Connect with us

Terkini

Simpan bukti aduan peniaga cekik darah

Peniaga kedai makan dan restoran di negeri ini yang beroperasi ketika waktu puncak sambutan Aidilfitri diberi amaran supaya tidak sewenangnya menaikkan harga.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Simpan bukti aduan peniaga cekik darah
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Peniaga kedai makan dan restoran di negeri ini yang beroperasi ketika waktu puncak sambutan Aidilfitri diberi amaran supaya tidak sewenangnya menaikkan harga.
  • Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemeriksaan dan pemantauan dijalankan setiap hari termasuk pada hari cuti umum.
  • Pengguna boleh membuat aduan kepada pihaknya menggunakan pelbagai kaedah supaya peniaga terbabit diambil tindakan sewajarnya. 
  • “Tapi yang penting kalau ada barang bukti contohnya resit pembelian atau pembayaran itu dibuat. Nanti kita membuat siasatan dan mengambil tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di program ‘Walkabout’ Pemantauan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2023 peringkat Perak di Pasaraya Mydin Meru Raya di sini hari ini.

Ipoh: Peniaga kedai makan dan restoran di negeri ini yang beroperasi ketika waktu puncak sambutan Aidilfitri diberi amaran supaya tidak sewenangnya menaikkan harga.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemeriksaan dan pemantauan dijalankan setiap hari termasuk pada hari cuti umum.

Katanya, pengguna boleh membuat aduan kepada pihaknya menggunakan pelbagai kaedah supaya peniaga terbabit diambil tindakan sewajarnya.

Menurutnya, pengguna yang menyalurkan aduan berkaitan isu terbabit perlu menyimpan bahan bukti pembelian seperti resit di premis yang dimaksudkan.

“Setiap hari termasuk hari cuti, kita akan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan. Jadi kita minta kepada pengadu, jika ada perkara-perkara yang dirasakan melanggar peraturan, boleh laporkan kepada kepada KPDN melalui pelbagai cara.

“Tapi yang penting kalau ada barang bukti contohnya resit pembelian atau pembayaran itu dibuat. Nanti kita membuat siasatan dan mengambil tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di program ‘Walkabout’ Pemantauan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2023 peringkat Perak di Pasaraya Mydin Meru Raya di sini hari ini.

Menurut Kamalludin lagi, perbuatan sedemikian boleh disiasat mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Mengenai SHMMP di Perak yang dilaksanakan sejak 15 April lalu hingga 30 April ini, sebanyak 539 premis sudah diperiksa dengan terdapat hanya satu tindakan kes dihasilkan membabitkan nilai kompaun RM300.

Katanya, kompaun yang dikeluarkan itu adalah bagi kesalahan tidak menggunakan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal membabitkan sebuah pasar raya di Teluk Intan.

“Penekanan diberikan supaya peniaga mempamerkan harga barangan; menggunakan label harga warna merah jambu ke atas 27 barangan harga terkawal di Perak; jangan menjualnya melebihi harga maksimum ditetapkan; dan menggunakan alat timbang sukat yang sudah ditentu sahkan,” katanya.

Katanya lagi, hasil pemeriksaan dan pemantauan harian yang dijalankan turut mendapati bekalan barangan keperluan musim perayaan di Perak adalah stabil, mencukupi, serta mudah diperolehi oleh pengguna.

Sumber: Harian Metro

Author