Terkini
Malaysia tidak tolak ansur perbuatan bakar buku atau teks agama – PM
Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan perbuatan membakar buku atau teks agama termasuk al-Quran, Injil dan teks agama Hindu kerana rakyat Malaysia menghargai kemanusiaan dan menghormati hak setiap individu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Malaysia tidak bertolak ansur dengan perbuatan membakar buku atau teks agama termasuk al-Quran, Injil dan teks agama Hindu kerana rakyat Malaysia menghargai kemanusiaan dan menghormati hak setiap individu. – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- “Apa yang anda ingin buktikan? Bahawa anda adalah sekular, menentang Islam atau menentang agama namun apa yang sebenarnya digambarkan adalah kemerosotan nilai dan kemanusiaan nilai.”
- “Tiada sebab untuk cetuskan sentimen ummah tapi kita cuba mendidik orang ramai. Malah dalam masyarakat kita, terdapat kecenderungan untuk hasut pembenci kaum… Kita perlu menanganinya. Inilah cabaran dalaman kita hadapi,” katanya.
KUALA LUMPUR – Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan perbuatan membakar buku atau teks agama termasuk al-Quran, Injil dan teks agama Hindu kerana rakyat Malaysia menghargai kemanusiaan dan menghormati hak setiap individu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ahli politik pelampau kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan yang membakar naskhah al-Quran di Sweden, Anwar berkata, terdapat begitu banyak salah faham dan prasangka terhadap agama di seluruh dunia termasuk Islam.
“Apa yang anda ingin buktikan? Bahawa anda adalah sekular, menentang Islam atau menentang agama namun apa yang sebenarnya digambarkan adalah kemerosotan nilai dan kemanusiaan nilai,” kata beliau ketika melancarkan buku ‘Knowledge, Tradition and Civilisation: Essays In Honour of Prof Osman Bakar’ di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Peradaban Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM) di sini hari ini.
Oleh itu, Anwar berkata, beliau telah meminta Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memanggil Duta Sweden dan menyampaikan perasaan jijik Malaysia terhadap toleransi perbuatan membakar al-Quran di negara mereka.
Paludan, ketua parti pelampau kanan Denmark Stram Kurs, dibenarkan membakar al-Quran pada Sabtu lepas di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm dan insiden itu mencetuskan kemarahan dunia Islam.
Perdana Menteri berkata, Malaysia menyokong Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan atas kenyataan agresifnya terhadap perbuatan seorang ahli politik anti-Islam di Sweden.
“Tiada sebab untuk mencetuskan sentimen ummah tetapi kita cuba mendidik orang ramai. Malah dalam masyarakat kita, terdapat kecenderungan untuk menghasut pembenci kaum… Kita perlu menanganinya. Inilah cabaran dalaman yang kita hadapi,” kata beliau.
Anwar yang menganggap perbuatan membakar al-Quran sebagai tindakan tidak bertamadun, turut merayu orang ramai supaya meneruskan bantahan dan meluahkan rasa jijik sambil menerimanya sebagai cabaran untuk menghormati komitmen bagi memastikan mesej al-Quran berterusan.
Sementara itu, mengulas mengenai cadangan supaya kurikulum atau mata pelajaran peradaban Islam dikaji semula, Anwar berkata, perkara itu perlu diberi perhatian agar cabang ilmu itu benar-benar memberi kefahaman mendalam dengan mesej Islam khususnya soal nilai, akhlak, kemanusiaan dan universal.
Ditanya mengenai tindakan sesetengah pihak menggunakan agama untuk kepentingan mereka, beliau berkata, langkah pemerkasaan kurikulum mata pelajaran itu diharap dapat menerapkan tradisi pembelajaran secara kritis dan semua isu berbangkit perlu dirujuk kepada hadith dan al-Quran.
“Ini semua orang dalam tazkirah buat fatwa masing-masing. Apabila kita tegur, dia kata kita anti-ulama, ini tidak benar. Kalau guru agama itu… jika buat kenyataan yang salah itu mesti ditegur.
“Kalau tidak (hanya) oleh kerana dia tokoh parti dan ulama, kenyataan dia semua benar. Islam tidak pernah mengajar kita begitu itu sebabnya pendidikan Islam itu harus memberi kefahaman yang lebih mendalam… ,” kata beliau.
Sumber: Sinar Harian