Terkini
Selangor sasar pengeluaran 14.8 juta ayam pedaging setahun menjelang 2025
Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dijangka meningkatkan pengeluaran ayam pedaging daripada tiga juta ekor setahun kepada 14.8 juta ekor menjelang 2025 bagi membantu menstabilkan harga dan bekalan ayam di Selangor.

- PKPS dijangka meningkatkan pengeluaran ayam pedaging daripada tiga juta ekor setahun kepada 14.8 juta ekor menjelang 2025 untuk membantu menstabilkan harga dan bekalan ayam di Selangor.
- Selangor beriltizam untuk menjadi sebuah negeri mampan diri, atau ‘self sustainable’ daripada segi bekalan makanan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada import.
- “PKPS sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan dalam hal sekuriti makanan negeri merencana projek berimpak tinggi bagi memastikan bekalan makanan asas rakyat Selangor terus mampan untuk tempoh akan datang” – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Khairil Mohamad Razi.
PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dijangka meningkatkan pengeluaran ayam pedaging daripada tiga juta ekor setahun kepada 14.8 juta ekor menjelang 2025 bagi membantu menstabilkan harga dan bekalan ayam di Selangor.
Usaha itu dizahirkan menerusi kerjasama dengan konglomerat makanan terkemuka dunia dari Thailand, Charoen Pokphand Group (CP) bagi merangka pembangunan ladang ayam ‘breeder’, ladang penetasan dan ladang pengeluaran telur di Selangor dengan kos peringkat pertama sebanyak RM50 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Khairil Mohamad Razi, berkata menerusi kerjasama ini PKPS akan mengenal pasti lokasi bersesuaian dan melengkapkan prosedur pembangunan infrastruktur berkaitan manakala CP sebagai rakan strategik sejak 2010 akan membawa kepakaran teknikal.
Katanya, pengalaman dan kekuatan CP sebagai antara pengeluar makanan terbesar dunia dengan operasi dan pelaburan di lebih 40 negara akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pengurusan PKPS dalam melaksanakan Program Intervensi Harga Makanan Ehsan (PIHE).
“Selangor beriltizam untuk menjadi sebuah negeri mampan diri, atau ‘self sustainable’ daripada segi bekalan makanan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada import.
“Justeru, PKPS sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan dalam hal sekuriti makanan negeri merencana projek berimpak tinggi bagi memastikan bekalan makanan asas rakyat Selangor terus mampan untuk tempoh akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, ketika ini PKPS mengoperasikan ladang ayam pedaging di Kuala Selangor dan Sabak Bernam dengan kapasiti pengeluaran sebanyak tiga juta ekor setahun.
Dokumen kerjasama ditandatangani oleh Khairil selaku wakil PKPS manakala CP diwakili oleh Pengerusi Serantau Kumpulan CP, Sompop Mongkolpitaksuk.
Khairil berkata, projek usahasama itu dijangka mengurangkan kebergantungan industri ayam tempatan kepada import seterusnya membantu menstabilkan bekalan dan harga ayam dalam pasaran negeri Selangor.
“Dokumen ini juga merangkumi langkah penyelesaian jangka pendek bagi bekalan ayam dan telur segar menerusi kaedah import terus daripada ladang CP serta perkongsian ilmu dan latihan antara kedua-dua organisasi.
“CP selaku pemilik pasaraya terkemuka Lotus’s juga akan meneroka potensi kerjasama bagi pemasaran dan penjualan produk Ehsan,” katanya.
Sumber: Free Malaysia Today
