Terkini
Ada cahaya dalam perjuangan Palestin selagi ada tubuh jadi ‘benteng terakhir’ mempertahankannya – Nadir Al-Nuri
Cahaya kemenangan untuk Palestin pasti ada selagi mana ada insan sudi menjadikan tubuhnya sebagai ‘benteng terakhir’ untuk mempertahankan bumi anbiya itu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
- Cahaya kemenangan untuk Palestin pasti ada selagi mana ada insan sudi menjadikan tubuhnya sebagai ‘benteng terakhir’ untuk mempertahankan bumi anbiya itu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
- Nadir berkata apa dilakukan mujahidin hari ini adalah permulaan kepada pengakhiran, langkah pertama untuk membolehkan mereka membebaskan negara daripada penjajahan zionis Israel.
- “Kejutan (serangan) ini adalah kejutan sangat besar dibuat mujahidin sebab itulah mereka menamakannya sebagai Operasi Taufan Al-Aqsa dan taufan memberi makna mereka akan beri kejutan dan mereka akan menggunakan semua kekuatan yang ada di hadapan mereka dan akan memusnahkan semua yang menghalang mereka,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini hari ini.
- Kumpulan pembebasan Palestin di Gaza, Hamas melancarkan Operasi Taufan Al-Aqsa ke atas Israel awal Sabtu lalu, melepaskan tembakan roket dan menyusup masuk ke Israel melalui darat, udara dan laut.
- Hamas berkata serangan mengejut itu sebagai tindak balas terhadap penyerbuan Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis Timur yang diduduki serta peningkatan keganasan peneroka haram Israel.
KUALA LUMPUR —- Cahaya kemenangan untuk Palestin pasti ada selagi mana ada insan sudi menjadikan tubuhnya sebagai ‘benteng terakhir’ untuk mempertahankan bumi anbiya itu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Nadir berkata apa dilakukan mujahidin hari ini adalah permulaan kepada pengakhiran, langkah pertama untuk membolehkan mereka membebaskan negara daripada penjajahan zionis Israel.
“Pastinya ada cahaya kemenangan untuk Gaza dan Palestin selagi mana ada insan yang bernyawa di sana yang masih sudi dan mahu untuk menjadikan batang tubuh dia sebagai benteng terakhir untuk bumi Palestin.
“Kejutan (serangan) ini adalah kejutan sangat besar dibuat mujahidin sebab itulah mereka menamakannya sebagai Operasi Taufan Al-Aqsa dan taufan memberi makna mereka akan beri kejutan dan mereka akan menggunakan semua kekuatan yang ada di hadapan mereka dan akan memusnahkan semua yang menghalang mereka.
“Serangan balas (mujahidin) masih lagi berterusan dan kita melihat zionis Israel mengambil juga tindakan nekad di peringkat mereka untuk membalas dendam,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini hari ini.
Nadir berkata adalah memalukan umat Islam apabila wujud kelompok memilih menunggu mujahidin serba daif itu bertindak terlebih dahulu dan menyaksikan nyawa terkorban sebelum campur tangan dalam konflik dengan mengatakan bantahan terhadap apa yang berlaku.
Beliau mengulas tindakan sekumpulan masyarakat yang melabel pejuang Palestin sebagai pengganas dan berkata ‘Shame of Palestine’ serta berpendirian perang bukanlah solusi dalam konflik melanda Palestin yang dijajah Israel.
Katanya, penindasan terhadap bumi Gaza bukan sahaja melibatkan penduduk Islam sebaliknya masyarakat bukan Islam seperti Kristian turut menerima nasib sama, gereja dibom dan tidak dibenarkan menziarahi kota suci mereka iaitu kota Bethlehem.
Nadir berkata penindasan itu dilihat sebagai isu agama semata-mata kerana masyarakat kurang membaca, dan kuatnya propaganda negara bukan Islam sendiri.
“Untuk kita rakyat Malaysia yang berada bersama-sama mereka, perjuangan mereka, solidariti mereka, kita perlu tahu dan faham larian kita pada kali ini masih lagi jauh.
“Kita baru nak memanaskan badan, belum lagi nak berlari bersama-sama dengan mereka, maka jangan patah semangat, jangan pancit awal, pastikan momentum ini boleh diteruskan dengan semangat kita, dengan doa kita, perang kita di media sosial, semangat untuk kita mencari dana untuk mereka dan memastikan makanan mereka cukup.
“Itulah yang paling kurang kita boleh lakukan untuk mereka dalam keadaan mereka memberikan segala yang mereka ada untuk perjuangan pembebasan bumi Palestin yang bukan sahaja bumi mereka tetapi bumi umat Islam,” katanya.
Kumpulan pembebasan Palestin di Gaza, Hamas melancarkan Operasi Taufan Al-Aqsa ke atas Israel awal Sabtu lalu, melepaskan tembakan roket dan menyusup masuk ke Israel melalui darat, udara dan laut.
Hamas berkata serangan mengejut itu sebagai tindak balas terhadap penyerbuan Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis Timur yang diduduki serta peningkatan keganasan peneroka haram Israel.
Sebagai tindakan balas, tentera Israel melancarkan ‘Operation Swords of Iron’ terhadap Hamas di Semenanjung Gaza. —- The Merdeka Times