Terkini
Kegagalan Muslim mengundi, penyebab pelantikan pemimpin tidak jaga Islam – Mufti Johor
Kegagalan umat Islam melaksanakan tanggungjawab mengundi sehingga terlantik pemimpin yang membawa kerosakan kepada masyarakat dan negara, adalah berdosa besar dan akan dihisab di akhirat kelak.

- Kegagalan umat Islam melaksanakan tanggungjawab mengundi sehingga terlantik pemimpin membawa kerosakan kepada masyarakat dan negara, adalah berdosa besar dan akan dihisab di akhirat kelak.
- Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad, berkata hukum mengundi adalah wajib dan menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam memilih pemimpin yang menjaga agama dan mereka gagal berbuat demikian melakukan kesalahan mengikut agama.
- Katanya, anggapan sesetengah kelompok masyarakat menyatakan undi mereka tidak penting kerana ada ramai orang lain akan keluar mengundi, akan membawa kemudaratan kepada masyarakat dan negara akhirnya.
- “Tindakan tidak mengundi bukan saja menyebabkan pemimpin yang tidak menjaga Islam dilantik, malah ia mampu membawa kerosakan yang akhirnya memudaratkan sehingga menyebabkan Islam dimusuhi, maka orang itu berdosa besar,” katanya hari ini.
- “Umat Islam yang meremehkan tanggungjawab mereka mengundi dan hanya membiarkan sekelompok masyarakat memilih, mereka perlu bertanggungjawab jika pemimpin terpilih itu membawa kemudaratan kepada masyarakat.”
- “Namun jika umat Islam sudah menjalankan tanggungjawab mereka dan pemimpin yang membawa kemudaratan tetap menang dan terpilih, maka mereka sudah terlepas daripada tanggungjawab mengikut syariat Islam,” katanya.
JOHOR BAHRU: Kegagalan umat Islam melaksanakan tanggungjawab mengundi sehingga terlantik pemimpin yang membawa kerosakan kepada masyarakat dan negara, adalah berdosa besar dan akan dihisab di akhirat kelak.
Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad, berkata hukum mengundi adalah wajib dan menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam memilih pemimpin yang menjaga agama dan mereka yang gagal berbuat demikian melakukan kesalahan mengikut agama.
Katanya, anggapan sesetengah kelompok masyarakat yang menyatakan undi mereka tidak penting kerana ada ramai orang lain akan keluar mengundi, hanya akan membawa kemudaratan kepada masyarakat dan negara akhirnya.
“Mengundi untuk mencari pemimpin berwibawa yang mampu menjaga agama adalah wajib untuk umat Islam.
“Pemimpin berwibawa ialah pemimpin yang menjaga dan mengangkat Islam, berintegriti, cekap, mahir mengurus serta berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan tanggungjawab menjaga masyarakat dan negara daripada terjerumus ke kancah kerosakan.
“Tindakan tidak mengundi bukan saja menyebabkan pemimpin yang tidak menjaga Islam dilantik, malah ia mampu membawa kerosakan yang akhirnya memudaratkan sehingga menyebabkan Islam dimusuhi, maka orang itu berdosa besar” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari pengundian bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
SPR turut menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor pada 9 September nanti.
Mengulas lanjut, Yahya berkata, tindakan umat Islam meremehkan tanggungjawab mengundi berikutan menganggap PRN dan PRK tidak akan membawa perubahan kepada kerajaan adalah anggapan yang salah dan membawa kemudaratan.
Katanya, Islam sudah menetapkan tanggungjawab memilih pemimpin berwibawa atau mengundi itu adalah wajib tidak kira pada mana-mana pilihan raya bagi memilih pemerintah.
“Umat Islam yang meremehkan tanggungjawab mereka mengundi dan hanya membiarkan sekelompok masyarakat memilih, mereka perlu bertanggungjawab jika pemimpin terpilih itu membawa kemudaratan kepada masyarakat.
“Jika itu berlaku penyesalan tidak lagi berguna dan umat Islam yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka akan dihisab di akhirat kerana membiarkan pemimpin membawa kerosakan terpilih.
“Namun jika umat Islam sudah menjalankan tanggungjawab mereka dan pemimpin yang membawa kemudaratan tetap menang dan terpilih, maka mereka sudah terlepas daripada tanggungjawab mengikut syariat Islam,” katanya.
Sumber: Berita Harian
