang baru-baru ini mengharamkan produk halal.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan mendadak itu satu keputusan bersifat diskriminasi dan menindas hak masyarakat Islam di negara itu.
“Kami menyoal apakah masalahnya penduduk di India mengamalkan produk yang dilabelkan halal oleh syarikat yang mengeluarkan satu-satu produk untuk kepentingan pembeli atau pengguna Islam?
“Dakwaan bahawa ‘pensijilan halal produk makanan adalah sistem yang menimbulkan kekeliruan mengenai kualiti barangan’ adalah satu dakwaan yang sengaja dikeluarkan untuk mendiskriminasi hak umat Islam di negara itu,” katanya dalam kenyataan dipetik Malaysia Gazette.
Kerajaan negeri Uttar Pradesh di India sebelum ini dilaporkan menyekat produk import mempunyai tanda halal meliputi pengeluaran, penjualan, penyimpanan dan penghasilan berkuatkuasa serta merta.
Menerusi pekeliling rasmi dikeluarkan Sabtu lalu, sekatan itu melibatkan produk seperti tenusu, bahan bakeri minyak biji-bijian, minyak biji pudina, makanan ringan dan minyak masak.
Tindakan undang-undang akan diambil kepada mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti tersebut.
Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata tindakan terbaharu itu menunjukkan India mempunyai agenda memecahbelahkan masyarakat Islam di negeri itu.
MAPIM turut menolak alasan pengharaman produk halal itu kerana agama tidak boleh dicampurkan dalam makanan.
“Agama Hindu mengajar pengikutnya tidak boleh makan daging lembu atas alasan agama. Kenapa orang Islam dinafi hak untuk tidak boleh makan makanan yang diharam oleh syariat Islam?
“Label Halal telah menjadi amalan perdagangan antarabangsa. Mengapa India menolak amalan ini sedangkan ia terlibat berdagang dengan negara-negara Islam,” tegasnya.
Azmi berkata negara Islam di seluruh dunia akan melancarkan boikot ke atas India jika negara itu berterusan melaksanakan dasar penindasan dan diskriminasi serta propaganda kebencian terhadap umat Islam.
Uttar Pradesh adalah negeri terbesar dan paling ramai penduduk di India yang diperintah Yogi Adityanath yang juga ahli Parti India Bharatiya Janata (BJP), parti Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Pada tahun lalu, kumpulan Hindutva mengadakan program kesedaran tentang ‘Halal Jihad’ di mana kelompok itu memanggil konsep halal diguna pakai umat Islam sebagai ‘syaitan’.
Beberapa kumpulan Hindutva membangkitkan ‘kebimbangan’ terhadap produk Halal yang mendapat penerimaan meluas di seluruh dunia.
Berikutan itu, wakil awam BJP bimbang dengan produk halal yang dilihat akan menjejaskan perniagaan Hindu dengan ketara. — The Merdeka Times