Connect with us

Ekonomi

Hapuskan pembaziran, ketirisan dan rasuah sebelum perkenal cukai baharu – Ahli Ekonomi

Kerajaan harus menghapuskan pembaziran, ketirisan dan rasuah sebelum memperkenalkan cukai baharu atau menaikkan cukai untuk meningkatkan hasil cukainya, kata ahli ekonomi.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Hapuskan pembaziran, ketirisan dan rasuah sebelum perkenal cukai baharu - Ahli Ekonomi
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Profesor Ekonomi Malaysia University of Science and Technology (MUST) Geoffrey Williams berkata beliau bersetuju dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan bahawa kenaikan cukai harus menjadi pilihan terakhir dan bukan pilihan utama.
  • Beliau berkata menaikkan cukai akan membebankan isi rumah dan syarikat manakala memperluaskan asas cukai bermakna kumpulan berpendapatan sederhana (M40) dan 40 peratus berpendapatan terendah (B40) akan membayar lebih. 
  • “la juga menjadikan Malaysia kurang berdaya saing berbanding negara lain dan ia merupakan disinsentif (penghalang) untuk bekerja, melabur atau berinovasi.
  • “Sebelum kita mempertimbangkan menaikkan cukai, kita perlu mengurangkan pembaziran, ketirisan dan rasuah,” katanya kepada Bernama sebagai respons kepada kenyataan cukai oleh Perdana Menteri sebelum ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan harus menghapuskan pembaziran, ketirisan dan rasuah sebelum memperkenalkan cukai baharu atau menaikkan cukai untuk meningkatkan hasil cukainya, kata ahli ekonomi.

Profesor Ekonomi Malaysia University of Science and Technology (MUST) Geoffrey Williams berkata beliau bersetuju dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan bahawa kenaikan cukai harus menjadi pilihan terakhir dan bukan pilihan utama.

Beliau berkata menaikkan cukai akan membebankan isi rumah dan syarikat manakala memperluaskan asas cukai bermakna kumpulan berpendapatan sederhana (M40) dan 40 peratus berpendapatan terendah (B40) akan membayar lebih. 

“la juga menjadikan Malaysia kurang berdaya saing berbanding negara lain dan ia merupakan disinsentif (penghalang) untuk bekerja, melabur atau berinovasi.

“Sebelum kita mempertimbangkan menaikkan cukai, kita perlu mengurangkan pembaziran, ketirisan dan rasuah,” katanya kepada Bernama sebagai respons kepada kenyataan cukai oleh Perdana Menteri sebelum ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, semalam berkata dasar percukaian Malaysia mesti berpandu kepada dua prinsip asas, iaitu dikenakan cukai apabila ia benar-benar perlu dan ia tidak seharusnya membebankan pembayar cukai, sama ada individu atau komuniti perniagaan. 

Turut bersetuju dengan pandangan Williams ialah Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi (SERC) Lee Heng Guie, beliau berkata kerajaan perlu mencari cara untuk meningkatkan hasil cukainya dengan cekap. 

la termasuk menangani ketirisan, memastikan semua orang membayar cukai pada kadar yang adil, tidak berlaku pengelakan cukai dan berbelanja dengan bijak untuk sektor yang produktif kepada negara dan ekonomi.

“Sistem cukai yang baik seharusnya lebih mudah, cekap dan saksama. Ia harus menggalakkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan daya saing, menarik perniagaan dan pelaburan serta memberi ganjaran kepada produktiviti untuk menggalakkan keusahawanan,” katanya.

Bagaimanapun, Lee berpendapat kerajaan tidak seharusnya meneruskan cukai barangan mewah yang disebut dalam Belanjawan 2023, walaupun tiada maklumat terkini mengenainya setakat ini, beliau percaya ia akan memberi kesan negatif kepada industri pelancongan, menjadikan Malaysia kurang berdaya saing berbanding negara yang tidak melaksanakannya. 

“Kita perlu melihat analisis mengenai sebab dan akibat mengenainya,” katanya.

Mengenai sama ada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak akan dimasukkan dalam Belanjawan 2024 susulan perdana menteri menyatakan bahawa ‘cukai hanya apabila perlu’ dan ia harus tidak membebankan, Lee berpendapat terdapat banyak ketirisan yang boleh berlaku pada asas hasil semasa seperti cukai penggunaan yang terdapat jurang hasil yang dikutip daripada GST berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) semasa. 

Belanjawan 2024 dijadualkan dibentangkan pada 13 Oktober 2023. 

Walaupun terdapat gesaan daripada pelbagai pihak untuk memperkenalkan semula GST atau memperkenalkan sistem hibrid GST-SST, beliau percaya kerajaan atau jawatankuasa fiskal Kementerian Kewangan akan mengkaji perbezaan serta kebaikan dan keburukan rejim cukai yang berbeza.

Sebaliknya, Williams berpendapat buat masa ini, GST tidak boleh dianggap sebagai keutamaan dan memastikan kedudukan asas yang baik telah tercapai. 

“Kita tidak tahu sama ada GST perlu dilaksanakan atau berapa banyak yang perlu dinaikkan sehingga kita menghapuskan ketidakcekapan dalam sistem. Justeru, kita belum tahu kadar yang sepatutnya,” katanya.

Menurut Lee, hasil cukai Malaysia menyumbang kira-kira 12 peratus daripada saiz ekonomi Malaysia kira-kira RM1.73 trilion, ia dianggap sebagai asas cukai yang sempit. – BERNAMA

Sumber: Bernama

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *