Terkini
“Ketepikan dulu Menu Rahmah di sekolah, buat menu Fadhlina,” – Zaid Ibrahim
Kementerian Pendidikan disarankan menyediakan menu makanan berzat dan lazat untuk murid supaya dapat melahirkan insan yang sihat serta minat dalam pelajaran.
- Kementerian Pendidikan disarankan menyediakan menu makanan berzat dan lazat untuk murid supaya dapat melahirkan insan yang sihat serta minat dalam pelajaran.
- Menurut bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menerusi hantaran facebooknya semalam, menyatakan bahawa beliau sedih melihat menu makanan di sekolah hari ini, yang disifatkan sebagai terkebelakang berbanding sekolah di negara luar.
- “Ini yang kerajaan sekarang harus berikan perhatian. Tumpu kepada perkara yang mencengkam masalah rakyat seperti makanan di sekolah. Pastikan semua sekolah sediakan menu makanan yang sihat, lazat dan berkhasiat,” katanya.
- “Saya cadangkan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menu Rahmah ini kita ketepikan dulu. Kita buat Menu Fadhlina atau menu Menteri Pendidikan yang setaraf dengan Jepun dan Perancis,” ujar beliau.
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan disarankan menyediakan menu makanan berzat dan lazat untuk murid supaya dapat melahirkan insan yang sihat serta minat dalam pelajaran.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, beliau sedih melihat menu makanan di sekolah hari ini, yang disifatkan sebagai terkebelakang berbanding sekolah di negara luar.
Katanya, ramai ibu bapa merungut perkara itu kepadanya, seolah-olah kerajaan tidak mengambil berat soal kualiti makanan di sekolah.
“Sekarang ini kerajaan sibuk dengan Menu Rahmah, makanan murah untuk orang ramai, tetapi kita lupa dengan kualiti makanan di sekolah yang dinikmati setiap hari anak-anak kita.
“Pada saya, yang perlu dilaksanakan ialah makanan di sekolah, bukan makanan untuk orang ramai. Anak kita bawa duit sedikit untuk beli makanan, tetapi bagaimana kualitinya dengan harga yang sangat murah itu?
“Betullah kualitinya berbeza dari sekolah ke sekolah dan tentunya juga berbeza makanan berharga murah dengan harga yang sedikit mahal,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, semalam.
Menurut Zaid, anak-anak sekolah memerlukan makanan lazat yang ada protein, susu, telur, sayur dan ikan sebagaimana disediakan kerajaan negara luar seperti Perancis, Jepun dan Finland.
Di negara berkenaan, kerajaannya memberi keutamaan kepada menu makanan yang dijual atau disediakan di kantin.
“Mereka tidak serah kepada kantin atau guru besar untuk tentukan menu. Mereka sendiri yang sedia menu sebagai tanda mengambil berat isu makanan di sekolah.
“Di Perancis, kerajaannya paksa semua sekolah sediakan menu yang ditetapkan. Makanan mesti lazat, berzat dan berkualiti.
“Begitu juga di Jepun. Mereka memastikan setiap sekolah sediakan makanan yang bagus untuk murid,” katanya.
Namun, ujar beliau, tidak semua makanan itu diberikan secara percuma, ada juga ibu bapa berkemampuan kena bayar, tapi bagi mereka yang tidak mampu, kerajaan sediakan subsidi.
Di Indonesia pun, katanya, kerajaan melancarkan program sekolah pintar yang menitikberatkan menu makanan untuk menjaga kesihatan murid.
Bagaimanapun, di Malaysia agak berbeza, kerajaan memberi tumpuan makanan di sekolah secara komersial.
“Saya tidak tahulah untung ruginya menu murah, tetapi pastikan makanannya berkualiti. Kalau komersial itu berdaya maju, biarlah, mereka boleh teruskan.
“Ini yang kerajaan sekarang harus berikan perhatian. Tumpu kepada perkara yang mencengkam masalah rakyat seperti makanan di sekolah. Pastikan semua sekolah sediakan menu makanan yang sihat, lazat dan berkhasiat.
“Saya cadangkan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menu Rahmah ini kita ketepikan dulu. Kita buat Menu Fadhlina atau menu Menteri Pendidikan yang setaraf dengan Jepun dan Perancis,” ujar beliau.
Zaid berharap, Menteri dapat melakukan reformasi yang berbeza dengan kerajaan sebelumnya dalam perkara melibatkan menu makanan di sekolah.
Namun, beliau tidak mahu jawatankuasa sebelum ini dilibatkan dalam reform berkenaan, sebaliknya membuat pelantikan jawatankuasa baharu yang turut melibatkan pihak swasta.
Sumber: Malaysia Gazette