Connect with us

Terkini

KDN laksana projek rintis pindah kanak-kanak warga asing dari depoh tahanan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan projek rintis untuk memindahkan kanak-kanak warga asing berusia 18 tahun ke bawah dalam depoh tahanan imigresen ke pusat penjagaan lebih selesa.

Wartawan TMT

Published

on

KDN laksana projek rintis pindah kanak-kanak warga asing dari depoh tahanan 
Foto: Menteri di Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kanan).
  • Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan projek rintis memindahkan kanak-kanak warga asing berusia 18 tahun ke bawah dalam depoh tahanan imigresen ke pusat penjagaan lebih selesa.
  • Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya sudah mengenal pasti lokasi pusat penjagaan berkenaan termasuk jumlah kanak-kanak yang akan dipindahkan menerusi projek rintis terbabit.
  • “Ini akan menjadi permulaan kepada usaha berterusan kita untuk mengeluarkan kanak-kanak daripada depoh imigresen supaya penjagaan yang lebih manusiawi dapat diberikan, suasananya lebih kondusif berbanding tempat sekarang,” katanya.
  • “Tempoh mereka berada dalam pusat jagaan itu ialah sehingga negara asal mereka dikenal pasti, sehingga kami berhubung dengan kedutaan negara mereka dan sehingga dokumen perjalanan mereka dapat dikeluarkan,” katanya.

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan projek rintis untuk memindahkan kanak-kanak warga asing berusia 18 tahun ke bawah dalam depoh tahanan imigresen ke pusat penjagaan lebih selesa.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya sudah mengenal pasti lokasi pusat penjagaan berkenaan termasuk jumlah kanak-kanak yang akan dipindahkan menerusi projek rintis terbabit.

“Seperti mana yang tekad saya umumkan pada Februari lalu, seramai 80 kanak-kanak akan dipindahkan ke pusat penjagaan berkenaan dalam masa terdekat.

“Ini akan menjadi permulaan kepada usaha berterusan kita untuk mengeluarkan kanak-kanak daripada depoh imigresen supaya penjagaan yang lebih manusiawi dapat diberikan, suasananya lebih kondusif berbanding tempat sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, sebagai permulaan pusat penjagaan itu akan diselia oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Sukarelawan (RELA) tanpa penambahan anggota tambahan.

Bagaimanapun, katanya, anggota yang akan ditempatkan di pusat penjagaan terbabit akan menjalani penyesuaian dengan tugasan yang diberikan.

“Bagi projek rintis ini, kanak-kanak terbabit akan diambil dari Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Semenyih dan KLIA. Kanak-kanak ini ada dua kategori iaitu kanak-kanak yang ada jagaan (ada penjaga seperti ibu) serta kanak-kanak yang tiada jagaan.

“Tempoh mereka berada dalam pusat jagaan itu ialah sehingga negara asal mereka dikenal pasti, sehingga kami berhubung dengan kedutaan negara mereka dan sehingga dokumen perjalanan mereka dapat dikeluarkan,” katanya.

Ditanya sama ada elemen pendidikan akan dimasukkan dalam projek rintis terbabit, Saifuddin Nasution berkata, beliau amat mengalu-alukan pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) jika ada yang berminat.

Katanya, pelaksanaan projek rintis itu hanya membabitkan kos yang minimum serta dalam keupayaan KDN.

“Kami cuma tinggal untuk menyelesaikan aspek logistik yang asas seperti memasukkan tempat tidur, mengenal pasti bekalan air dan elektrik serta keperluan lain,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin Nasution ketika berucap pada majlis berkenaan, meminta Ketua Pengarah Imigresen supaya menyegerakan perolehan mesin pencetak pasport berkapasiti tinggi.

Katanya, mesin baharu itu kelak dapat mengeluarkan lebih 1,000 pasport dalam sehari berbanding hanya 400 ketika ini sekali gus dapat mengurangkan kesesakan di kaunter Imigresen.

“Apa sahaja yang boleh kita bagi keselesaan kepada rakyat, kena buat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Terkini

Jangan terpedaya helah sami palsu minta sedekah – Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Orang awam khususnya pelanggan di pasar, kompleks makanan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diingatkan supaya tidak terpedaya dengan kehadiran sami-sami palsu yang difahamkan menjalankan kegiatan meminta sedekah.

