Connect with us

Terkini

Bom pada kereta Siti Kasim: Siasatan temui jalan buntu – Polis

Siasatan polis berhubung kes penemuan dua bom buatan sendiri (IED) pada kereta aktivis dan peguam, Siti Kasim, bulan lalu, menemui jalan buntu.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Bom pada kereta Siti Kasim: Siasatan temui jalan buntu - Polis
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Siasatan polis berhubung kes penemuan dua bom buatan sendiri (IED) pada kereta aktivis dan peguam, Siti Kasim, bulan lalu, menemui jalan buntu.
  • Bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata penelitian terhadap beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berkait kes itu tidak menunjukkan adanya individu berpotensi sebagai suspek.
  • “Berdasarkan hasil pemeriksaan, kita juga tidak menemui sebarang cap jari pada alat letupan berkenaan. Hanya cap jari Siti Kasim dikesan pada kenderaan terbabit,” katanya. 
  • Beliau berkata, polis sudah merakam percakapan 13 individu, namun tiada satu pun yang dapat membantu siasatan. Kesemua 13 individu berusia antara 26 hingga 60 tahun itu terdiri daripada rakan, mekanik, pengawal keselamatan serta Siti Kasim sendiri.

KUALA LUMPUR: Siasatan polis berhubung kes penemuan dua bom buatan sendiri (IED) pada kereta aktivis dan peguam, Siti Kasim, bulan lalu, menemui jalan buntu.

Bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata penelitian terhadap beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berkait kes itu tidak menunjukkan adanya individu berpotensi sebagai suspek.

Beliau berkata, hasil penelitian terhadap rakaman berkenaan mendapati tiada mana-mana individu boleh disyaki mendekati kenderaan Siti Kasim.

“Berdasarkan hasil pemeriksaan, kita juga tidak menemui sebarang cap jari pada alat letupan berkenaan. Hanya cap jari Siti Kasim dikesan pada kenderaan terbabit.

“Buat masa ini, kita tidak ada ‘lead’ (petunjuk) untuk menjuruskan kepada sesiapa. Bagaimanapun, siasatan masih dibuka dan kes berkenaan tidak pernah ditutup.

“Kita berharap sesiapa yang ada maklumat, boleh panjangkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur serta Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berkuat kuasa esok, menjelaskan polis telah melakukan siasatan terperinci berhubung kes itu, termasuk siasatan forensik dan soal siasat, justeru memerlukan bukti baharu yang boleh membantu siasatan.

Setakat ini, beliau berkata, polis sudah merakam percakapan 13 individu, namun tiada satu pun yang dapat membantu siasatan. Kesemua 13 individu berusia antara 26 hingga 60 tahun itu terdiri daripada rakan, mekanik, pengawal keselamatan serta Siti Kasim sendiri.

Selain itu, katanya, polis juga telah meneliti semua rakaman CCTV yang memperlihatkan perjalanan kenderaan Siti Kasim dari satu lokasi ke lokasi lain.

Pada 21 Julai lalu, Siti Kasim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim, dalam siaran langsung Facebook mendakwa keretanya diletakkan objek menyerupai bom.

Siti Kasim berkata, beliau menyedari objek yang diletakkan di bahagian tayar itu ketika menghantar kenderaannya ke pusat servis di Bangsar, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor kemudian dilapor mengesahkan dua objek ditemui di bahagian bawah kereta Siti Kasim itu adalah alat letupan termampat.

Analisis polis mendapati dua botol ditemui itu adalah bahan letupan aktif yang mengandungi diesel, kain, bahan mercun, bateri, litar, wayar serta suis.

Polis turut menemui suis manual untuk mengaktifkan bahan letupan itu, dan ia boleh diletup menggunakan alat kawalan jauh.

Bagaimanapun ketika alat letupan itu ditemui, suisnya berada dalam mod tertutup.

Sumber: Berita Harian

Author