Agama
Perayaan Kuih Bulan punya unsur keagamaan?
PERAYAAN Kuih Bulan merupakan perayaan yang dirai masyarakat Cina.Tradisi perayaan ini sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat kita di Malaysia. Disebabkan itu kita dapat melihat ramai Muslim turut menyambut perayaan Kuih Bulan ini.
PERAYAAN Kuih Bulan merupakan perayaan yang dirai masyarakat Cina.Tradisi perayaan ini sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat kita di Malaysia. Disebabkan itu kita dapat melihat ramai Muslim turut menyambut perayaan Kuih Bulan ini.
Maka, persoalan yang sering timbul adalah ‘Bolehkah Muslim terlibat dalam perayaan ini? Adakah perayaan ini merupakan ritual keagamaan ataupun tidak?’
Sebelum kita menelusuri hukum menyambut perayaan ini, wajarlah kita mengetahui asal usul dan kisah pensejarahan perayaan Kuih Bulan terlebih dahulu.
Perayaan Kuih Bulan atau lebih tepat bagi perayaan ini adalah ‘Perayaan Musim Luruh’. Perayaan ini kebiasaannya disambut pada hari ke-15 bulan ke-8 dalam kalendar lunar Cina.
Kisah pensejarahan di sebalik perayaan ini memiliki banyak versi dan teori penceritaan. Salah satu teori penceritaan asal-usul paling popular, perayaan ini memiliki unsur-unsur aqidah dan kepercayaan masyarakat Cina berkait dengan kisah mitos Dewi Bulan yang bernama Chang Er.
Dalam kisah ini, Chang Er adalah seorang manusia biasa pada awalnya yang memiliki seorang suami bernama Hou Yi. Pada ketika itu, Bumi dikatakan mempunyai sepuluh matahari. Pada suatu hari, kesemua matahari terbit pada waktu sama yang telah mengakibatkan kepanasan melampau. Maka, Hou Yi, yang juga seorang pemanah handal, bertekad untuk memanah kesembilan matahari itu dan ditinggalkan hanya satu matahari.
Atas jasa baik beliau, Hou Yi dihadiahkan ubat kekal abadi. Namun demikian, Hou Yi tidak memakan ubat tersebut kerana beliau tidak mahu hidup kekal abadi tanpa isterinya.
Pada suatu hari semasa Hou Yi keluar memburu, anak muridnya Fengmeng telah memecah masuk rumah pasangan itu untuk merampas ubat tersebut. Dalam keadaan kelam kabut, Chang Er tertelan ubat itu. Ubat tersebut membuatkan dirinya terapung dan terbang ke atas langit.
Disebabkan Chang Er berubah menjadi dewi yang hidup kekal abadi, beliau memilih menetap di bulan supaya dapat berdekatan dengan suaminya. Selepas Hou Yi mengetahui perkara tersebut, beliau merasa sedih. Lalu setiap bulan pada hari kelima belas, beliau akan menyediakan makanan kesukaan Chang Er dengan harapan dapat melihat isterinya ketika bulan penuh.
Hasil daripada mitos itulah sebab masyarakat Cina dahulu menyembah Dewi Bulan. Namun, ia bukanlah versi utama mengapa masyarakat Cina meraikan Perayaan Kuih Bulan ini.
Terdapat teori penceritaan lain yang turut disandarkan kepada perayaan ini iaitu kisah kejayaan masyarakat Cina menggulingkan penjajah Dinasti Yuan yang berbangsa Mongolia dengan menggunakan kuih bulan sebagai ‘senjata’. Kuih bulan digunakan sebagai alat komunikasi rahsia di mana para pemberontak meletakkan kertas mesej dalam kuih tersebut untuk disampaikan kepada masyarakat sekitar. Kertas tersebut tertulis:
八月十五杀鞑子 bermaksud: “Bunuhlah orang Tatar (Mongolia) pada hari ke-15 bulan ke-8!”
Maka pada malam hari ke-15 bulan ke-8, semua penduduk daripada pelbagai lapisan masyarakat pun keluar beramai-ramai dengan senjata masing-masing, lalu membunuh askar-askar Mongolia.
Kejayaan itu akhirnya menandakan pembebasan China daripada penjajahan. Sejak itu, kuih bulan dijadikan makanan khusus pada Perayaan Musim Luruh sebagai cara memperingati usaha kemerdekaan daripada penjajahan. Tiada dokumen asal yang telah merekodkan kemenangan orang China terhadap penjajah Mongol disebabkan strategi kuih bulan mereka.
Walaupun begitu, kedua-dua teori penceritaan ini tiada asas yang kukuh melainkan ia hanyalah semata-mata kisah rakyat yang diceritakan turun temurun. Namun dikatakan inilah asbab sambutan perayaan kuih bulan dalam masyarakat cina sehingga kini.
Setelah meneliti beberapa sisi sejarah, mitos serta falsafah perayaan ini, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri telah berpandangan perayaan Kuih Bulan adalah harus dan dibenarkan di sisi Islam. Ia lebih dilihat sebagai festival kekeluargaan, bukannya upacara keagamaan kerana pensejarahan dan mitos yang kabur dan bercampur aduk ini menyebabkan ia tidak boleh dihukum dengan tetap sebagai perayaan keagamaan.
Menurut bekas Mufti itu, unsur-unsur aqidah dan kepercayaan masyarakat Cina berkaitan perayaan Kuih Bulan telah terhapus pada masa sekarang. Maka, ia bukan lagi dikategorikan sebagai sebuah perayaan keagamaan.
Namun, perlu ditegaskan bahawa perayaan Kuih Bulan bukanlah daripada asal kepercayaan Islam. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berwaspada dengan segala tindakan yang bukan berasal daripada kepercayaan Islam supaya tidak bercanggah dengan syariat Islam. Seperti yang dinyatakan dalam hadith Nabi Muhammad SAW yang bersabda:
“Sesiapa yang bertasyabbuh dengan sesuatu kaum maka dia sebahagian dari mereka.” (Riwayat Abu Daud, Hadith no 4031) – The Merdeka Times