Terkini
Kerajaan digesa utamakan projek Empangan Lebir, atasi masalah banjir Kelantan
Projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri yang dijangka siap pada tahun 2026, bukan sepenuhnya dibina untuk masalah mitigasi banjir di Kelantan.
- Projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri yang dijangka siap pada tahun 2026, bukan sepenuhnya dibina untuk masalah mitigasi banjir.
- Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata projek itu berperanan menyediakan tenaga baharu sebanyak 30 peratus kepada kerajaan Malaysia.
- Empangan Nenggiri ini lebih kepada elektrik sementara Lebir atasi masalah sungai daripada Sungai Lebir ke Sungai Galas sekali gus menyelesaikan masalah aliran dan lebihan air daripada hulu ke hilir Kelantan.
KUALA LUMPUR – Projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri yang dijangka siap pada tahun 2026, bukan sepenuhnya dibina untuk masalah mitigasi banjir di Kelantan.
Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata projek itu berperanan menyediakan tenaga baharu sebanyak 30 peratus kepada kerajaan Malaysia.
“Untuk masalah banjir bagi negeri sahaja, ia hanya menjadi suatu takungan utama seluas 53.84 kilometer persegi dan Kolam Pengatur Aliran seluas 0.97 kilometer persegi sahaja.
“Jadi, ia memang tak cukup sebab ia bukan di design sepenuhnya untuk masalah mitigasi banjir.
“Tetapi yang diperlukan sebenarnya adalah Empangan Lebir sebab itu sejak tahun 1989 kedua-dua empangan ini telah pun di design kan untuk Empangan Lebir dan Empangan Nenggiri,” katanya ketika menjadi panelis Program Di Sebalik Isu Bersama FY yang dikendalikan Finaz Yunus, pada Jumaat.
Program itu yang membincangkan topik ‘Kelantan Banjir Setiap Tahun, Apa Kata Pas?’ turut menampilkan Felo Kanan Pusat Pelestarian Alam Sekitar dan Sekuriti Air, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Profesor Dr Zulkifli Yusop.
Mengulas lanjut, Mumtaz berkata, Empangan Nenggiri ini lebih kepada penjanaan sumber elektrik sementara Lebir untuk mengatasi masalah sungai daripada Sungai Lebir ke Sungai Galas.
Projek tersebut akan menyelesaikan masalah aliran dan lebihan air daripada hulu ke hilir Kelantan.
“Jadi sekarang ini dibawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kita sangat mengharapkan kerajaan boleh mengambil iktibar mengambil apa yang berlaku dengan memberikan keutamaan kepada permohonan Kelantan untuk mendapatkan Empangan Lebir bagi masalah air dan mitigasi banjir di Kelantan.
“Jadi saya harapkan semoga rancangan kita malam ini membuka mata dan hati kepada semua pihak untuk memastikan Empangan Lebir dapat disegerakan, diterima diluluskan dan dibajetkan dalam peruntukan RMK Malaysia ini,” kata beliau yang juga merupakan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kerajaan Negeri Kelantan.
Sebelum ini, Bekas Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengatakan bahawa projek Projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri bernilai RM5 bilion dijangka mula menjana elektrik pada pertengahan 2027 serta bakal meningkatkan kapasiti elektrik Tenaga Boleh Baharu (TBB) di Semenanjung Malaysia.
Empangan Nenggiri bakal menjana 300 megawatt (MW) telah diluluskan pelaksanaannya secara dasar oleh Kerajaan Persekutuan pada 2012 dan diluluskan kerajaan Kelantan pada Mac 2014.
Perjanjian pelaksanaan projek ini dimeterai antara Kerajaan Negeri Kelantan dan TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco), anak syarikat milik penuh TNB, pada 17 Ogos 2021.
Pada Julai lalu juga, Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menjelaskan bahawa Projek pembinaan Empangan Sungai Lebir masih dalam peringkat kelulusan dasar dan mungkin akan memakan masa lama sebelum ia dimulakan.
Beliau berkata, bidang kuasa kerajaan negeri hanya memberikan kelulusan dasar dan seterusnya akan diangkat ke peringkat kerajaan pusat melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA). – The Merdeka Times
Antarabangsa
Israel bom depot senjata berdekatan pangkalan udara Russia di Syria
Letupan besar dan kebakaran berdekatan lapangan terbang dan pangkalan udara di Syria dilaporkan hari ini dengan Syriawatan News mendakwa sebuah gudang penyimpanan senjata diserang.
- Letupan besar dan kebakaran berdekatan lapangan terbang dan pangkalan udara di Syria dilaporkan hari ini dengan Syriawatan News mendakwa sebuah gudang penyimpanan senjata diserang.
- Insiden itu berlaku berhampiran Pangkalan Udara Khmeimim Russia dan Lapangan Terbang Bassel al-Assad di Jableh, Syria.
- Terdapat dakwaan bahawa pesawat Russia terlibat dalam usaha memintas peluru berpandu di kawasan itu.
- Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, Pertahanan udara Russia dan Syria memintas peluru berpandu selama sekurang-kurangnya 40 minit di Latakia, lapor Sky News Arabia.
Letupan besar dan kebakaran berdekatan lapangan terbang dan pangkalan udara di Syria dilaporkan hari ini dengan Syriawatan News mendakwa sebuah gudang penyimpanan senjata diserang.
Insiden itu berlaku berhampiran Pangkalan Udara Khmeimim Russia dan Lapangan Terbang Bassel al-Assad di Jableh, Syria.
Terdapat dakwaan bahawa pesawat Russia terlibat dalam usaha memintas peluru berpandu di kawasan itu.
Pertahanan udara Russia dan Syria dilaporkan memintas peluru berpandu selama sekurang-kurangnya 40 minit.
Terdapat dakwaan bahawa pertahanan udara memintas peluru berpandu di luar pantai Jableh, sebuah bandar di barat laut Syria, dengan anggaran 30 peluru berpandu dilancarkan.
Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, Pertahanan udara Russia dan Syria memintas peluru berpandu selama sekurang-kurangnya 40 minit di Latakia, lapor Sky News Arabia.
Laporan tempatan lain mencadangkan sebuah pesawat Iran di lapangan terbang mungkin turut menjadi sasaran.
Israel yang sering menjalankan operasi terhadap sasaran berkaitan dengan Iran di Syria belum memberikan sebarang komen mengenai insiden letupan itu. — The Merdeka Times