Terkini
Jangan pergi ‘along’, MAIWP boleh bantu!
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menawarkan 30 skim bantuan bagi membantu golongan memerlukan, termasuk individu terjebak dengan kumpulan peminjam wang ‘along’.
- MAIWP tawarkan 30 skim bantuan bagi membantu golongan memerlukan termasuk individu yang terjebak dengan kumpulan peminjam wang ‘along’.
- Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya meminta kelompok memerlukan itu datang memohon bantuan dari agensi itu dan bukannya membuat pinjaman kepada along.
- Pinjaman along hanya akan menyebabkan kelompok itu melalui fasa menyusahkan di mana ‘kaki terasa terikat’ dan boleh mengancam nyawa.
- Bantuan dihulurkan hanya kepada mereka yang berhutang kerana terdesak dan untuk meneruskan kehidupan, bukan kelompok meminjam along untuk hidup mewah.
- Mengulas dakwaan prosedur memohon bantuan di MAIWP dikatakan sukar dan menyusahkan, Nizam menyifatkan itu hanya persepsi masyarakat.
- “Jadi bila dia tak dapat membuktikan itu (ada pinjam along sebab terdesak) dia menganggap zakat menyusahkan sedangkan kami terikat dengan prosedur kita ada SOP akan diaudit oleh audit dalam dan audit negara,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini hari ini.
KUALA LUMPUR — Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menawarkan 30 skim bantuan bagi membantu golongan memerlukan, termasuk individu terjebak dengan kumpulan peminjam wang ‘along’.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya meminta kelompok memerlukan itu datang memohon bantuan daripada agensi itu dan bukannya membuat pinjaman kepada along.
Beliau berkata pinjaman along hanya akan menyebabkan kelompok itu melalui fasa menyusahkan di mana ‘kaki terasa terikat’ dan boleh mengancam nyawa.
Bagaimanapun, katanya, bantuan dihulurkan hanya kepada mereka yang berhutang kerana terdesak dan untuk meneruskan kehidupan, bukan kelompok meminjam along untuk hidup mewah.
“Kita ada bantu juga beberapa peminjam along ini semasa saya menjadi pengurus Baitulmal apabila dia boleh buktikan dia terpaksa pinjam along sebab desakan hidup dan terima ugutan bunuh kalau tidak bayar hutang tersebut.
“Kami terus bayar, kami terus tolong bantu ringankan beban dia itu untuk bayarkan hutang along itu supaya dia boleh keluar dari dibelenggu hutang pihak along,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas saranan aktivis masyarakat, Yusuf Azmi yang meminta pihak zakat dan Baitulmal di Malaysia membantu menangani masalah umat Islam yang terjebak dengan ‘along’.
Isnin lalu, berlaku insiden membabitkan lima kenderaan penduduk di Taman Sri Keramat Tengah dirosakkan dan menerima surat ugutan daripada individu disyaki along.
Insiden itu didakwa berlaku berikutan salah seorang di kejiranan tersebut gagal membayar hutang kepada kumpulan terbabit.
Mengulas dakwaan prosedur memohon bantuan di MAIWP yang dikatakan sukar dan menyusahkan, Nizam menyifatkan itu hanya persepsi masyarakat.
Katanya, sebagai pemegang amanah wang zakat, MAIWP sebetulnya memerlukan sedikit ‘birokrasi’ supaya mereka dapat memastikan duit bantuan atau zakat dihulurkan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.
Situasi itu juga menyebabkan MAIWP menjadi lebih berhati-hati sebelum meluluskan permohonan dibuat.
“Kalau dia ada buat pinjaman along, kita nak buktilah dia memang ada pinjaman itu. Berapa dia buat? Tapi itu pun dia tak boleh beri kepada kita.
“Jadi bagaimana kita nak buktikan bahawa dia itu memang sedang meminjam along, dihimpit dan didera oleh along. Apa buktinya?
“Jadi bila dia tak dapat membuktikan itu dia menganggap bahawa zakat menyusahkan sedangkan kami terikat dengan prosedur kita ada SOP akan diaudit oleh audit dalam dan audit negara,” katanya. — The Merdeka Times