Connect with us

Terkini

Penggunaan ubat PrEP lebih galakkan LGBT, daripada mencegah – PAS

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sewajarnya terlebih dahulu mengemukakan suatu rancangan dasar yang jelas bagi mencegah aktiviti songsang yang semakin membarah dalam masyarakat. 

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Penggunaan ubat PrEP lebih galakkan LGBT, daripada mencegah - PAS
Foto: Datuk Ahmad Yahya.
  • KKM wajar terlebih dahulu kemukakan rancangan yang jelas bagi cegah aktiviti songsang yang semakin membarah dalam masyarakat. 
  • “Apa yang menjadi pertikaian di sini adalah penggunaan ubat PrEP secara permintaan (on demand) dan mendedahkan kepada pelaku LGBT untuk menggunakannya bagi melakukan aktiviti songsang dengan ‘selamat’. Ia adalah sisi normalisasi LGBT dalam negara,” – Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahya
  • “Jika tiada fokus jelas, tindakan KKM boleh bawa implikasi berbeza. Lebih membimbangkan, budaya gay (MSM) lebih mendominasi jangkitan HIV ketika ini.”

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sewajarnya terlebih dahulu mengemukakan suatu rancangan dasar yang jelas bagi mencegah aktiviti songsang yang semakin membarah dalam masyarakat. 

Ini berikutan, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahya berkata, walau apapun alasan dikemukakan pihak KKM, kebarangkalian ubatan PrEP digunakan untuk tujuan yang salah tetap akan berlaku. 

Tambahnya, penggunaan ubat PrEP khususnya oleh golongan homoseksual aktif (Men Sex Men dalam konteks ini) terlihat lebih bersifat menggalakkan budaya songsang dalam masyarakat, sebaliknya tidak  mencegah.

“Rancangan projek rintis penggunaan ubatan PrEP berdasarkan kenyataan KKM baru-baru ini bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan HIV sememangnya akan memberi hala tuju dasar negara yang membimbangkan. 

“Apa yang menjadi pertikaian di sini adalah penggunaan ubat PrEP secara permintaan (on demand) dan mendedahkan kepada pelaku LGBT untuk menggunakannya bagi melakukan aktiviti songsang dengan ‘selamat’. 

“Ia adalah sisi normalisasi LGBT dalam negara,” kata beliau dalam satu kenyataan, semalam. 

Ahmad Yahya mengatakan KKM perlu menelusuri semula strategi digariskan oleh Malaysia National Strategic Plan for Ending AIDS 2016-2030 yang sepatutnya memasuki fasa penilaian separuh penggal pada tahun hadapan. 

Ini berikutan, strategi dasar itu tidak memperincikan perancangan khusus mencegah serta menggalakkan kehidupan normal bagi masyarakat umum selain menghindari budaya seks songsang.

Sebaliknya, beliau berkata ia lebih menumpukan kepada aspek pencegahan jangkitan kepada pasangan homoseksual yang melakukan hubungan seksual tanpa ‘perlindungan’ di mana ia dilihat hanya menjurus kepada tindakan menghalalkan hubungan seksual songsang termasuk zina, tetapi dalam masa sama menutup pintu jangkitan HIV/AIDS.

“Oleh sebab itu, saya ingin tegaskan bahawa hala tuju dasar daripada KKM mesti jelas dan bersepadu. 

“Isu ini mempunyai pelbagai perbahasan mendasar yang lain seperti jangkitan HIV ibu kepada anak dan sebagainya. 

“Jika tiada fokus jelas, tindakan KKM boleh membawa kepada implikasi berbeza. Lebih membimbangkan, budaya gay (MSM) lebih mendominasi dalam kalangan jangkitan HIV ketika ini. 

“Budaya rosak LGBT adalah kesalahan besar di sisi agama juga bertentangan dalam perundangan dalam negara. Apakah sampai satu masa kelak LGBT juga akan dibenarkan dalam negara?” kata beliau dalam artikel terbitan Harakah Daily.

Sumber : Harakah Daily 

 

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *