Terkini
Hampir 20 peratus mangsa banjir enggan pindah, takut rumah dipecah masuk
Dalam anggaran 15 hingga 20 peratus, mangsa banjir bersikap degil dan enggan pindah lebih awal ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan terpengaruh dengan beberapa sentimen.
- Pegawai Pengurusan Bencana dan Operasi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Kapten Mohd Hanif Omar berkata, sikap sedemikian menyebabkan pasukan penyelamat berdepan kesukaran menyelamat dan memindah mangsa terjejas akibat banjir.
- “Kebanyakan mereka takut rumah dipecah masuk apabila ditinggalkan dan keduanya mereka dengar kekurangan dari segi barang-barang di pusat pemindahan tapi mereka kena faham di pusat pemindahan ini tidak akan sama dengan rumah mereka sendiri dari segi makanan, tempat tidur, kelengkapan.”
- Antara sebab lain adakala pasukan penyelamat lambat ke lokasi terjejas ataupun berdepan kesukaran disebabkan faktor keselamatan dan aset tidak sesuai ataupun kelengkapan logistik terhad.
KUALA LUMPUR – Dalam anggaran 15 hingga 20 peratus, mangsa banjir bersikap degil dan enggan pindah lebih awal ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan terpengaruh dengan beberapa sentimen.
Pegawai Pengurusan Bencana dan Operasi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Kapten Mohd Hanif Omar berkata, sikap sedemikian akan menyebabkan pasukan penyelamat berdepan kesukaran untuk menyelamat dan memindah mangsa terjejas akibat banjir.
Katanya, situasi lebih parah apabila tindakan golongan ini turut menyebabkan mangsa lain terpengaruh yang pada akhirnya merisikokan keselamatan mereka sendiri.
“Kebanyakan mereka takut rumah dipecah masuk apabila ditinggalkan dan keduanya mereka dengar kekurangan dari segi barang-barang di pusat pemindahan tapi mereka kena faham di pusat pemindahan ini tidak akan sama dengan rumah mereka sendiri dari segi makanan, tempat tidur, kelengkapan.
“Kita beri yang betul-betul basic untuk mereka bertahan selama mana rumah mereka tidak boleh dimasuki atau diduduki lagi, itu adalah konsep di seluruh dunia dalam situasi sebegini.
“Biasanya kalau mangsa itu dah selalu sangat dilanda banjir setiap tahun jadi kadang-kadang dia rasa tidak perlu pindah sebab pada dia air itu naik sekejap sahaja, tidak dalam sangat jadi dia rasa air ini akan cepat surut tapi bila air sudah naik tinggi dia akan pilih untuk pindah pula.
“Ia beri kesan rantaian yang banyak terutama kepada pasukan penyelamat sebab kita kalau boleh nak pindah dia sebelum air besar supaya mudah urusan itu sekali gus mengurangkan risiko kemalangan.
“Jadi apabila air dah tinggi baru nak berpindah risiko berlaku kemalangan semasa proses pemindahan itu tinggi dan juga menyebabkan kesukaran buat pasukan penyelamat sehingga sampai satu tahap pasukan penyelamat pun dah tak boleh nak masuk ke tempat tersebut, ” kata beliau kepada The Merdeka Times, hari ini.
Menurut Kapten Hanif, antara sebab lain adakala pasukan penyelamat lambat ke lokasi terjejas ataupun berdepan kesukaran adalah disebabkan faktor keselamatan dan aset tidak sesuai ataupun kelengkapan logistik yang terhad.
Tambahnya, jika air masih rendah mereka masih boleh menggunakan bot namun sekiranya air terlampau laju dan tinggi, kapasiti bot itu tidak boleh melaluinya.
“Dari segi logistik biasanya apabila berlaku bencana kita perlu bergerak di banyak tempat secara serentak kerana ada situasi air naik serentak di beberapa tempat jadi berlaku kekurangan dari segi logistik terutamanya dari segi kenderaan darat untuk membawa bot atau tarik bot jika kita ingin menggunakannya.
