Connect with us

Terkini

Hukuman hamil luar nikah hanya untuk penzina, bukan mangsa rogol

Kesalahan rogol atau melahirkan anak luar nikah hasil persetubuhan paksa tidak termasuk di dalam Pindaan Seksyen 29a Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2022 Terengganu.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Hukuman hamil luar nikah hanya untuk penzina, bukan mangsa rogol
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Kesalahan rogol atau lahirkan anak luar nikah hasil persetubuhan paksa tidak termasuk di dalam Pindaan Seksyen 29a Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2022 Terengganu.
  • Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat, Profesor Madya Dr Mohd Mazri Yahya berkata seksyen itu dengan jelas menghadkan hukuman kepada hamil luar nikah akibat daripada persetubuhan dilakukan dengan kerelaannya (29 A (3)) sekaligus mengecualikan kes rogol daripada didakwa di bawah seksyen terbabit.
  • Jenayah rogol adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil dan bukannya di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
  • Falsafah pindaan bukan untuk menjatuhkan hukuman, apatah lagi menzalimi atau menyeksa mereka yang melakukan perbuatan terkutuk itu, tetapi ianya bersifat mendatangkan kegerunan bagi mereka yang ingin berjinak-jinak ataupun ingin melakukan maksiat itu, kata Dr Mazri.

KUALA LUMPUR – Kesalahan rogol atau melahirkan anak luar nikah hasil persetubuhan paksa tidak termasuk di dalam Pindaan Seksyen 29a Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2022 Terengganu.

Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat, Profesor Madya Dr Mohd Mazri Yahya berkata seksyen itu dengan jelas menghadkan hukuman kepada hamil luar nikah akibat daripada persetubuhan yang dilakukan dengan kerelaannya (29 A (3)) sekaligus mengecualikan kes rogol daripada didakwa di bawah seksyen terbabit.

“Perlu difahami bahawa jenayah rogol adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil dan bukannya di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah,” katanya dalam kenyataan beliau yang dikongsikan di Facebook Dr Suhazeli Abdullah hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan kebimbangan beberapa NGO kesihatan dan individu berkenaan tindakan Terengganu meluluskan pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Seksyen 29A pada 1 November 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial,  Azrul Mohd Khalib sebelum ini dilaporkan berkata tindakan menjenayahkan kehamilan dan kelahiran luar nikah akan mengancam dan melemahkan perlindungan serta hak wanita dalam penjagaan kesihatan.

Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) pula dilaporkan meluahkan kebimbangan langkah menghukum seperti itu akan menyebabkan golongan hamil luar nikah enggan mendapatkan pertolongan, sebaliknya mungkin cuba untuk menggugurkan kandungan dengan cara tidak selamat.

Mengulas lanjut, Dr Mazri menjelaskan pindaan itu dibuat bagi membendung kes-kes yang melibatkan anak luar nikah di negeri Terengganu yang dilihat semakin hari semakin meningkat. 

“Dalam kes ekstrem, kelahiran tersebut berlaku berulang kali, dan si pelaku dengan tanpa rasa takut mengaku bersalah dan sanggup membayar denda yang dianggap rendah.

“Falsafah pindaan bukan untuk menjatuhkan hukuman, apatah lagi menzalimi atau menyeksa mereka yang melakukan perbuatan terkutuk itu, tetapi ianya bersifat mendatangkan kegerunan bagi mereka yang ingin berjinak-jinak ataupun ingin melakukan maksiat tersebut.

“Enakmen ini juga tidak mendiskriminasi wanita kerana dengan jelas klausa di dalam seksyen tersebut memperincikan kedua-dua pihak (lelaki dan wanita) apabila disabit kesalahan, akan menerima hukuman seperti yang termaktub di dalam enakmen tersebut,” katanya.

Dr Mazri berkata had umur di dalam penentuan enakmen itu adalah bagi wanita dan lelaki berumur melebihi 16 tahun sementara pelaku kesalahan di bawah umur 16 tahun, ianya dikategorikan sebagai pesalah muda iaitu mereka yang berumur 10 sehingga 16 tahun.

Katanya, pesalah muda ini dalam negeri Terengganu tidak melibatkan hukuman penjara dan rotan. 

“Seksyen 29A  Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu yang baharu sahaja diluluskan oleh Kerajaan Negeri Terengganu adalah hukum Takzir (bukan hudud) yang melibatkan kesalahan berkaitan dengan melahirkan anak luar nikah. 

“Perkara ini masih dalam ruang lingkup bidang kuasa yang telah diperuntukkan kepada Mahkamah Syariah melalui Akta 356. Kesalahan berkaitan dengan Zina (hudud) telah pun diperuntukkan dalam Enakmen Jenayah Syariah II. 

“Pindaan ini bukanlah yang pertama seumpamanya di Malaysia. Seksyen bagi kesalahan sama juga diperuntukkan dalam sebahagian Enakmen-Enakmen negeri lain seperti di Wilayah Persekutuan, Selangor dan Melaka. Dalam erti kata lain, negeri selain Terengganu telah lebih awal mewujudkan peruntukan sama,” katanya.

Beliau menjelaskan usaha pemeliharaan kesucian keturunan bukan sahaja sangat dititikberatkan dalam agama Islam, malah ianya adalah juga selari dengan amalan perubatan kontemporari yang menitikberatkan pencegahan penyakit. 

Justeru itu, katanya, sebelum sesuatu penyakit atau amalan seksual songsang menular menjadi barah membahayakan di dalam masyarakat, tindakan pencegahan yang serius haruslah diambil. – The Merdeka Times

Sumber : Facebook Dr Suhazeli Abdullah

 

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *