Terkini
KJ, Annuar Musa & Noh Omar amat dialu-alukan bersama PN
Perikatan Nasional (PN) sentiasa terbuka untuk menerima tokoh ternama dalam kalangan bekas pemimpin UMNO selagi mereka relevan dengan politik semasa serta selari perjuangan dibawa gabungan itu.
- Perikatan Nasional (PN) sentiasa terbuka untuk menerima tokoh ternama dalam kalangan bekas pemimpin UMNO selagi mereka relevan dengan politik semasa serta selari perjuangan dibawa gabungan itu.
- Pihaknya percaya bekas pemimpin UMNO mempunyai pengaruh mereka yang tersendiri, lantas mampu menyumbang kemenangan kepada PN dalam pilihan raya negeri (PRN) sekiranya menyertai gabungan itu. – Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- “Depa (mereka) mai (datang) intai kita (PN) dan kita terbuka…kira terima siapa saja yang relevan dan selari dengan perjuangan kita.
- “Tak payah berunding apa dah, datang saja dan kami akan terima dengan hati terbuka,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman di sini, semalam.
ALOR SETAR: Perikatan Nasional (PN) sentiasa terbuka untuk menerima tokoh ternama dalam kalangan bekas pemimpin UMNO selagi mereka relevan dengan politik semasa serta selari perjuangan dibawa gabungan itu.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihaknya percaya bekas pemimpin UMNO mempunyai pengaruh mereka yang tersendiri, lantas mampu menyumbang kemenangan kepada PN dalam pilihan raya negeri (PRN) sekiranya menyertai gabungan itu.
“Depa (mereka) mai (datang) intai kita (PN) dan kita terbuka…kira terima siapa saja yang relevan dan selari dengan perjuangan kita.
“Tak payah berunding apa dah, datang saja dan kami akan terima dengan hati terbuka,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman di sini, semalam.
Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah berkata demikian ketika mengulas desas-desus mengenai beberapa bekas pemimpin UMNO yang dikenakan tindakan oleh parti itu untuk bekerjasama dengan PN dalam PRN akan datang.
Antaranya termasuk bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; bekas Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar serta bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Sebelum ini, Timbalan Ketua (Strategi) Ibu Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) dari Universiti Sunway, Prof Wong Chin Huat, menyifatkan penyertaan individu berkenaan dijangka meningkatkan sokongan pengundi muda dan golongan atas pagar kepada PN menjelang PRN di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Malah penyertaan mereka turut dilihat mampu menarik sokongan sebahagian penyokong BN, terutama kumpulan anti kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Najib Razak.
Muhammad Sanusi dalam pada itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada tokoh besar dalam negara atas kesudian menyumbang kepada perkembangan politik PN bagi menghadapi gerombolan Pakatan Harapan (PH) dan BN.
“Itu (kehadiran mereka) bukan pancing, tetapi mereka yang lompat ke darat. Apabila batu jatuh dalam air, semua-semua ini akan melompat keluar, ibarat macam itulah.
“Saya berpandangan, dalam politik negara sekiranya sudah tiada jalan lain selain mengikut kita (PN), sebab semuanya berdepan jalan mati.
“Yang sedang hidup hanya PN, silalah datang Khairy Jamaluddin, Annuar Musa dan Noh Omar, anda amat dialu-alukan,” katanya.
Muhammad Sanusi juga percaya kehadiran ketiga-tiga pemimpin ini dapat mengalihkan sokongan sebahagian ahli UMNO untuk mengundi PN.
“Mereka boleh bawa pengundi UMNO kepada PN, memang itu kelebihan mereka. Contohnya, Datuk Seri Shahidan Kassim menyebabkan sebahagian besar orang Perlis ikut perjuangan beliau.
“Noh pula sudah pun umumkan mahu jadikan Tanjung Karang sebagai kubu kuat PN,
Annuar pula ada kelebihan di Ketereh dan beberapa tempat lain. Kita akui ada kelebihan masing-masing, datanglah dengan suci hati dan ikhlas. Cabut akar umbi sekali mai, jangan mai perdu (mereka) saja,” katanya.
Sumber: Berita Harian