Hidayah Sani

Published

on

Foto: Sami-sami palsu yang difahamkan menjalankan kegiatan meminta sedekah.
  • Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkata berdasarkan siasatan pihak Majlis didapati terdapat sindiket yang mendalangi aktiviti tidak sihat membabitkan sami palsu tersebut.
  • Pihak Majlis telah mengadakan perbincangan dan mesyuarat dengan jabatan teknikal Majlis dan agensi luar seperti Jabatan Imigresen Malaysia, PDRM, Perbadanan Harmoni Pulau Pinang, Malaysian Buddhist Association dan United Buddhist Organisation Malaysia untuk membanteras kehadiran kelompok sami palsu itu di pasar kompleks makanan Majlis. 
  • “Kerjasama semua orang awam terutamanya para pelanggan di pasar atau kompleks makanan adalah dimohon supaya lebih peka dan tidak terpedaya dengan kehadiran mereka dalam meminta sedekah. 
  • “Sekiranya ingin menghulurkan bantuan, adalah digalakkan secara memberi makanan dan bukan wang ringgit kepada sami-sami palsu ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini pada Rabu.

KUALA LUMPUR — Orang awam khususnya pelanggan di pasar, kompleks makanan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diingatkan supaya tidak terpedaya dengan kehadiran sami-sami palsu yang difahamkan menjalankan kegiatan meminta sedekah.

MBPP berkata berdasarkan siasatan pihak Majlis didapati terdapat sindiket yang mendalangi aktiviti tidak sihat membabitkan sami palsu tersebut.

Sehubungan itu, pihak Majlis telah mengadakan perbincangan dan mesyuarat dengan jabatan teknikal Majlis dan agensi luar seperti Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Harmoni Pulau Pinang (Harmonico), Malaysian Buddhist Association dan United Buddhist Organisation Malaysia untuk membanteras kehadiran kelompok sami palsu itu di pasar kompleks makanan Majlis. 

“Kerjasama semua orang awam terutamanya para pelanggan di pasar atau kompleks makanan adalah dimohon supaya lebih peka dan tidak terpedaya dengan kehadiran mereka dalam meminta sedekah. 

“Sekiranya ingin menghulurkan bantuan, adalah digalakkan secara memberi makanan dan bukan wang ringgit kepada sami-sami palsu ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini pada Rabu.

Difahamkan, hari ini Ahli Majlis Tan Soo Siang, Pengerusi Gantian Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam bersama Ahli Majlis Choong You Ray dan Quah Boon Lim telah mengadakan satu sidang media khas di Kompleks Makanan Batu Lanchang, Pulau Pinang untuk menguar-uarkan kepada orang awam terutama pelanggan di pasar, kompleks makanan Majlis supaya tidak terpedaya dengan kehadiran sami-sami palsu itu.

Selepas sidang media tersebut, beberapa Ahli Majlis bersama pegawai Jabatan Pelesenan mengedarkan pelekat peringatan kepada para peniaga dan turut meletakkannya di atas meja makan untuk memberi maklumat dan kesedaran kepada orang awam.

Foto beberapa Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang, termasuk Tan Soo Siang (tengah) yang dimuat naik MBPP di Facebook hari ini.

MBPP berkata untuk menangani masalah isu sami palsu tersebut, pihak Majlis akan  mengadakan beberapa langkah pencegahan antaranya melakukan Operasi Serbu Bersepadu bersama agensi-agensi pihak berkuasa seperti PDRM dan Imigresen serta sami-sami yang dikesan akan diminta meninggalkan bangunan pasar atau kompleks makanan dengan serta-merta.

Antara lokasi yang kerap menjadi kunjungan sami-sami palsu tersebut adalah Tapak Penjaja Lebuh Cecil; Pasar Jelutong; Pasar dan Kompleks Makanan Batu Lanchang; Pasar dan Kompleks Makanan Bayan Baru; Pasar Ayer Itam; Pasar dan Kompleks Makanan Padang Tembak; Kompleks medan angsana; PSS Jalan Chowrasta; Pasar Pulau Tikus; Kompleks Lebuh Pitt; Kompleks Lorong Stewart dan Tapak Penjaja Lorong Baru. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending