Terkini
Kes ‘Jom Ziarah Gereja’, PDRM digesa siasat secara tuntas
Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa melakukan siasatan secara tuntas selain menghebahkan hasil siasatan terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkaitan program `Jom Ziarah Gereja’ secara terbuka.

- Pengerusi Protem Perhubungan Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin berkata, walaupun sudah 33 hari berlalu selepas aduan dibuat, siasatan kes itu didakwanya masih lagi belum ada perkembangan.
- “Saya sentiasa beranggapan baik kepada PDRM tetapi saya juga ada keyakinan PDRM sedang ditekan kuasa politik atasan untuk memanipulasi kes ini demi menyelamatkan Hannah Yeoh.
- “Bagi saya Hannah Yeoh ini musuh keharmonian dan kesejahteraan. Beliau bijak menggunakan kuasanya malah dia juga cuba melakukan fitnah seolah-olah dia mangsa dan saya diperlihatkan sebagai ekstremis Islam dan Melayu yang anti kepada agama lain,” katanya sebelum menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, semalam.
- “Saya merayu PDRM untuk menjadi berani dan mengabaikan tekanan daripada pihak atasan dan bertindak bagi mempertahankan isu akidah dan kontrak sosial negara ini,” katanya.
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa melakukan siasatan secara tuntas selain menghebahkan hasil siasatan terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkaitan program `Jom Ziarah Gereja’ secara terbuka.
Pengerusi Protem Perhubungan Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin berkata, walaupun sudah 33 hari berlalu selepas aduan dibuat, siasatan kes itu didakwanya masih lagi belum ada perkembangan.
“Saya sentiasa beranggapan baik kepada PDRM tetapi saya juga ada keyakinan PDRM sedang ditekan kuasa politik atasan untuk memanipulasi kes ini demi menyelamatkan Hannah Yeoh.
“Bagi saya Hannah Yeoh ini musuh keharmonian dan kesejahteraan. Beliau bijak menggunakan kuasanya malah dia juga cuba melakukan fitnah seolah-olah dia mangsa dan saya diperlihatkan sebagai ekstremis Islam dan Melayu yang anti kepada agama lain,” katanya sebelum menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, semalam.
Pada 14 Mac lalu, Hannah ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 kementeriannya di Dewan Rakyat menjelaskan, program ‘Jom Ziarah Gereja’, tidak membabitkan individu beragama Islam.
Beliau dilaporkan berkata, program itu juga bukan bertujuan memberi gambaran semua agama yang dianuti rakyat Malaysia adalah sama rata.
Program itu adalah satu inisiatif bawah ‘Projek Artikel 11’ diterajui Impact Malaysia, iaitu NGO yang bernaung di bawah KBS.
Inisiatif program itu dikatakan bertujuan membuka minda belia Malaysia mengenai budaya dan kepercayaan pelbagai bangsa melalui lawatan serta aktiviti sukarelawan di Lembah Klang.
Program yang dijadualkan berlangsung di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes, Klang itu bagaimanapun dibatalkan oleh pihak penganjur.
Mengulas lanjut, Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Chegu Bard berkata jika PDRM mendiamkan perkara ini, kegiatan seperti itu akan senyap seketika dan akan muncul kembali pada masa akan datang dengan lebih giat dan tersusun.
“Saya merayu PDRM untuk menjadi berani dan mengabaikan tekanan daripada pihak atasan dan bertindak bagi mempertahankan isu akidah dan kontrak sosial negara ini,” katanya.
Badrul Hisham berkata sekiranya ada penganut Kristian ataupun Buddha diancam kerana mengamalkan agama mereka serta mengikut lunas perundangan negara serta memahami kontrak sosial negara, maka beliau akan mempertahankan individu berkenaan.
“Jika ada rumah ibadah bukan Islam diancam hanya kerana ia rumah ibadah saya berjanji akan pertahankannya. Itu adalah kewajipan diajarkan oleh Islam, tetapi dalam perihal kali ini jelas mereka sedang mengancam akidah serta masa depan bangsa dengan tidak menghormati kontrak sosial dan melanggar perlembagaan.
“Mereka cuba menyamakan ziarah majlis perkahwinan dan kematian dengan program merekrut remaja bukan Kristian ke gereja untuk mendengar dakyah Kristian. Ianya tidak sama dan jauh berbeza,” katanya.
Sumber: Berita Harian
