Connect with us

Terkini

(VIDEO) Larangan parkir kenderaan luar pagar depan rumah ‘undang-undang mengarut’

Majoriti orang ramai tidak bersetuju pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenakan larangan parkir kenderaan di luar pagar depan rumah dan menyifatkannya sebagai ‘undang-undang mengarut’ melainkan bagi kes tertentu menghalang laluan kenderaan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Larangan parkir kenderaan luar pagar depan rumah 'undang-undang mengarut'
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Majoriti orang ramai tidak bersetuju pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenakan larangan parkir kenderaan di luar pagar depan rumah dan menyifatkannya ‘undang-undang mengarut’ melainkan bagi kes-kes tertentu halang laluan kenderaan.
  • Tinjauan The Merdeka Times sekitar Kuala Lumpur mendapati majoriti masyarakat berpandangan sedemikian kerana kebiasaan sesebuah rumah memiliki lebih daripada satu kenderaan yang memerlukan ruang parkir lebih luas.
  • “Saya ada terbaca berita ini petang semalam (kelmarin) yang saya kira mengarut sikitlah undang-undang ini pasal di halaman rumah kita apa masalahnya kalau kita park depan rumah kita asalkan ia tidak menghalang laluan?” – Pesara, Azman.
  • “Saya tak setujulah (dengan larangan itu) sebab untuk kawasan perumahan biasa selalunya memang boleh muat satu kereta ja so kalau kerajaan menguatkuasakan larangan parking kenderaan di luar rumah saya rasa memang tak patutlah sebab memang tiada ruang lain” – Peniaga, Jamilah Ismail.
  • “Kalau untuk pandangan saya, memang tak wajar lah sebab apa kan kita rumah teres kan, kalau ada bagi notis macam ini, so macam mana kita nak parking kita punya kereta? So, kalau rumah sendiri pun kereta tak boleh parking, kereta tu nak letak dekat mana?” – Penghuni rumah teres, CL.
  • “Pihak berkuasa macam Majlis Bandaraya patut kena lebih main peranan dekat situ. Maksudnya dia (penguatkuasa) menyediakan tapak parking khas ke atau alternatif mereka sendiri lah” – Penjawat awam, Muhd Firdaus Abdul Halim.
  • Terdahulu, media melaporkan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) mengeluarkan notis pemberitahuan yang menyatakan larangan meletakkan kenderaan di hadapan rumah (luar pagar) yang boleh menyebabkan halangan di tempat awam.
  • Difahamkan, MBPG mengambil tindakan itu susulan meningkatnya laporan pemilik rumah yang mendakwa jiran sering meletakkan kenderaan di hadapan rumah mereka dan mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan penduduk.

KUALA LUMPUR — Majoriti orang ramai tidak bersetuju pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenakan larangan parkir kenderaan di luar pagar depan rumah dan menyifatkannya sebagai ‘undang-undang mengarut’ melainkan bagi kes tertentu menghalang laluan kenderaan.

Tinjauan The Merdeka Times sekitar Kuala Lumpur mendapati majoriti masyarakat berpandangan sedemikian kerana kebiasaan sesebuah rumah memiliki lebih daripada satu kenderaan yang memerlukan ruang parkir lebih luas.

Situasi itu menyebabkan mereka tidak dapat mengelak dari meletakkan kenderaan di luar pagar rumah memandangkan ruang khas letak kenderaan tidak mencukupi untuk menampung bilangan kenderaan secara keseluruhan.

Pesara awam yang ingin dikenali sebagai Azman menyifatkan larangan itu sebagai tindakan mengarut apabila pemilik rumah dilarang meletakkan kenderaan di luar pagar rumah miliknya.

“Saya ada terbaca berita ini petang semalam (kelmarin) yang saya kira mengarut sikitlah undang-undang ini pasal di halaman rumah kita apa masalahnya kalau kita park depan rumah kita asalkan ia tidak menghalang laluan?

“Dan satu lagi kalau kita park di jiran rumah kita, menghalang laluannya, mungkin kita boleh ambil tindakan tapi kalau kita sendiri park depan rumah kita, saya rasa tak patut ambil tindakan, nak saman ke apa,” kata Azman ketika ditemui The Merdeka Times, di sini semalam.

Foto: Peniaga, Jamilah Ismail.

Senada dengan Azman adalah peniaga, Jamilah Ismail, 33, yang menegaskan selagi kenderaan diletakkan di luar pagar rumah tidak menghalang laluan kenderaan lain, maka ia tidak menjadi satu masalah.

“Saya tak setujulah (dengan larangan itu) sebab untuk kawasan perumahan biasa selalunya memang boleh muat satu kereta ja so kalau kerajaan menguatkuasakan larangan parking kenderaan di luar rumah saya rasa memang tak patutlah sebab memang tiada ruang lain.