“Contoh terbaharu di Pasir Puteh kerana mereka tidak pernah berlaku banjir yang besar macam ini menyebabkan seluruh kawasan itu terjejas, sementara aset yang sedia ada di situ mengikut kadar bencana sebelum ini tak berapa besar.
“Apabila berlaku bencana luar biasa aset itu tidak mencukupi dan kita cuba hantar bantuan dari luar Pasir Puteh tapi ia makan masa sedikit bukan dapat hari sama mungkin esok atau lusa.
“Untuk mangsa diingatkan sekali keselamatan dan nyawa perlu diutamakan daripada harta benda sebab kalau kita tak dapat selamatkan nyawa harta benda pun tiada guna,” kata beliau yang menjelaskan antara faktor mengapa adakala bantuan lambat tiba ke lokasi terjejas.
Dalam pada itu, beliau turut tidak menafikan akan berlaku situasi sesebuah PPS itu penuh, berikutan setiap PPS mempunyai kapasiti ditetapkan namun, apabila ia berlaku maka mangsa akan dipindahkan ke PPS lain.
Kapten Hanif berkata jika mangsa tidak dapat dipindahkan ke PPS lain pula, maka bekalan seperti makanan, minuman dan barang keperluan lain akan ditambah di pusat tersebut.
Bagaimanapun, katanya wujud juga sesetengah mangsa banjir enggan ke PPS atau pindah PPS lain berikutan ia berada jauh daripada kawasan perumahan mereka.
Pada masa sama, beliau juga memberi jaminan bahawa mangsa banjir tidak perlu khuatir akan keselamatan rumah-rumah yang ditinggalkan semasa banjir berikutan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan sentiasa membuat pemantaun sama ada melalui jalan darat atau air.
“Kita kena alert dengan amaran-amaran dikeluarkan pihak kerajaan terutama melalui media sosial, media elektronik dan siren-siren amaran yang dipasang.
“Masa itu juga kita dah boleh siap, sebaiknya bila dapat amaran itu kita dah keluar awal dan pergi ke pusat pemindahan. Itu adalah yang paling baiklah.
“Namun jika berlaku kenaikan air mendadak tidak sempat berpindah apabila pasukan penyelamat datang, nasihatkan, maka mangsa banjir teruslah memberi kerjasama dan semua keluar dari rumah itu kerana itulah tindakan paling baik,” katanya.
Ini berikutan, menurut Kapten Hanif setiap pasukan penyelamat memiliki penilaian risiko jadi apabila mereka tahu risiko itu boleh ditangani maka mereka akan membuat kerja-kerja menyelamat.
Namun, sekiranya sampai satu tahap mereka merasakan ia satu risiko besar untuk menyelamat dan beri mudarat kepada pihak penyelamat maka mereka tidak dapat memasuki kawasan tersebut sehinggalah mereka mendapat peralatan khusus.
Malah, kata beliau ada situasi di mana mereka terpaksa menggunakan bantuan udara yang disifatkan sangat terhad dan akan mengambil masa yang lama.
Beliau turut menjelaskan walau dalam apa-apa pun situasi pasukan penyelamat juga perlu memberi keutamaan kepada keselamatan pasukan mereka kerana sekiranya berlaku kemalangan ia akan menyebabkan kekurangan ahli seterusnya membebankan pasukan lain.
Beliau turut menyenaraikan beberapa golongan yang diberi keutamaan sekiranya berlaku operasi menyelamat dan memindahkan mangsa iaitu individu yang sakit, Orang Kurang Upaya (OKU), ibu mengandung, kanak-kanak dan warga emas.
Semalam, Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Ahmad Izram Osman berkata pihaknya berdepan cabaran besar dalam operasi menyelamat dan memindah mangsa banjir kerana terdapat individu yang enggan berpindah walaupun kawasan atau kediaman mereka, dinaiki air.
Malah, media tempatan lain turut melaporkan terdapat mangsa mendakwa terpaksa minum air banjir di rumah berikutan enggan ke PPS yang telah penuh. – The Merdeka Times