Antarabangsa
Kajian dedah wujudnya gerakan Islamofobia terancang di Kanada
Kajian selama empat tahun mendedahkan wujudnya gerakan Islamofobia terancang dan impak negatifnya terhadap Kanada.
- Kajian setebal 240 muka surat dan selama empat tahun mendedahkan wujudnya gerakan Islamofobia terancang dan impak negatifnya terhadap Kanada.
- Kajian itu menjelaskan individu dan kumpulan – dari seluruh dunia terutamanya di AS – yang bekerjasama untuk mencipta konflik.
- Namun, Islamofobia adalah satu bentuk diskriminasi dan perkauman yang beroperasi tanpa hukuman walaupun akibatnya boleh membawa maut.
- “Mereka terdiri daripada rangkaian yang menyokong dan terlibat dalam aktiviti yang memburukkan Islam serta umat Islam di Kanada,” kata Jasmine Zine.
- Keganasan nasionalis kulit putih di Kanada secara khusus menyasarkan umat Islam Kanada, contohnya, pembunuhan umat Islam di masjid Quebec dan Ontario.
KANADA – Kajian selama empat tahun mendedahkan wujudnya gerakan Islamofobia terancang dan impak negatifnya terhadap Kanada.
Laporan setebal 240 muka surat itu bertajuk Industri Islamofobia Kanada: Memetakan ekosistem Islamofobia di Great White North.
Kajian itu menjelaskan individu dan kumpulan – dari seluruh dunia terutama di Amerika Syarikat (AS) – yang bekerjasama untuk mencipta konflik, menyebarkan maklumat palsu dan mempromosikan teori konspirasi.
“Fenomena ini unik kepada Islamofobia di mana bentuk perkauman dan penindasan lain tidak mempunyai rangkaian di sebalik penyebarannya,” kata pengarang laporan itu, Jasmin Zine dipetik portal Islam Channel TV.
Bagaimanapun, Islamofobia merupakan satu bentuk diskriminasi, prasangka dan perkauman beroperasi tanpa hukuman walaupun kesannya ke atas mangsa-mangsa di Kanada dan seluruh dunia.
Laporan itu berkata industri Islamofobia terdiri daripada saluran media; tokoh politik; kumpulan berhaluan kanan, kumpulan nasionalis kulit putih; pempengaruh Islamofobia dan entiti pro-Israel.
Ia juga mendedahkan kumpulan berhaluan kanan; penentang Islam dan bekas Muslim, badan pemikir, pakar keselamatan dan penderma membiayai kempen Islamofobia itu.
“Individu, kumpulan dan institusi ini terdiri daripada rangkaian yang menyokong dan terlibat dalam aktiviti yang memburukkan Islam serta umat Islam di Kanada,” kata Zine.
Keganasan nasionalis kulit putih di Kanada secara khusus menyasarkan umat Islam Kanada, contohnya, pembunuhan umat Islam di masjid Quebec pada 2017 dan di Ontario pada 2021.
Sumber: Islam Channel TV