Antarabangsa
Selepas Sweden, kini Netherlands pula bakar al-Quran
Memetik laporan OpIndia, Edwin Wagensveld dilihat mengoyakkan muka surat naskah Al-Quran menerusi satu video yang tular di internet.
- Pemimpin kumpulan sayap kanan Belanda, Patriotik Eropah Menentang Islamisasi Barat (PEGIDA), Edwin Wagensveld memusnahkan dan membakar al-Quran pada Isnin.
- Tindakannya dirakam menerusi satu video yang tular di internet dan mendakwa mendapat kebenaran untuk berbuat demikian.
- Perkara itu berlaku beberapa hari selepas kejadian al-Quran dibakar ahli politik anti-Islam di depan Kedutaan Turkiye di Sweden pada 21 Januari lalu.
Pemimpin kumpulan sayap kanan Belanda, Patriotik Eropah Menentang Islamisasi Barat (PEGIDA) memusnahkan naskhah al-Quran sebelum membakarnya pada Isnin, beberapa hari selepas kejadian al-Quran dibakar di Sweden ketika bantahan terhadap Turki pada 21 Januari lalu.
Memetik laporan OpIndia, Edwin Wagensveld dilihat mengoyakkan muka surat naskah Al-Quran menerusi satu video yang tular di internet.
The leader of the Dutch anti-Islamic organization #PEGIDA, Edwin Wagensveld, has torn out pages of the #Quran right in front of the police in The Hague.
Another brave act, testing the limits of free speech against a hostile religion. pic.twitter.com/YdFNalDXaf
— TVisCOOL! 📺 www.tviscool.com (@TVisCOOLUK) January 23, 2023
Dia turut mendakwa mendapat kebenaran dari pihak berkuasa bandar itu untuk melakukan pemusnahan al-Quran.
“Tidak lama lagi, akan ada pendaftaran untuk tindakan serupa di beberapa bandar, masa untuk menjawab kebiadapan Islam dengan kebiadapan,” katanya sambil mengoyakkan kitab suci itu.
Selepas itu, Edwin mencampakkan helaian itu ke tanah dan berkata “Selepas makan dan minum bersama kumpulan kami, tiba masanya untuk membakar saki-baki al-Quran.”
Video itu kemudian menunjukkan al-Quran yang telah musnah itu dibakar di dalam kuali di lantai.
“Orang yang mengenali dan mengikuti kami tahu bahawa kami tidak pernah berputus asa, kami tidak membiarkan diri kami gentar dengan keganasan dan ancaman bunuh,” katanya.
Edwin turut membuat sebuah hantaran di Instagramnya, menunjukkan bukti dia mendapat kebenaran bertindak sedemikian.
Hantaran itu merupakan tangkap layar dokumen yang ditandatangani Datuk Bandar The Hague, Jan van Zanen.
Menurut dokumen itu, dia dibenarkan menggunakan ‘objek’ dalam bantahannya tetapi tidak dibenarkan membakarnya atas faktor keselamatan awam.
“Hak untuk membantah dan hak untuk kebebasan bersuara adalah hak dan kebebasan manusia yang dilindungi oleh perlembagaan dan perjanjian. Pada dasarnya objek terbakar tidak dibenarkan, kerana ini boleh menyebabkan bahaya,” kata dokumen itu.
Turkiye mengecam insiden itu. “Kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan keji seorang anti-Islam di The Hague, Belanda, pada 22 Januari, menyasarkan kitab suci kami, al-Quran. Tindakan keji ini, yang menghina nilai-nilai suci kami dan termasuk jenayah kebencian, kali ini di Belanda selepas Sweden, adalah satu pengisytiharan yang jelas bahawa Islamofobia, diskriminasi, dan xenofobia tidak mengenal sempadan di Eropah,” kata kenyataan Turkiye.
Awal hari ini, bantahan besar-besaran tercetus di beberapa negara termasuk Yaman, Iraq, Jordan, dan Turkiye susulan kejadian Al-Quran dibakar semasa bantahan terhadap Turki di luar Kedutaan Turki di Stockholm, Sweden.
Sumber:OpIndia