Terkini
Kanak-kanak cedera, Indonesia pantau snek ‘nafas naga’ dibeku dengan cecair nitrogen
Kerajaan Indonesia mengarahkan agensi kesihatan tempatan untuk meningkatkan pemantauan terhadap perusahaan makanan..
- Kerajaan Indonesia mengarahkan agensi kesihatan tempatan untuk meningkatkan pemantauan terhadap perusahaan makanan selepas beberapa kanak-kanak cedera di perut akibat memakan snek jalanan yang dibekukan dengan cecair nitrogen.
- Snek dikenali ciki ngebul yang sering dirujuk sebagai ‘nafas naga’ itu adalah sejenis gula-gula pelbagai warna yang disalut dengan kabus cecair nitrogen.
- Sejumlah 25 kanak-kanak dipercayai cedera selepas memakan snek terbabit dengan dua daripadanya kini mendapatkan rawatan di hospital seperti dilaporkan The Guardian, semalam.
- Pengambilan snek itu berlebihan boleh menyebabkan perut melecur, keradangan, selesema dan kerosakan organ dalaman, tindakan menyedut asap bagi tempoh lama mengakibatkan kesukaran bernafas yang teruk. – Pengarah Kesihatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan Indonesia, Anas Ma’ruf
JAKARTA: Kerajaan Indonesia mengarahkan agensi kesihatan tempatan untuk meningkatkan pemantauan terhadap perusahaan makanan selepas beberapa orang kanak-kanak cedera di perut akibat memakan snek jalanan yang dibekukan dengan cecair nitrogen.
Snek dikenali ciki ngebul yang sering dirujuk sebagai ‘nafas naga’ itu adalah sejenis gula-gula pelbagai warna yang disalut dengan kabus cecair nitrogen.
Kes terbabit mendapat perhatian media sosial baru-baru ini dengan kanak-kanak membuat rakaman ketika memakan snek dan kemudiannya menyedut kabus nitrogen cecair dari mulut mereka.
Sejumlah kira-kira 25 kanak-kanak dipercayai cedera selepas memakan snek terbabit dengan dua daripadanya kini mendapatkan rawatan di hospital seperti dilaporkan The Guardian, semalam.
Memetik laporan Jakarta Post, Pengarah Kesihatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan Indonesia, Anas Ma’ruf, berkata sekurang-kurangnya sembilan kanak-kanak disahkan cedera selepas makan snek itu.
“Berdasarkan data dikumpul (berkaitan isu perubatan selepas pengambilan snek terbabit) ia hanya berlaku pada 2022.
“Hasil semakan silang kami dari 2021, 2020 dan 2019 mendapati tiada laporan mengenainya,” katanya.
Kementerian Kesihatan Indonesia dalam kenyataan minggu lalu menegaskan, bahaya memakan snek berkenaan dengan pengambilan jangka panjang boleh membawa kepada masalah kesihatan serius.
Katanya, pengambilan snek cecair nitrogen secara berlebihan boleh menyebabkan perut melecur, keradangan, selesema dan kerosakan organ dalaman, selain tindakan menyedut asap bagi suatu tempoh yang lama mampu mengakibatkan kesukaran bernafas yang teruk.
Pada November lalu, pihak berkuasa Kabupaten Tasikmalaya di Jawa Barat melaporkan insiden yang dipercayai berkaitan dengan makanan ringan itu.
Pihak berkuasa kesihatan juga sedang menyiasat satu lagi kes yang mungkin berlaku di Jawa Timur.
Sumber: Berita Harian