Terkini
Dewan Negara lulus RUU Insolvensi (Pindaan) 2023 & RUU Pencetakan Teks Al-Qur’an (Pindaan) 2023
Dewan Negara semalam meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi (Pindaan) 2023 dan RUU Pencetakan Teks Al-Qur’an (Pindaan) 2023.
- Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi (Pindaan) 2023 dan RUU Pencetakan Teks Al-Qur’an (Pindaan) 2023.
- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh, berkata pindaan terhadap RUU Insolvensi (Pindaan) 2023 itu, membolehkan rakyat Malaysia dibebaskan daripada keberhutangan dan kebankrapan.
- Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, ketika menggulung RUU Pencetakan Teks Al-Qur’an (Pindaan) 2023, berkata kementerian itu dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah membangunkan aplikasi Smart Quran.
- Aplikasi berkenaan satu-satunya aplikasi telah melalui semakan kementerian dan diperakui Lembaga Kawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran (LPPQ) sebagai alternatif bagi membolehkan rakyat merujuk kitab suci itu secara digital.
KUALA LUMPUR: Dewan Negara semalam meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi (Pindaan) 2023 dan RUU Pencetakan Teks Al-Qur’an (Pindaan) 2023.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh, berkata pindaan terhadap RUU Insolvensi (Pindaan) 2023 itu, antara lain bagi membolehkan rakyat Malaysia dibebaskan daripada keberhutangan dan kebankrapan.
“Seramai 130,000 dijangka dilepaskan daripada status muflis setelah pindaan akta tersebut diluluskan,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu selepas dibahas 16 senator sebelum diluluskan.
RUU berkenaan diluluskan di Dewan Rakyat pada 24 Mei lalu, juga memperuntukkan individu bankrap berumur 70 tahun ke atas dan pesakit mental layak dilepaskan melalui pengeluaran sijil Ketua Pengarah Insolvensi (KPI), selain penambahbaikan peruntukan pelepasan automatik.
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, ketika menggulung RUU Pencetakan Teks Al-Qur’an (Pindaan) 2023, berkata kementerian itu dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah membangunkan aplikasi Smart Quran.
Beliau berkata, aplikasi berkenaan satu-satunya aplikasi yang telah melalui semakan kementerian dan diperakui Lembaga Kawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran (LPPQ) sebagai alternatif bagi membolehkan rakyat merujuk kitab suci itu secara digital.
“Aplikasi itu turut menggunakan terjemahan daripada tafsir pimpinan Ar-Rahman, manakala bacaan qari diambil kebenaran bertulis daripada Mujamma Malik Fahd dari Arab Saudi. Itu kita sediakan alternatif kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Wan Martina Wan Yusoff yang bertanyakan mengenai tindakan pihak berkuasa bagi menyemak aplikasi al-Quran secara digital.
Persidangan Dewan Negara bersambung hari ini.
Sumber: Berita Harian