Terkini
Jangan sekat kebebasan suara Melayu-Muslim – NGO
Kerajaan tidak boleh menyekat kebebasan bersuara, khususnya suara Melayu Muslim kerana ia hanya menyebabkan golongan itu lebih menyisihkan diri daripada kerajaan.
- Kerajaan tidak boleh menyekat kebebasan bersuara, khususnya suara Melayu Muslim kerana ia hanya menyebabkan golongan itu lebih menyisihkan diri daripada kerajaan.
- Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad dan Pengerusi bersama Malaysian Alliance of Civil Society Organisations (MACSA), Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar dalam kenyataan bersama berkata, mereka memandang serius kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 18 Ogos 2023 yang cuba memberi justifikasi terhadap sekatan ke atas laman Web TV Pertiwi.
- Kedua-dua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) itu berkata dakwaan laman web terbabit disekat kerana wujud artikel atau posting (hantaran) berunsur provokasi atau maklumat kurang tepat adalah terlalu umum/arbitrari.
- Katanya, mereka juga difahamkan sekatan dibuat tanpa mengikut proses undang-undang yang wajar (due process), di mana sekatan dilakukan tanpa pengendali web diberitahu posting atau artikel mana yang didapati salah.
KUALA LUMPUR — Kerajaan tidak boleh menyekat kebebasan bersuara, khususnya suara Melayu Muslim kerana ia hanya menyebabkan golongan itu lebih menyisihkan diri daripada kerajaan.
Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad dan Pengerusi bersama Malaysian Alliance of Civil Society Organisations (MACSA), Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar dalam kenyataan bersama berkata, mereka memandang serius kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 18 Ogos 2023 yang cuba memberi justifikasi terhadap sekatan ke atas laman Web TV Pertiwi.
Kedua-dua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) itu berkata dakwaan laman web terbabit disekat kerana wujud artikel atau posting (hantaran) berunsur provokasi atau maklumat kurang tepat adalah terlalu umum/arbitrari.
Katanya, mereka juga difahamkan sekatan dibuat tanpa mengikut proses undang-undang yang wajar (due process), di mana sekatan dilakukan tanpa pengendali web diberitahu posting atau artikel mana yang didapati salah.
“MPM dan MACSA berpandangan kita sudah pun mempunyai batasan undang-undang untuk menyekat hasutan bawah Akta Hasutan.
“Akta ini yang wajar digunakan oleh kerajaan untuk mengawal selia sesebuah entiti penerbitan dengan mengemukakan bukti-bukti yang konsisten dan jelas.
“Tetapi jika tidak mencukupi syarat untuk mendakwa dibawahnya, maka semua ekspresi media mestilah dibenarkan kerana ini satu kebebasan bersuara yang dilindungi perlembagaan,” kata kedua-dua NGO itu menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, pengurusan TV Pertiwi melahirkan rasa kecewa dan kesal dengan tindakan pihak berkuasa yang didakwa menyekat akses ke laman web tvpertiwi.com.my pada Khamis lalu.
Ketua Pegawai Operasinya, Mohd Firdaus Salleh Hudin berkata semakan pihaknya menerusi hasil ping ke alamat tvpertiwi.com.my menunjukkan terdapat penyekatan DNS dengan data memaparkan IP Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM): 175.139.142.25.
Mengulas lanjut, kedua-dua NGO itu turut senada dengan kenyataan Presiden Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia, Nik Suryani Megat Deraman bahawa pihak berkuasa perlu memastikan pengamal media di negara ini diberi kebebasan dalam menjalankan tugas dengan berlandaskan etika kewartawanan sedia ada.
Katanya, ia selaras dengan jaminan dan dasar Kerajaan Perpaduan serta jaminan diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kebebasan media kepada pengamal media di Malaysia. — The Merdeka Times
Sumber : Facebook MACSA