Antarabangsa
Ibu bapa bimbang transgender dibenar sertai perlawanan kriket gadis 12 tahun
Sekumpulan jurulatih dan ibu bapa menzahirkan kebimbangan selepas seorang transgender pertengahan umur dibenarkan bertanding dalam perlawanan kriket menentang gadis seawal usia 12 tahun.

- Pemain transgender pertengahan umur itu mendatangkan kecederaan kepada pengadil dan beberapa atlet lain sehingga mangsa-mangsa tidak dapat bertanding selama beberapa bulan.
- Lembaga Kriket England dan Wales (ECB) akan menyemak dasar sedia ada susulan insiden itu agar kelonggaran diberikan kepada atlet transgender diperketatkan.
- Usaha itu mendapat pujian Pengarah Sukan untuk Fair Play for Women, Fiona McAnena.
ENGLAND – Sekumpulan jurulatih dan ibu bapa menzahirkan kebimbangan selepas seorang transgender pertengahan umur dibenarkan bertanding dalam perlawanan kriket menentang gadis seawal usia 12 tahun.
Disebabkan mereka risau pemain terbabit mempunyai kelebihan berbanding atlet-atlet perempuan lain, kebimbangan itu disalurkan menerusi beberapa surat dihantar kepada Lembaga Kriket England dan Wales (ECB).
Seorang jurulatih berkata pemain itu memukul bola lebih kuat berbanding pemain lain yang pernah dilihatnya dalam liga kriket sehingga mendatangkan kecederaan secara tidak sengaja.
Difahamkan mangsa adalah pengadil dan beberapa pemain sehingga mereka tidak dapat bermain kriket selama berbulan-bulan selepas kemalangan itu.
Salah seorang ibu bapa menyifatkan insiden itu sebagai sesuatu yang berbahaya dan tidak boleh diterima, manakala seorang lagi ibu bapa berkata perlawanan menentang pemain transgender itu akan menyebabkan atlet-atlet perempuan lain berputus asa.
Menurutnya, ini kerana pemain-pemain berasa sangat takut untuk menghadapi perlawanan kriket kerana kekuatan yang ada pada atlet transgender itu.
Jurucakap ECB berkata dasar sukan kriket membenarkan transgender bertanding dalam pertandingan, liga atau perlawanan wanita sahaja dan harus diterima di bawah peraturan semasa.
Bagaimanapun berdasarkan panduan Kumpulan Kesamarataan Majlis Sukan United Kingdom (SCEG), ECB akan menyemak semula dasar sedia ada susulan laporan mengenai insiden lalu dan usaha itu mendapat pujian Pengarah Sukan untuk Fair Play for Women, Fiona McAnena.
Sumber: Fox News
