Terkini
RUU larangan lompat parti diluluskan di Perak
Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan (Bahagian Pertama)(Pindaan) 2022 berkaitan larangan wakil rakyat melompat parti.

- DUN Perak meluluskan pindaan RUU Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan (Bahagian Pertama)(Pindaan) 2022 berkaitan larangan wakil rakyat melompat parti.
- Kelulusan itu dipersetujui sebulat suara oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir ketika proses pengundian RUU berkenaan.
- RUU ini betujuan bagi meminda beberapa perkara di bawah Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan bertujuan larangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak bertukar parti.
IPOH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan (Bahagian Pertama)(Pindaan) 2022 berkaitan larangan wakil rakyat melompat parti.
Kelulusan itu dipersetujui sebulat suara oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir ketika proses pengundian RUU berkenaan.
Sebelum itu, seramai enam ADUN iaitu empat orang daripada pihak kerajaan dan dua orang lagi daripada pembangkang diberi ruang berbahas mengenai RUU dimulai Azman Noh (Pengkalan Baharu-BN) diikuti Ketua Pembangkang, Razman Zakaria (Gunung Semanggol-PN) selama 30 minit setiap seorang.
Perbahasan diteruskan lagi dengan empat ADUN lain yang diberi masa selama 20 minit untuk berhujah iaitu Muhamad Arafat Varisai Mahamad (Hulu Kinta-PH), Khalil Yahaya (Kubu Gajah-PN), Jason Ng Thien Yeong (Astaka-PH) dan M Thulsi Thivani (Buntong-PH).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kemudiannya menggulung perbahasan bagi membolehkan undian dibuat seterusnya meluluskan undang-undang berkenaan.
Pada Rabu, usul berkenaan dikemukakan Saarani untuk bacaan kali pertama dan kedua yang kemudiannya disokong oleh Azman.
Saarani berkata, RUU ini betujuan untuk meminda beberapa perkara di bawah Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan bagi tujuan larangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak bertukar parti.
Katanya, ia dilaksanakan selaras dengan peruntukan Seksyen 7A, Jadual Kelapan, Perlembagaan Persekutuan yang telah dipinda melalui Akta Perlembagaan (Pindaan)(3) 2022.
Sumber: Sinar Harian
