Terkini
Amaran PM bukan salah guna kuasa, itu adalah nasihat – Azam Baki
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melihat amaran dikeluarkan Perdana Menteri mengenai rasuah pada satu program di Kelantan, baru-baru ini, bukan salah guna kuasa.
- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melihat amaran dikeluarkan Perdana Menteri mengenai rasuah pada satu program di Kelantan, baru-baru ini, bukan salah guna kuasa.
- Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menyifatkan perkara itu adalah nasihat seorang ketua kepada pegawai awam di dalam negara, selain ia bukan untuk kepentingan diri sendiri.
- “Sebagai seorang Perdana Menteri, saya rasa itu adalah tanggungjawab beliau untuk menasihatkan dan memberitahu kepada masyarakat kerana beliau adalah ketua kepada pegawai awam dalam negara untuk menasihatkan kita semua tidak boleh terbabit dalam rasuah.
- “Saya rasa tiada masalah mengenai itu,” katanya ketika sidang media sejurus temubual Cakna Rasuah Bersama SPRM menerusi segmen Tamu Kito di Negeri FM, petang semalam.
- Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Program Jelajah Perpaduan MADANI dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kelantan pada 25 Julai lalu memberi kata dua kepada seorang pemimpin politik, sama ada memulangkan semula harta yang didakwa dicuri atau bersedia untuk disiasat.
- Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menyifatkan amaran dikeluarkan sebanyak tiga kali oleh Anwar menjurus salah guna kuasa dan berlaku campur tangan pemimpin kerajaan itu dalam agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM.
Seremban: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melihat amaran dikeluarkan Perdana Menteri mengenai rasuah pada satu program di Kelantan, baru-baru ini, bukan salah guna kuasa.
Sebaliknya, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menyifatkan perkara itu adalah nasihat daripada seorang ketua kepada pegawai awam di dalam negara, selain ia bukan untuk kepentingan diri sendiri.
“Sebagai seorang Perdana Menteri, saya rasa itu adalah tanggungjawab beliau untuk menasihatkan dan memberitahu kepada masyarakat kerana beliau adalah ketua kepada pegawai awam dalam negara untuk menasihatkan kita semua tidak boleh terbabit dalam rasuah.
“Saya rasa tiada masalah mengenai itu,” katanya ketika sidang media sejurus temubual Cakna Rasuah Bersama SPRM menerusi segmen Tamu Kito di Negeri FM, petang semalam.
Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Program Jelajah Perpaduan MADANI dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kelantan pada 25 Julai lalu memberi kata dua kepada seorang pemimpin politik, sama ada memulangkan semula harta yang didakwa dicuri atau bersedia untuk disiasat.
Dalam ucapannya, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, jika pemimpin terbabit yang tidak dinamakannya, gagal berbuat demikian, beliau akan mengarahkan pihak berkuasa untuk menyiasatinya.
Susulan itu, Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menyifatkan amaran dikeluarkan sebanyak tiga kali oleh Anwar menjurus salah guna kuasa dan berlaku campur tangan pemimpin kerajaan itu dalam agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM.
Beliau dilaporkan berkata, meskipun Anwar mempunyai bidang kuasa eksekutif, ia tidak tertakluk dalam perihal pelaksanaan tindakan perundangan negara.
Menurut Mohamed Haniff, adalah satu pemahaman yang silap apabila mengatakan sesuatu jenayah diselesaikan dengan melakukan pemulangan harta kerana ia dilihat mengabaikan kedaulatan undang-undang negara serta prinsip jenayah itu sendiri.
Azam menjelaskan, sebarang maklumat yang diberikan oleh mana-mana pihak akan dijadikan panduan untuk memulakan sesuatu siasatan sekiranya perlu.
“Berhubung apa yang disebutkan Perdana Menteri, SPRM melihat kepada sudut yang lain kerana ini adalah satu perkara atau maklumat yang kita perlu beri perhatian.
“Sekiranya maklumat itu perlu dijadikan sebagai panduan untuk jalankan siasatan, kita akan gunakan untuk jalankan siasatan.
“Jadi ia tidak jadi satu kesalahan salah guna kuasa kerana di bawah akta kami, kesalahan salah guna kuasa ini adalah satu perkara yang lain, di mana kalau sekiranya seseorang itu menggunakan jawatan untuk faedah diri sendiri, untuk kaum keluarganya, ini salah guna kuasa.
“Tetapi dalam keadaan memberi nasihat, memberitahu kepada masyarakat atau memberi amaran mengenai gejala rasuah ini, ini bukan salah guna kuasa seperti mana tafsiran undang-undang kami (SPRM),” katanya.
Sumber: Harian Metro