“Bagi saya kalau kerajaan (penguatkuasa) tidak benarkan kita parking di luar rumah dan kita orang nak parking dekat mana? Sebab sebiji rumah bukan ada satu kereta je… contoh saya adik-beradik ada enam campur mak ayah ada tujuh biji kereta jadi kami sekali berkumpul memang ramai,” kata Jamilah yang menetap di perumahan town house di Wangsa Maju dekat sini.

Katanya, sebagai hidup berjiran sesuatu komuniti itu perlu menyelesaikan sendiri permasalahan yang timbul tanpa melibatkan pihak berkuasa untuk mengelakkan situasi menjadi lebih tegang.

Jika larangan itu ingin dikuatkuasakan, maka pihak berkuasa perlu menyediakan garis panduan jelas di mana kenderaan sesebuah rumah boleh diletakkan, kata Jamilah.

Menyifatkan larangan parkir itu sebagai menyusahkan, penghuni rumah teres berbangsa Cina yang ingin dikenali sebagai CL, 27, menuntut penjelasan sekiranya larangan itu dikuatkuasakan oleh PBT.

“Kalau untuk pandangan saya, memang tak wajar lah sebab apa kan kita rumah teres kan, kalau ada bagi notis macam ini, so macam mana kita nak parking kita punya kereta? So, kalau rumah sendiri pun kereta tak boleh parking, kereta tu nak letak dekat mana?” kata CL.

Penjawat awam, Muhd Firdaus Abdul Halim.

Foto: Penjawat awam, Muhd Firdaus Abdul Halim.

Penjawat awam, Muhd Firdaus Abdul Halim, 26, berkata sekiranya kenderaan itu diletakkan sesuka hati dan menyebabkan kesesakan sememangnya wajar tindakan seperti clamping tayar dikenakan terhadap pemilik kenderaan itu.

Bagaimanapun situasi itu berbeza jika kenderaan tersebut diletakkan di hadapan rumah dan tidak menghalang laluan kenderaan lain.

“Tapi bagi saya peranan pihak berkuasa macam Majlis Bandaraya patut kena lebih main peranan dekat situ. Maksudnya dia (penguatkuasa) menyediakan tapak parking khas ke atau alternatif mereka sendiri lah. 

“Bagi saya dia kena pantau situasi kawasan taman ataupun tempat-tempat parking yang mereka boleh sediakan untuk taman tersebut. Lepas itu kalau yang jenis main parking je yang itu kena ambil perhatian lah,” kata Firdaus.

Pandangan berbeza disuarakan Gazali Mahamad, 33, yang tiada masalah sekiranya larangan parkir di luar pagar rumah itu dikuatkuasakan.

Katanya, perkara paling penting adalah jiran tetangga perlu bekerjasama dalam mengatasi perkara ini kerana pada akhirnya setiap aduan dibuat akan melibatkan komuniti itu juga.

“Pertama kena jaga kawasan sendiri, yang kedua kesepakatan di antara jiran kalau kata nak parking depan rumah minta izin ja sebab kita dah tak boleh dah nak besarkan kawasan ke apa nak halang orang daripada beli satu atau dua kereta kita tak boleh nak buat macam itu. 

“Cuma bagi saya kesepakatan (antara jiran). Jiran adalah saudara kita juga sebenarnya jadi bagi saya kalau jiran ada kesepakatan itu tiada isu masalah parking depan rumah sebagainya tapi kena bertimbang rasa,” kata Gazali.

Terdahulu, media melaporkan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) mengeluarkan notis pemberitahuan yang menyatakan larangan meletakkan kenderaan di hadapan rumah (luar pagar) yang boleh menyebabkan halangan di tempat awam.

Difahamkan, MBPG mengambil tindakan itu susulan meningkatnya laporan pemilik rumah yang mendakwa jiran sering meletakkan kenderaan di hadapan rumah mereka dan mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan penduduk.

Mengikut rekod setakat September lalu, sebanyak 349 aduan diterima MBPG pada tahun ini membabitkan kacau ganggu kenderaan seperti kenderaan menghalang, kenderaan terbiar/buruk, kenderaan diletakkan di simpang jalan/laluan utama dan lain-lain.

Dalam notis pemberitahuan itu, tindakan boleh diambil atas kesalahan di bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 332), Seksyen 46(1) (9) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Undang-undang kecil 3 (n) Undang-undang kecil vandalisme (Majlis Bandaraya Pasir Gudang) 2011 dan Perintah 17(1) dan 17(2) Perintah Lalulintas Jalan (peruntukan mengenai tempat letak kereta) Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang 2001. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *